BERITA+: Suara Juara – The Star Voice 2023 cari personaliti radio dengan faktor 'X'

Di Sebalik Tabir penggambaran salah satu cabaran bagi kalangan peserta 'Suara Juara' dalam konti. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Pandai mengambil hati pendengar dan menyampaikan informasi dengan cara yang menarik.
Penerbit-penyiar atau DJ radio masa kini bukan lagi insan misteri yang hanya suaraanya didengar menerusi corong-corong radio.
Sedang radio kekal sebagai medium komunikasi yang bersifat dinamik, informatif dan berbilang fungsi untuk menarik perhatian pendengar, para penerbit-penyiar radio kini memikul tanggungjawab lebih besar.
Mereka kini juga personaliti dengan keupayaan serba boleh yang mampu menarik perhatian ramai di kaca televisyen, media sosial dan khalayak ramai.
Itulah yang ingin dicungkil pertandingan Suara Juara – The Star Voice 2023 yang mula ke udara di saluran TV Suria pada Ahad (17 Sep).
Pertandingan itu mencabar daya kreativiti para peserta untuk menghasilkan kandungan untuk pelbagai platform.
Ia menarik 120 permohonan.
Lima peserta akhirnya terpilih daripada 20 pemohon yang menjalani sesi uji bakat yang sengit.

"Mereka harus fasih dan juga faham tentang kemahuan zaman sekarang ini. Mereka harus terbitkan kandungan untuk pelbagai platform digital seperti di Facebook, Instagram dan juga TikTok. Jadi ilmu digital itu amat penting sekali. Mereka harus faham, dalami dan inilah antara keperluan yang harus mereka lalui dan juga mereka terbitkan, bukan hanya di udara, di pelbagai platform digital," kata pengadil tetap Suara Juara, Cik Morniyati Tukimin.
Pengarah Program WARNA 942 itu menambah bahawa daya tarikan asas untuk menjadi personaliti radio tetap diutamakan.
"Kalau anda sebut tentang wajah, pakej lengkap, itu satu bonus ya. Yang penting, masih ada suara untuk temani para pendengar kita, yang mana mereka sekali dengar, mereka tahu ini suara yang saya rasa ingin menjadi teman saya sepanjang hari," kata beliau.

Selama lima minggu, para peserta mendapat bimbingan daripada para penyiar mapan radio Ria 897 dan Warna 942.
"Ia merupakan media tradisional. Jadi kita didik (mereka) bahawasanya radio memberikan satu ilusi ‘Teater Dalam Minda’. Jadi bila kita sudah ada pemikiran sebegitu, ia lebih mudah untuk kita memahami (bagaimana) sebenarnya radio ini berjalan, prosesnya," kata mentor Suara Juara Nity Baizura Dolhamid.
Penerbit dan penyiar Ria 897 itu menambah: "Saya suka para menti untuk cuba menjadi diri mereka sendiri, lain daripada yang lain, tidak mengikut personaliti yang sudah ada di radio. Saya sering tekankan ‘think out of the box’, atau fikir di luar kotak dan jangan terikut-ikut dengan penyiar yang sedia ada. Harus bijak memilih apa yang sesuai untuk pendengar kita dan sebagainya."
Para peserta dicabar menghasilkan kandungan segar untuk pelbagai platform seperti TikTok, Instagram dan Facebook untuk para pendengar setia dan menarik peminat baharu.
Ia satu pengalaman baharu bagi Ezam Ernady yang sudah biasa menjadi pengacara bebas di majlis-majlis persandingan.
"Ketika kita berada di majlis, cara saya bertutur dan juga mengacara di majlis mungkin tidak sama dengan di radio. Ketika mendengar radio, tahap penggunaan bahasa perlu kuat. Kalau diberikan peluang untuk saya menjadi DJ radio, saya mungkin akan tambahkan elemen-elemen lucu dan saya akan suntikkan penggunaan bahasa. Mungkin menerusi permainan macam peribahasa, berbalas pantun dan sebagainya untuk mempertingkatkan lagi penggunaan bahasa supaya pendengar, yang lapisan usia muda hingga ke yang tua, dapat pelajari sesuatu ketika saya ke udara nanti.”
Seorang lagi peserta ialah pemuzik muda Qis Maraj yang sudah mencipta nama sebagai penyanyi Hip Hop dan Rap di dalam industri muzik Melayu tempatan.
"Ramai yang kata sekarang sudah tidak ada orang yang mendengar radio ataupun sekarang sudah tidak ada orang yang menonton TV. Jadi saya ingin hapuskan stigma tersebut dan saya mahu bawa rancangan yang lebih seronok, yang dapat menarik perhatian lebih ramai anak muda seperti saya sendiri. Contoh pertama, mungkin tentang 'sneakers' atau kasut. Sebab saya pun peminat 'sneakers' dan ramai sangat golongan anak muda sekarang yang mengikut trend 'sneakers' ini," kata beliau.
Wang tunai $10,000 dan peluang menjadi DJ Radio Mediacorp menanti juara pertandingan itu.
Saksikan perjalanan lima peserta Suara Juara selepas Berita pada setiap Ahad mulai 17 September di saluran TV Suria.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.