Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bidang nyanyian belum terkubur buat Maya Karin

Anggaran Waktu Membaca:
Bidang nyanyian belum terkubur buat Maya Karin

(Gambar fail: Facebook/Maya Karin)

KUALA LUMPUR: Meskipun sekian lama tidak kedengaran suara Maya Karin dengan buah tangan terbarunya di corong radio, pelakon dan penyanyi itu mengakui minatnya terhadap bidang nyanyian masih belum terkubur.

Setakat ini juga, kata Maya kepada Malaysiakini, tidak ada tekanan untuknya menghasilkan sebarang karya baru memandangkan kerjaya nyanyian baginya diceburi sekadar untuk suka-suka.

“Saya tak pernah tinggalkan dunia nyanyian. Saya juga tak pernah cakap tak akan atau tak mahu keluarkan lagi sebarang lagu atau album.

“Sejujurnya, tak ada sebarang tekanan untuk saya sentiasa hasilkan karya baru. Misalnya jika saya tak muncul dengan album untuk tempoh empat hingga lima tahun pun tak apa.

“Cuma apa boleh saya katakan ialah, rezeki nampaknya lebih berpihak dalam bidang lakonan, tetapi saya tetap bersyukur untuk itu,” jelasnya.

Maya berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran filem terbaru lakonannya, Telaga Suriram, di sebuah restoran di Mont Kiara, Kuala Lumpur semalam (12 Jan).

Sebelum ini pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke, 42 tahun, pernah berkata, dia dibelenggu perasaan gementar sekiranya perlu membuat persembahan pentas.

Mengulas perkara tersebut, Maya yang pernah popular dengan lagu Erti Cinta berkata, situasi agak berbeza jika di set penggambaran yang disifatkannya banyak memberi ruang dan tempoh untuk “bertenang.”

“Bagi saya, bidang nyanyian bertentangan dengan anxiety (gangguan keresahan). Jika berada di lokasi penggambaran, tekanan mungkin agak kurang kerana saya berasa selesa dan mengenali pelakon serta kru di situ.

“Jika diserang anxiety, saya boleh minta mereka berikan saya masa bertenang sebentar untuk buat apa yang patut dulu.

"Tapi jika alami anxiety sewaktu naik pentas, ia sukar dikawal kerana boleh tak boleh, saya tetap kena teruskan persembahan tersebut," katanya.

Pengalaman itu tambah Maya dialaminya semasa dia menjayakan pementasan teater muzikal Puteri Santubong The Warrior Princess di Sarawak, baru-baru ini.

Katanya lagi, ketika diserang kegugupan sedemikian rupa pada malam pertama persembahan, dia berasa "bagai nak mati" namun mujur keadaan berubah pada malam kedua.

Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik ke-49 itu berkongsi lanjut, bidang nyanyian mungkin agak berbeza untuk dihadapi seseorang sepertinya berbanding orang lain.

“Segelintir penyanyi seperti Faizal Tahir atau Siti Nurhaliza apabila mereka buat persembahan, nampak seperti ‘kacang’ saja, sebab mereka seolah-olah dilahirkan di atas pentas,” ujarnya.

Untuk rekod, Maya pernah dilaporkan terlepas peluang keemasan untuk membintangi filem Crazy Rich Asians bersama aktor Henry Golding lima tahun lalu gara-gara tidak mampu mengawal gangguan keresahan yang dialami sewaktu uji bakat berlangsung.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam Telaga Suriram, Maya berkata, ia adalah gandingannya yang pertama bersama pelakon Nabila Huda dan Scha Alyahya.

“Saya sudah cukup selesa berlakon di samping Farid Kamil tapi belum pernah berpeluang jalani satu penggambaran bersama Nabila dan Scha, harap dipermudahkan,” katanya.

Dalam filem itu, Maya membawakan watak Rohaya, iaitu ibu kepada anak kecil bernama Suriram.

Katanya antara cabaran untuk menjayakan naskhah arahan Osman Ali itu adalah untuk memberikan sisi yang berbeza pada karakter yang diserahkan kepadanya.

“Saya harus pastikan watak diberikan dalam Telaga Suriram tak sama seperti Munafik 2, iaitu seorang ibu yang juga memiliki anak perempuan,” katanya.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan