Skip to main content

Hiburan

BERITA+ Tunggu Sekejap: Raikan karya P. Ramlee, angkat seni tempatan sempena SG60

Selepas kejayaan pementasan 'Don't Call Him Mr Mari Kita' yang menghargai warisan Allahyarham Zubir Said, Wild Rice kembali dengan 'Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite' sebagai penghormatan kepada seniman agung itu.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+ Tunggu Sekejap: Raikan karya P. Ramlee, angkat seni tempatan sempena SG60

Orkestra temali 30-anggota re:mix di bawah pimpinan maestro Foo Say Ming (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

SINGAPURA: Selepas kejayaan pementasan 'Don't Call Him Mr Mari Kita' yang menghargai warisan Allahyarham Zubir Said, Wild Rice kembali dengan 'Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite' sebagai penghormatan kepada seniman agung itu.

Komposer Julian Wong menyusun semula lagu-lagu ikonik seperti Tunggu Sekejap, Azizah dan Getaran Jiwa yang dipersembahkan oleh orkestra 30 anggota daripada kumpulan re:mix, di bawah pimpinan maestro Foo Say Ming.

Persembahan orkestra unik itu menggabungkan muzik, wayang gambar dan teater untuk meraikan warisan seni legenda tersebut.

Ia lahir daripada komposer Julian Wong yang terpaut pada keindahan melodi klasik Melayu, khususnya karya legenda P. Ramlee.

"Dulu masa sekolah menengah, saya ada kawan dari Pulau Pinang dan dia selalu menyanyikan lagu Getaran Jiwa. Saya tanya padanya, 'Siapa komposernya dan apa makna lagu itu?' Apabila dia menjelaskan kepada saya, saya fikir, 'Puitisnya kerana P. Ramlee gunakan muzik sebagai metafora bagi cinta dan kehidupan. Melodi dan kord yang digunakan sangat moden. Sangat pelbagai dan berwarna.

"Melayu bahasa kebangsaan kita. Jadi walaupun saya orang Cina tapi kita semua hari-hari nyanyi lagu Melayu sewaktu membesar. Maka, walaupun kami tidak selalu menggunakannya, saya fikir ia ada di dalam kesedaran kita dan apabila saya mendengar muzik P. Ramlee, ia membangkitkan kesedaran saya itu", jelas Julian Wong kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Komposer Julian Wong, meminati lagu klasik P. Ramlee sejak di sekolah menengah lagi. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Anak didik kepada komposer Allahyarham Iskandar Mirza Ismail itu bukan sekadar menyusun semula muzik.

Beliau mengambil pendekatan yang berhati-hati namun kreatif dalam mengolah semula karya-karya Allahyarham P. Ramlee.

"Apa yang saya lakukan adalah menguraikan beberapa lagu Allahyarham dan mengolah semula secara ranggi untuk persembahan orkestra tapi sebagai peminat P. Ramlee, saya juga tak nak buat sampai terlalu sofistikated sehingga orang tidak cam lagu-lagunya. Bukankah beliau pernah berkata dalam lagunya bahawa, 'tak mungkin hilang irama dan lagu'?," jelas Julian.

"Saya nak membuat kejutan manis kepada khalayak melalui cara saya persembahkan muzik P. Ramlee. Jadi, contohnya, jika anda suka lagu Azizah, anda akan dengar lagu itu melalui cara yang amat berbeza dan mungkin terpegun dengan keindahannya. Saya benar-benar ingin agar persembahan ini membuat anda tunggu sekejap dan menikmati macam kali pertama anda mendengarnya," tambahnya.

Beliau juga mengagumi kehebatan seniman agung itu dan boleh dinikmati masyarakat berbilang kaum.

"Saya bukan orang Melayu tapi saya tetap boleh akui dan mengagumi kegeniusan serta seni yang dimiliki P. Ramlee. Karya beliau melangkaui batas kaum dan bahasa dan ia sebenarnya tidak menjadi hal jika anda bukan orang Melayu atau belum pernah menonton filem-filem P. Ramlee," kata Julian.

Sebelum ini, Wild Rice dan Julian sendiri berjaya mementaskan sebuah persembahan mengenang Allahyarham Zubir Said dengan kesemua tiket habis terjual!

"Bila kita berbicara tentang Pak Zubir Said dan P. Ramlee, kita bukan sekadar menyebut mereka sebagai ikon Melayu tetapi sebagai seniman yang menyentuh jiwa sebuah negara. Pak Zubir menghadiahkan kita lagu kebangsaan dan lagu rakyat 'Semoga Bahagia'. P. Ramlee pula memberikan lagu latar kehidupan kita. Saya amat terpanggil untuk menghargai sumbangan mereka kepada kesedaran kita sebagai sebuah masyarakat kerana untuk mengenal arah tuju kita, kita perlu benar-benar memahami dari mana asal kita," ujar Pengasas Wild Rice, Ivan Heng.

"Saya selalu merasa yang kita terlalu taksub dengan seniman-seniman dari seberang laut yang datang ke sini untuk buat konsert besar di stadium. Saya harap menerusi persembahan seperti ini, kita akan dapat mengakui bahawa sebenarnya muzik dan seni kita, kalau kita tunggu sekejap dan beri peluang mengalami atau menghayatinya, maka kekayaan dan kedalamannya akan mengejutkan kita. Maksud saya, tahun ini sudah SG60. Kita patut berbangga dengan budaya sendiri," tambah beliau.

BANGGA KARYA MELAYU DIANGKAT DAN DIRAIKAN

Persembahan ini turut menampilkan Fadhli Ramlee yang berjaya memainkan watak P. Ramlee dengan meyakinkan.

Dari suara, gaya percakapan hingga busana, Fadhli berjaya membangkitkan nostalgia seolah-olah P. Ramlee ada di depan mata.
Fadhli Ramlee pemain watak P. Ramlee dalam Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Persiapan saya adalah untuk memahami sendiri P. Ramlee itu daripada segi tutur katanya, daripada gayanya dan mungkin juga sejauh pada pemikiran P. Ramlee itu sendiri supaya saya dapat berlaku adil kepada penonton yang datang untuk melihat P. Ramlee," kongsi Fadhli.

Beliau juga bangga melihat karya-karya dalam bahasa Melayu diangkat dan diraikan oleh para penggiat seni daripada pelbagai kaum.

"Ia memberi kesedaran bahawa warisan muzik Melayu mampu menyuntik minat dalam diri orang-orang yang bukan berbangsa Melayu untuk meminati lagu dan muzik Melayu. Juga seperti Julian Wong, mengkaji dan mempelajari tentang muzik Melayu. Melihat seorang yang bukan berbangsa Melayu mengubah suai, menyusun semula lagu-lagu P. Ramlee dan membuat ia relevan kepada segenap lapisan penonton daripada pelbagai bangsa. Ia sangat menyentuh hati saya kerana ia mengangkat karya P. Ramlee itu ke satu pelantar yang lebih tinggi," ujar Fadhli.

Persembahan ini dipentaskan di panggung Wild Rice dari 15 hingga 31 Mei 2025.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita