BERITA+ TARI HARMONI: Gabung 10 kumpulan budaya pelbagai negara dalam satu karnival tarian
SINGAPURA: BERITA+ kali ini meninjau satu usaha menjadikan seni tarian sebagai jambatan budaya dan negara sempena SG60.
Teater Tari Cina Singapura menghimpunkan 10 kumpulan tarian dari pelbagai negara dan budaya untuk memaparkan keharmonian dan perpaduan.
Wartawan Roslinda Rahmat meninjau bagaimana langkah dan ritma mampu menjadi jambatan silang budaya.
136 PENARI PELBAGAI NEGARA JAYAKAN KARNIVAL ‘UNDER THE BIG TREE 2025’
Langkahnya halus, ragamnya pula penuh tenaga.
Setiap gerak tari, setiap ritma ibarat jambatan yang menghubungkan penonton kepada asal-usul dan keunikan budaya tersendiri.
Elly Evyana merupakan Pengarah Artistik, kumpulan tarian Bali, bernama Eka Suwara Santhi. "Hari ini kita akan bawakan Tari Pendet. Tari Pendet itu dulunya adalah tari sakral tapi berjalan seiring waktu, kerana Bali adalah daerah pelancongan, jadi Tari Pendet itu juga boleh dipersembahkan sebagai 'tarian selamat datang' kepada para pelancong."
"Kita persembahkan tarian yang sangat diminati remaja iaitu Zapin Farizal Ham. Ya, memang tradisi, tari tradisi zapin ini, tetapi ia penuh mempunyai gerak-gerak tari yang kreatif, dan menarik dan penuh tenaga. Tarian yang bertenaga, yang menyifatkan keremajaan, memandang ke depan itu memberikan suatu gambaran bahawa seni itu hidup, budaya itu hidup dan kita melihat ke depan bagaimana memberikan keceriaan kepada dunia seni tari kita di Singapura," ujar Pengarah Artistik, Teater Tari Era, Encik Osman Hamid.
Semua ini antara tarian warisan pelbagai kaum yang dipaparkan dalam karnival tarian ‘Under The BIG Tree 2025’ anjuran Teater Tari Cina Singapura (SCDT).
Ragam gerak seramai 136 penari terpancar di bawah teduhan pohon beringin bersejarah - simbol akar budaya yang kukuh.
Bersempena SG60, acara tersebut menampilkan tarian sebagai cerminan perjalanan negara berbilang budaya.
"Sedang negara meraikan ulang tahun ke-60, kami ingin meraikan komuniti ‘Tarian Menyatukan’. Kerjasama seperti ini sebenarnya mengingatkan kita bahawa sedang gerak tari kita berbeza, matlamat kita adalah sama. Jadi kami ingin menzahirkan emosi insani, masyarakat dan warisan. Dan menerusi kerjasama dengan Teater Tari Era dan kumpulan-kumpulan budaya lain, kami meneroka persilangan antara ritma, gerak isyarat dan luahan, sambil bersama-sama menemukan lapisan-lapisan baharu kreativiti," kata Pengarah Artistik, ‘Under The BIG Tree 2025’ (SCDT), Cik Jenny Neo.
Setiap tarian berbeza gaya dan asal-usulnya.
Namun di sebalik kepelbagaian gerak tari itu, satu tema menyatukan semuanya - yakni Harmoni.
Tema inilah yang menjadi asas kerjasama Teater Tari Cina Singapura dengan sembilan kumpulan tarian budaya lain, sambil meneroka persilangan antara ritma.
"Kolaborasi kali ini sangat menarik kerana kita membuat persembahan di belakang itulah - pokok yang bersejarah, pokok yang besar, yang banyak sejarah, cerita yang tersirat di belakang pokok tersebut," luah Encik Osman.
Cik Jenny dari SCDT pula berkongsi penilaian, "Bentuk tarian Melayu dan Indonesia – pergerakan mereka sangat membumi dan mengalir, setiap gerak isyarat bernafas bersama alam dan kerohanian. Saya suka bagaimana ritma dan luahan mengimbangi kekuatan dan seri, yang sebenarnya seiring indah dengan estetika tarian Cina".
Sebuah lagi kumpulan tari yang turut serta ialah Eka Suwara Santhi asal Bali, yang ditubuhkan di Singapura pada 2014.
Pada waktu itu, belum ada sanggar atau kumpulan tarian Bali di Singapura.
Lebih daripada sekadar mempamerkan seninya, persembahan kolaboratif ini juga menjadi wadah untuk menyerap ilmu silang budaya buat para anggotanya.
Menurut Cik Elly, penari Bali, "Ia umpama pembuka mata bagi kami - seperti melihat budaya asing dari negara lain. Jadi gembira melihat, mendengar tarian mereka, muzik mereka. Jadi pengalaman yang jarang ditemukan. Bayangkan sembilan kumpulan dari Asia yang ikut sama membuat pementasan dan beraksi di sini. Itu amat luar biasa."
KOLABORASI SILANG BUDAYA PUPUK PERPADUAN & MINAT GENERASI MUDA
Kolaborasi silang budaya dalam tarian tradisional sebeginilah yang telah lama diperjuangkan penggiat tari mapan dan penerima Pingat Budaya 2023, Encik Osman Hamid.
Pengarah Artistik Teater Tari Era ini menekankan kepentingan usaha seperti ini untuk menarik minat generasi muda, agar kesinambungan warisan dapat diteruskan.
"Baik untuk remaja-remaja melalui proses pengalaman ini kerana ia akan memberikan mereka satu pendekatan betapa pentingnya untuk menghormati budaya antara budaya, agama antara agama. Dan ini adalah satu benda, perkara yang sangat-sangat kita ajukan," ujar Encik Osman.
Perayaan perpaduan yang meraikan semangat keharmonian dan persahabatan merentas budaya selama tiga jam ini turut menampilkan tarian India oleh Persatuan Seni Halus India Singapura, kumpulan tari Jepun bernama Hibikiya, kumpulan Korea, K. Cultural Dance, kumpulan Thai - Anurak, kumpulan tari Kumudra - dari Persatuan Seni dan Budaya Myanmar, kumpulan tari Filipina - DMI Studio, dan kumpulan Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat Vietnam di Singapura, menyerlahkan kekayaan identiti budaya di sini.
Semangat kerjasama ini turut dikongsi oleh kumpulan yang mengambil bahagian, yang melihat acara ini sebagai platform penting untuk pertukaran budaya dan perpaduan.
“Majlis istimewa ini menawarkan platform sempurna untuk mempersembahkan budaya Vietnam, dipacu oleh kumpulan penari berbakat kelahiran Vietnam yang menetap dan bekerja di Singapura, serta berkongsi semangat yang mendalam dalam bidang tarian dan perwakilan budaya.” kata anggota jawatankuasa perhubungan masyarakat Vietnam di Singapura, Bảo Châu.
Menjelaskan lagi tema ini, Persatuan Seni Halus India Singapura (SIFAS) menekankan, “SIFAS berbesar hati untuk mempersembahkan Kathak, satu bentuk tarian klasik India, dalam pementasan Di Bawah Pohon Besar 2025, bersama kumpulan seni lain dalam satu sambutan kepelbagaian dan kuasa penyatuan tarian. Kami tidak sabar untuk meraikan keharmonian berbilang budaya Singapura dan berkongsi keindahan abadi tarian klasik India dengan masyarakat.”
Komitmen kepada perpaduan ini turut diserlahkan oleh Persatuan Seni dan Budaya Myanmar, Kumudra. “Team Kumudra berasa rendah diri dan bersyukur dapat berkongsi pentas Teater Tari Cina Singapura bersama kumpulan budaya terkemuka dari seluruh Singapura di Bawah Pohon Besar 2025. Kami tidak sabar untuk meraikan keindahan harmoni dan kepelbagaian yang dizahirkan melalui pelbagai persembahan menakjubkan.”
Acara tahun ini berjaya menarik 600 penonton dan ini mendorong rancangan Teater Tari Cina Singapura untuk mementaskan festival lebih gah pada 2027.
"Dengan Singapura mempengerusikan ASEAN pada tahun 2027, dan juga ulang tahun ke-60 ASEAN, SCDT merancang untuk mengadakan sambutan ini sempena semangat tersebut dengan menganjurkan pesta tari ASEAN di premis kami, menghimpunkan seniman serantau dan memperdalamkan pengalaman budaya kita." dedah Cik Jenny.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.