BERITA+ SIRI DRAMA PASAR MALAM: Papar pelbagai budaya dan kenangan bersama sempena SG60
Pasar Malam sudah menjadi sebahagian daripada budaya Singapura sejak 1950-an lagi, menyatukan masyarakat berbilang kaum dan merupakan wadah untuk usahawan kecil mencari nafkah.
Sempena 60 tahun Singapura, kenangan dan semangat peniaga-peniaga pasar malam cuba dipaparkan dalam drama terbaharu SURIA berjudul Pasar Malam hasil garapan M Raihan Halim.
Untuk BERITA+ kali ini, wartawan Roslinda Rahmat ke sebalik tabir set penggambarannya di estet perumahan Aljunied.
Di sebalik bermacam-macam makanan dan minuman yang ditawarkan di sebuah Pasar Malam di kawasan kejiranan, tersingkap pelbagai kisah dan drama "pengendali-pengendali" gerai Pasar Malam itu yang mengisi jalan cerita siri drama terbaharu SURIA.
Ia menyusuri perjalanan watak-watak yang kehidupannya saling berkait dan penuh warna.
Menurut penulis dan pengarahnya, M Raihan Halim,"Siri drama Pasar Malam mengisahkan empat buah ‘keluarga’ – ‘keluarga’ yang kita dilahirkan dan juga ‘keluarga’ dan kawan-kawan kita, tentang empat orang ini yang bergabung kerana pasar malam ini, lah. Juga kalau kita berganding bahu bersama-sama, kita boleh rempuh apa pun cabaran yang ada."
"Kalau dulu saya pernah mainkan watak cacat sebenarnya, penggali kubur sebenarnya - watak dalam siri drama ‘Bidadari’. Dan kini saya diamanahkan untuk melakonkan watak ini dan saya rasa itu membuat saya lebih lengkap, lah sebagai seorang pelakon. Dari segi persediaan, bila saya mendapat skrip itu, saya berjumpa dengan individu-individu tersebut – 'Eh, kalau macam gini, macam mana eh korang cakap eh?' Ini saya lakukan untuk menghidupkan lagi watak itu sendiri. Dari segi penampilan saya pun banyak yang berubah," dedah Shahril yang melakonkan watak 'Sofyan'.
Siri drama 13 episod ini turut dijayakan Yuslina Yussof, Ariati Tyeb Papar dan Haslina Jaaman.
Selain bakat-bakat tempatan, drama ini juga menampilkan pelakon Malaysia, Mierul Aiman.
Mierul memainkan watak seorang chef bernama Salihin yang dipecat daripada sebuah restoran bertaraf Michelin.
Salihin terpaksa membuat perubahan kerjaya yang tidak disangka, dengan bekerja di gerai burger pasar malam milik abangnya yang telah lama terpisah hubungan.
Dalam usaha Salihin untuk membaiki hubungan yang retak bersama abangnya, beliau berazam untuk mengangkat perniagaan Burgergar abangnya itu ke tahap yang lebih tinggi.
IDEA-IDEA INOVATIF BAGI MENGATASI MASALAH
Menariknya, drama ini memberi idea yang kredibel tentang cara untuk melakukannya.
"Mierul jatuh cinta dengan penulisannya, di mana ‘Pasar Malam’ ini adalah koleksi sebuah keluarga yang mempunyai masalah. Dan pasar malam ini adalah tempat dan lokasi di mana mereka menjumpai huraian dalam setiap masalah mereka. Jadi ia merangkumi unsur sosio-politik, politik kekeluargaan, dan realisme," jelas Meirul Aiman kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Realisme yang dipaparkan disertai idea inovatif demi mengatasi cabaran ekonomi dan kelangsungan hidup.
"Pasar malam ini adalah tempat untuk mencari rezeki, tempat orang-orang kita mudah untuk berniaga. Apabila Mierul dapat berlakon sebagai Salihin ini - barulah Mierul faham, rupanya inilah masalah-masalah yang mereka perlu lalui, sebelum mencipta perniagaan-perniagaan mereka di pasar malam itu. Realisme yang membuatkan Mierul rasa benda ini sangat dekat dengan penduduk-penduduk di Singapura dan juga Malaysia," luah Meirul Aiman yang terkenal kerana terlibat dalam siri drama Projek: High Council di TV Astro.
KISAH SINGAPURA DALAM PASAR MALAM
Lebih sekadar itu, drama Pasar Malam ini juga bagi para pelakon memaparkan kisah Singapura yang mencerminkan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Ini dijelaskan pelakon watak 'Sofyan', Shahril Wahid.
"Kita mempunyai pasar malam yang agak unik saya rasa dalam masyarakat majmuk kita. Jadi secara dasarnya kita dibesarkan di estet-estet perumahan. Jadi pasar malam ini sesuatu yang dekat dengan masyarakat – satu identiti masyarakat Singapura. Bila saya bergabung dengan pelakon-pelakon lain seperti Pakcik Ahmad yang menjual wadeh, memainkan watak ‘Uncle Raju’, ada Sylvester menjual Takoyaki, ia secara dasarnya membentuk bukan satu tempat untuk membeli makan sahaja, tetapi menggambarkan satu ‘Kisah Singapura’.
Menurut pengarah M Raihan Halim, walaupun dua daripada gerai-gerai utama di pasar malam yang dipaparkan merupakan gerai Melayu; namun gerai-gerai lain dipaparkan sebagai milik peniaga Cina, India dan Serani. "Kerana itu yang paling saya suka sekali - untuk mencerminkan realiti. Cabarannya adalah bagaimana untuk mengelakkannya daripada menjadi keterlaluan atau dibuat-buat. Kalau ceritanya bagus, watak-watak yang dikarang juga bagus, maka itulah huraiannya."
"Mierul sangat berbangga untuk bekerja dalam satu naskhah yang memperlihatkan koleksi budaya-budaya di dalam Singapura ini. Bukan sekadar dari segi bangsa, tetapi juga dari segi etika. Banyak benda yang kita boleh belajar dari budaya-budaya ini," celah Mierul Aiman pula.
Ia seolah peringatan tentang pentingnya melestarikan keharmonian kaum dan keamanan yang sekian lama dikekalkan di Singapura, sempena SG60.
Siri drama Pasar Malam ini ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis pada 9.30 malam di Suria dan boleh ditonton juga menerusi mewatch.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.