Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

BERITA+: Sejarah yang kurang ketahui: Industri mutiara yang menguntungkan melibatkan sumbangan orang Melayu Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bandar Broome di Australia Barat terkenal dengan industri mutiara sejak lewat 1800.

Sebahagian besar penyelam kepah mutiara di situ datang dari Jepun, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Antara 1940-an hingga 60-an, ia menarik orang Melayu Singapura yang merantau ke Australia untuk menjadi kelasi kapal tetapi sebaliknya menjadi penyelam mutiara.

Ramai yang kehilangan nyawa melakukan pekerjaan yang merbahaya itu.
 
'MUTIARA' KONGSI SEJARAH PENYELAM MELAYU ASAL SG

Satu kolaborasi tarian di antara aktivis seni Singapura dengan Australia, dipanggil 'Mutiara' mengajak para penonton menyelami sejarah mereka.

Persembahan itu menerapkan gerak langkah sang perkasa silat dan memaparkan Encik Ahmat Fadal, 84 tahun.
Encik Ahmad yang lebih senang dipanggil Datuk Ahmad menceritakan sejarah kehidupannya sendiri, serta memberi 'suara' kepada rakan-rakan yang kebanyakannya sudah tiada.

Ramai daripada mereka terkorban akibat pekerjaan merbahaya itu, atau berhasil pindah ke kawasan lain di Australia atau telah merubah kerjaya.

Datuk Ahmad mungkin satu-satunya penyelam mutiara asal Singapura yang berbangsa Melayu, di Broome, Australia yang tinggal.

Sewaktu merantau ke Australia pada 1962, ada sekitar 50 Melayu Singapura dalam kumpulannya.

Namun menurut beliau, orang Melayu Singapura sudah ke Broome untuk menjadi penyelam mutiara seawal tahun 1940-an lagi.

"Pada tahun-tahun 1960-an itu, di Singapura, pekerjaan susah untuk dicari. Ada kawan yang mengajak, kalau saya hendak bekerja, agar datang ke Broome. Namun saya dapati pekerjaannya terlampau merbahaya kalau hendak diikutkan. Kami pakai barang yang berat-berat. Sepatunya berat, timahnya berat, topi besinya, semua berat supaya senang tenggelam. Kalau tidak, kita akan terapung-apung dan tidak boleh ke dasar laut. Dari matahari naik sampai matahari turun, baru habis kerja. Sarapan, makan tengah hari semua sudah kira tiada lah, kami terpaksa bekerja dan terus kerja, kerja, kerja," cerita Datuk Ahmat Fadal.
 
"Macam saya sebagai penyelam, pada pukul lima (pagi) sudah memakai pakaian menyelam itu. Ambil masa satu jam untuk memakainya. Setiap kali keluar ke laut, kami di lautan selama empat minggu, enam minggu kadang-kadang. Balik rumah berehat sekadar empat, lima hari, kemudian ke laut selama berminggu-minggu lagi. Apabila menyelam untuk mencari mutiara atau cengkerang, kami berada di dalam air selama 45 minit sehingga 1.5 jam - bergantung kepada cengkerang yang ada. Setelah itu, naik ke atas sebentar - dalam lima, sepuluh minit, lalu turun lagi," tambah Penasihat Sejarah Penyelaman Mutiara, Budaya Melayu dan Latihan Silat, yang bermastautin di Broome, Australia Barat itu.

SUMBANGAN YANG MEMPERTARUHKAN NYAWA DAN TANPA PENGIKTIRAFAN

Sumbangan para penyelam mutiara di Broome itu penting kerana tinggi risiko kehilangan nyawa.

Ia nyaris-nyaris meragut nyawa Datuk Ahmat hanya kerana satu kesilapan.

"Semasa (saya) datang, dua (orang) penyelam meninggal dunia. Yang seorang (bangsa) Jepun, seorang lagi Melayu. Sebelum saya turun, mereka masukkan kita punya topi besi, saya baca yang saya tahu, minta kepada Tuhan supaya senang. Setiap kali mereka hendak campak saya ke laut, fikiran saya tertanya-tanya, 'kali ini saya hidup atau mati? Hidup atau mati? Tiap-tiap hari fikir begitu : hidup atau mati?'

"Suatu masa itu, jurutera yang bertugas di atas kapal terputuskan bekalan udara saya yang sedang mencari mutiara dan cengkerang di dasar laut. Apabila sudah tidak ada angin, baju selam saya itu pun mencerut badan saya. Sehingga saya meronta! Mujur mereka sempat tarik saya naik ke atas permukaan. Setelah ditarik sampai ke tangga kapal, mereka tidak buka cermin topi besi yang melindungi kepala saya. Tetapi saya masih boleh terbayang hingga hari ini bagaimana sepasang telapak tangan menolak masuk biji mata saya ke dalam lubang mata saya. Rupanya biji mata saya sudah tersembul keluar! Selepas itu, dengan segala susah-payah, akhirnya saya berhasil temui jalan untuk berhenti kerja," cerita Encik Ahmat.
(Gambar: Facebook/Ahmat Fadal)

Tarian yang dipersembahkan itu menggabungkan unsur-unsur budaya orang asli Broome and tarian Melayu.

"Karya yang dihasilkan ini menggunakan pergerakan atau koreografi yang dihasilkan daripada budaya orang asli Australia, dari suku Yawuru di Broome, dan juga tarian Melayu. Sebagai komposer dan pereka bunyi, saya harus mencari bunyi-bunyian daripada kedua-dua budaya dan memberi satu pernafasan baru untuk pentas kontemporari ini," ujar Seniman Berbilang Media dari Singapura yang menjadi Pereka Muzik untuk persembahan 'Mutiara', Safuan Johari.

Selain ingin menyampaikan mesej tentang perhubungan erat di antara Australia dengan dunia Melayu, pasukan di sebalik persembahan tari 'Mutiara' itu ingin melestarikan sejarah yang kurang diketahui umum.

Dr Noramin Farid
"Datuk Ahmat penyelam mutiara bangsa Melayu, yang tertua, yang sewaktu mereka harus menggunakan pakaian seragam yang seperti angkasawan begitu, turun ke laut. Sungguh penting untuk Singapura kerana ramai orang Melayu Singapura sendiri yang datang ke Broome untuk bekerja sebagai penyelam mutiara. Dan mereka telah menyumbang kepada budaya orang Broome. Penduduknya ada Orang Jepun, orang Kupang, orang Filipina, tetapi mereka menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan," kongsi seniman tari Singapura, Dr Muhammad Noramin Mohd Farid, yang bertindak selaku Pengarah, Penari dan Pereka Tari bagi pementasan 'Mutiara'.

"Tenunan penduduk Broome diungkapkan daripada ramainya keturunan Malayu, lebih ramai berbanding kumpulan budaya lain, dan berkahwin-campur dengan orang asli Australia. Akibat perang dan pemindahan rakyat dan masyarakat keluar daripada Broome, mereka juga memindahkan beban kerja yang dialihkan kepada rakyat seperti moyang saya, Abu Kassem, yang kemudian berjuang dalam angkatan 'Z Force' untuk Australia.
"Dan Silat pula sudah menjadi suatu sumber ilham utama sebagai titik permulaan bagi membangun semacam tata bahasa pergerakan, untuk jenis bahasa yang suka kami gunakan bagi mewakili Broome," kata Cik Dalisa Pigram, Pengarah Artistik, Marrugeku Inc, dari Broome, Australia Barat.

Lantas, tarian 'Mutiara' dipersembahkan di Broome, di ibukota Sydney, dan di Perth, Australia.

"Sudah tiba masanya untuk kita kenali mereka, kenali cerita mereka dan ini sepatutnya menjadi sejarah yang membanggakan. Saya sangat berbesar hati dapat kenali ramai pemimpin orang asli yang berkongsi bahawa orang Melayu banyak menyumbang kepada Broome, lagi-lagi kepada orang-orang asli yang waktu itu mereka tertindas dan melihat 'abang-abang' penyelam mutiara ini sebagai satu inspirasi buat mereka untuk kenali jati diri mereka, untuk lebih kuat berjalan dan terus berjuang," kata Dr Noramin.

Cik Dalisa bersetuju perlunya sumbangan masyarakat Melayu terhadap industri mutiara, diiktiraf.

"Begitu juga masyarakat kami. Kedua-dua orang Melayu dan penduduk asal Australia berkongsi daya tahan. Perkongsian negara dan budaya serta kasih-sayang juga tempat, amat istimewa. Ia contoh baik bagaimana masyarakat-masyarakat berbeza boleh hidup dalam harmoni," kata beliau.

"Adanya orang Melayu yang sebaya dengan bapa atau datuk saya, yang berhijrah ke negeri yang sangat berlainan dan bekerja sebagai penyelam mutiara - perkara ini tidak banyak diketahui oleh masyarakat Melayu di sini. Jadi saya harap pada suatu hari, pementasan ini akan dipentaskan di sini untuk kita semua mempelajari sejarah diaspora Melayu," luah Encik Safuan.

Dengan kejayaan dan perhatian yang diberikan kepada persembahan tarian 'Mutiara' di Australia, maka besar harapan tenaga kreatifnya agar ia dapat dibawa dan dipentaskan pula di Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan