Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Beto Kusyairy jadi mangsa kes penipuan kad kredit yang libatkan NTUC Fairprice

Tidak pernah berbelanja menggunakan kad kredit untuk sebarang pembelian di Singapura dan tidak pernah juga kehilangan kad kredit sebelum ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tidak pernah berbelanja menggunakan kad kredit untuk sebarang pembelian di Singapura dan tidak pernah juga kehilangan kad kredit sebelum ini.

Itulah gambaran jelas yang diberikan oleh pelakon seberang tambak iaitu Beto Kusyairy apabila beliau menjadi mangsa kepada satu kes “fraud” atau penipuan yang berlaku kepadanya baru-baru ini.

(Gambar ihsan: Beto Kusyairy)

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Beto berkongsi beliau bahawa menerima kiriman SMS dari salah sebuah bank di Kuala Lumpur yang mengatakan kad kreditnya disekat disebabkan beberapa transaksi yang mencurigakan melibatkan wang hampir $1,200 dolar Singapura.

Sebanyak empat urus niaga dibuat dan kesemuanya adalah pembelian secara online di NTUC Fairprice, Singapura. Ketika dihubungi pihak kami, Beto menjelaskan:

“Saya hubungi bank terus nak periksa takut 'scammer' ke? Memang betul bank kata kad dah disekat dan memang berlaku empat urus niaga sebelum kad disekat oleh bank.”

(Gambar ihsan: Beto Kusyairy)

Kad kredit tersebut paling jarang beliau gunakan dan sentiasa ada bersamanya.
Apakah Beto pernah menggunakan kad kredit tersebut ketika beliau menjalani penggambaran siri Kisah Tok Kadi terbitan SURIA di Singapura suatu ketika dahulu?

“Tidak. Saya lebih suka membayar secara tunai atau guna kad debit saya dari bank lain,” ujarnya.

KES 'FRAUD', BUKAN 'SCAMMER'

Beliau berpendapat ia adalah kes 'fraud' dan bukan kes scammer kerana sekiranya ia melibatkan scammer, scammer tersebut akan menghubunginya dengan meminta butiran bank agar duit dapat dipindahkan kepada scammer tersebut.

Perkara itu tidak berlaku kepada Beto kerana tiada sesiapapun yang meminta butiran kad kredit beliau.

Tambah pelakon tersebut: “Saya bersyukur jugalah ia 'fraud' pada kad kredit, bukan kad debit saya sebab kad kredit saya tidak terusik pun. Cuma pihak bank perlu siasat dan mereka perlukan 30 sehingga 45 hari untuk tentukan memang bukan saya yang lakukan urus niaga itu. Dan sekiranya betul bukan saya, saya tak perlu bayar jumlah itu.”

Meskipun pada mulanya beliau "marah" apabila perkara tersebut berlaku pada dirinya, apabila difikir balik, beliau berada di pihak yang betul.

(Gambar ihsan: Beto Kusyairy)

“Bukan saya yang lakukan urus niaga itu. Saya yakin mereka akan dapat tahu bukan saya yang lakukan urus niaga itu sebab saya berada di KL. Tidak ada sebab untuk saya beli online dari NTUC Fairprice, Singapura," katanya lagi kepada kami.

Cuma beliau prihatin pihak bank mengambil masa selama 30 sehingga 45 hari untuk menentukan duduk perkara.

Keyakinan pengguna juga harus diambil kira oleh pihak bank katanya lagi apatah lagi dunia kini bergerak ke arah ‘cashless society'.

Setakat ini, beliau belum lagi membuat laporan Polis kerana pihak bank masih lagi menyiasat kes tersebut.

“Hati saya yakin mengatakan mereka (bank) akan dapat buktikan urus niaga itu bukan daripada saya. Saya harap mereka akan dapat keluarkan keputusan lebih awal,” rayunya.

“Kalau jugak ditakdirkan mereka tak dapat nak buktikan yang urus niaga itu memang bukan dari pihak saya, saya kena terimalah sebab saya tak buat polis report lagi (ketawa).”

Pesan Beto kepada sesiapa yang menerima SMS sepertinya agar bertenang dan menghubungi pihak bank terus, bukan menghubungi nombor yang diberikan oleh si penipu tersebut.

TUNGGU MASA SAMBUNG PENGGAMBARAN

Mengulas mengenai kerja seninya pula, Beto berkata penggambaran belum lagi diizinkan untuk diteruskan ekoran keadaan sekarang. Ramai yang masih terjejas dari segi pendapatan disebabkan oleh COVID-19.

Beliau hanya menunggu masa untuk kembali ke set penggambaran Imaginur arahan Nik Amir Mustapha.

Baru-baru ini, Beto turut membintangi filem-filem berjudul Mat Kilau dan Anak Rimau yang belum lagi ditayangkan di Kuala Lumpur. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan