Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Big Stage: Farhan Shah tidak akan sia-siakan peluang kedua selepas terselamat dari penyingkiran

Anggaran Waktu Membaca:
Big Stage: Farhan Shah tidak akan sia-siakan peluang kedua selepas terselamat dari penyingkiran

(Gambar: Astro Gempak/Instagram)

BERITAmediacorp: Kemunculannya di pertandingan realiti Malaysia, Big Stage 5, boleh disifatkan sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Manakan tidak, bagi musim-musim sebelum ini, Big Stage belum pernah menyertakan mana-mana penyanyi Singapura.

Bagi musim Big Stage 5 kali ini pula, tidak kedengaran juga mengenai penyertaan artis antarabangsa lain, apatah lagi dari kota Singa.

Maka itu, tidak hairanlah beban yang dipikul penyanyi tempatan Farhan Shah jelas cukup berat - untuk mencipta kejutan, membuat persembahan yang baik dan sekali gus mengharumkan nama Singapura.

Sekalipun demikian, rasa gementar yang menguasai dirinya pada minggu pertama Big Stage 5 jelas menjejas persembahannya, sehingga mendapat kedudukan tercorot dengan 37 peratus.

Melalui panggilan telefon, Farhan berkongsi perasaannya dengan BERITAmediacorp: "Apabila saya berada di atas pentas, saya ditenggelami rasa gementar. Saya terlalu banyak berfikir kerana saya membawa nama Singapura dan saya membuat persembahan di pentas Malaysia buat pertama kalinya.

"Jadi saya terlalu terbuai semasa di atas pentas dan rasanya saya tidak mencapai markah yang terbaik kerana saya tidak memberikan yang terbaik.

"Apabila mereka mengumumkan bahawa saya bakal tersingkir antara tiga terbawah, saya dah nak nangis kerana saya rapat dengan peserta Indonesia, Waode dan peserta Korea, HoonDoo.

"Ketika saya jalan ke arah kapsul penyingkiran pula, saya malah memandang ke bawah sahaja, sampaikan saya tidak tahu pintu skrin itu semakin ditutup sehinggalah yang lain mula riuh-rendah.

"Sebaik sahaja saya tahu saya terselamat dan peserta lain memberi sokongan ke arah saya, saya sampai rebah ke lantai!"

farhan
(Gambar: Astro Gempak/Instagram)

Farhan tersenarai sebagai antara tiga terbawah bersama Isaac Voo dan Meer Nash. Kumpulan duo dari Korea Selatan, HoonDoo sebaliknya mendapat markah tertinggi sebanyak 81 peratus, mengatasi 12 peserta lain.

HoonDoo juga memenangi anugerah Dominasi Persembahan Terbaik, hasil pilihan juri profesional, dan membawa pulang RM3,000 (S$895).

13 peserta Big Stage 5 diadili oleh juri tetap Aina Abdul dan Ajai, serta juri jemputan Lah Ahmad, pada minggu pertama.

Yang jelas, peluang kedua untuk terus bertanding dalam Big Stage tidak akan disia-siakan.

"Untuk minggu kedua, saya akan menyanyikan lagu yang saya benar-benar mahu persembahkan, iaitu Mercy oleh Duffy.

"Menerusi lagu itu, saya yakin saya akan lebih selesa dalam elemen saya sendiri," kongsi bekas peserta Singapore Idol 3.

CABARAN 'BIG STAGE'

Malah, selepas ditawarkan untuk memasuki Big Stage pada minggu pertama Ramadan, Farhan akur terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Ini termasuk merahsiakan kemasukannya ini serta meninggalkan kerja tetapnya sebagai pegawai penjualan dalam industri kecergasan dua bulan lalu.

"Saya bakal menginjak usia 33 tahun Disember ini dan saya rasakan, jika saya benar-benar mahu menjadi penyanyi sepenuh masa, saya harus merebut peluang ini dan inilah peluang terakhir saya," kata Farhan.

Farhan bahkan pernah ditawarkan untuk menyertai Big Stage musim kedua, namun terpaksa menolaknya kerana beliau berasa "belum bersedia" kerana baru menamatkan pengajiannya ketika itu.

Kini beliau dilanda satu lagi cabaran besar apabila terpaksa menghasilkan konsep, susunan muzik, gaya dan persembahannya sendiri sebagai seorang penyanyi bebas, yang sering bergerak sendiri.

"Saya tidak mempunyai sebuah pasukan seperti yang lain. Saya malah meminta bantuan pakar stail saya, Abang Nuh atau lebih dikenali sebagai 'thegrumpysocialist' untuk menguruskan saya di sini, sekali gus menjadi pengurus saya sekarang ini.

"Tapi cabarannya adalah apabila kami diminta merahsiakan kemasukan kami di Big Stage, saya berasa agak bimbang kerana ia bermakna sukar untuk saya mendapatkan bantuan dan tajaan.

"Ini juga bermakna banyak wang yang harus dikeluarkan sendiri bagi membiayai perjalanan saya dalam pertandingan ini," jelas Farhan.

HASRAT BINA NAMA DI MALAYSIA

Yang penting, kalah atau menang, Farhan akur bahawa Big Stage bakal menjadi pengalaman dan tempat latihan yang baik untuk dirinya dan artis lain.

"Ia membolehkan kami untuk memperhalusi seni dan identiti kami, bukan sahaja dari segi vokal tetapi juga sebagai artis.

"Saya berharap dapat membina nama di Malaysia kerana muzik adalah cinta pertama saya, dan jika pada akhirnya saya dapat menyara hidup daripada muzik, ia ibarat mimpi buat saya dan akan membuat saya berasa sangat gembira.

"Sekiranya saya tersingkir awal sekali pun, saya akan terus bekerja keras bagi mencipta nama di Malaysia," kata Farhan, yang juga merancang untuk mengeluarkan lagu selepas pertandingan Big Stage ini.

Big Stage 5 berlangsung selama 10 minggu dan bersiaran secara langsung setiap Ahad pada jam 9.00 malam di Astro Ria.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan