Skip to main content

Hiburan

BERITA+: Peringkat akhir Anugerah 2026 janjikan persaingan sengit, penyingkiran dalam episod terakhir

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Peringkat akhir Anugerah 2026 janjikan persaingan sengit, penyingkiran dalam episod terakhir

Para finalis Anugerah 2026. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Oct 2026 02:42PM
SINGAPURA: Debaran semakin terasa sedang para finalis Anugerah 2026 bersiap sedia untuk persembahan-persembahan kemuncak mereka di peringkat akhir.

Selepas tiga pusingan uji bakat dan lapan minggu di pentas utama Anugerah, episod terakhir pertandingan itu bakal menentukan juara daripada lima finalis.

PERJALANAN ANUGERAH 2026 BANTU FINALIS KENALI DIRI DAN KEBOLEHAN

Perjalanan sepanjang empat bulan di pertandingan itu bukanlah semudah dijangka oleh para finalis.

Bagi Alfan Ryan dan BANIE, permulaan perjalanan tampak suram diselubungi ketidaktentuan penyingkiran dengan kedua-dua peserta sering muncul di tangga pertengahan atau bawah.

Namun berkat kerja keras dan bimbingan teguh para mentor dan juri, prestasi kedua-dua finalis itu meningkat secara bertahap-tahap sehingga menembusi 'Top 3' dalam minggu-minggu menjelang peringkat akhir.

Alfan dan BANIE singkap perjalanan mereka di pertandingan tersebut.

"Sepanjang perjalanan saya daripada pusingan uji bakat hinggalah ke hari ini, ia telah mematangkan saya untuk menjadi seorang penyanyi lebih yakin dan setiap komen yang saya dapat, saya akan selalu belajar. Balik rumah, buka semua video persembahan saya dan saya akan tengok mana kesilapan saya. Saya rasa seperti ada banyak lagi ruang untuk saya perbaiki diri dan mungkin untuk peringkat akhir ini saya akan tunjukkan segala-galanya yang saya ada," kongsi Alfan.
Related article image
Alfan Ryan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
BANIE pula cuba meningkatkan prestasinya dengan menerapkan komen juri berkenaan penghayatan lagunya.

"Sepanjang pengalaman saya di Anugerah, penuh dengan cabaran dan pembelajaran. Kalau saya bandingkan diri sendiri daripada episod pertama sampai sekarang, ada banyak peningkatan, bukan sahaja dalam segi vokal tapi juga dalam keyakinan dan penguasaan pentas. Setiap minggu Anugerah mengajar saya untuk keluarkan diri sendiri daripada zon selesa dan menjadi penghibur yang lebih baik," renung BANIE.
Related article image
BANIE. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Perjalanan Nada Fitri dan Izzan Adlan pula kelihatan konsisten dengan nama kedua-duanya hampir tiap minggu muncul sebagai 'Top 3'. Namun, mereka berdua juga pernah menduduki tangga keempat.

Oleh sebab kedudukan teratas tidak terjamin, mereka juga harus membuat persiapan secukupnya untuk menjuarai pertandingan tersebut.

"Saya dah buat banyak persiapan untuk peringkat akhir ini sebab saya tahu satu minggu itu, saya pernah menduduki tempat yang keempat jadi salah satu persiapan ialah saya lakukan lebih latihan vokal bersama salah seorang jurulatih vokal saya, Rahila Rashun," jelas Nada.

Latihan vokal bersama jurulatih Rahila Rashun kini dilakukannya dua hingga tiga kali seminggu, berbanding seminggu sekali sahaja.
Related article image
Nada Fitri. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Bagi Izzan pula, sama seperti BANIE, beliau turut diberikan nasihat untuk memperbaiki penghayatan lagunya.

"Orang cakap semua dalam mata. Saya rasa saya banyak kebil-kebil bila saya nyanyi. Jadi untuk dapatkan penghayatan, saya kena ada raut muka yang lebih menghayati juga," katanya.
Related article image
Izzan Adlan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Farras Qushayyi pula sudah merasakan kehampaan di pertandingan itu apabila beliau tersingkir di episod 6.

Walaubagaimanapun, setelah kembali berentap sesudah pusingan 'Wildcard', beliau berjaya bangkit dan mara ke peringkat akhir.

Menurutnya, walaupun beliau tidak sangka dapat ke peringkat akhir, peluang keemasan itu tidak akan disia-siakannya.

"Ini peluang tak datang kedua kali jadi peringkat akhir ini, saya betul-betul persiapkan diri saya dengan cara berlatih, berlatih, berlatih dan saya takkan mengecewakan orang-orang yang dah sokong saya selama ini," ungkapnya.
Related article image
Farras Qushayyi. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
PERINGKAT AKHIR BAKAL TAMPILKAN PERSAINGAN PALING SENGIT SETAKAT INI

Kemuncak Anugerah 2026 bakal menampilkan persaingan yang sangat sengit.

Antaranya, di tengah-tengah episod akhir nanti, tiga peserta akan disingkirkan dan hanya 'Top 2' sahaja yang akan bertarung di pentas akhir untuk merebut gelaran juara.

"Ini adalah kali pertama di mana finalis harus melalui tiga pusingan iaitu solo, duet bersama alumni dan juga 'face off'. 'Face off' ialah pusingan yang terakhir di mana hanya 'Top 2' saja yang akan mara ke pusingan terakhir. Dan ini adalah pusingan penentuan," jelas Penerbit Anugerah 2026, Zulina Karim.

Para penonton juga akan disajikan dengan persembahan pembukaan oleh para alumni Anugerah serta persembahan istimewa oleh juri undangan, Aina Abdul.

SAMBUTAN MUSIM KE-12 PERTANDINGAN MEMBERANGSANGKAN

Kembali untuk edisi ke-12 setelah lima tahun berehat, Anugerah 2026 turut mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat.

"Selepas lima tahun, kami sangat teruja melihat sambutan yang baik dan positif terhadap Anugerah 2026. Dan kami dapat lihat dari undian yang meningkat pada setiap episod. Kami (juga) melihat betapa ramainya penonton yang sanggup datang pada setiap Selasa untuk menyaksikan acara ini ataupun program ini secara langsung. Jadi, saya rasa Anugerah masih mempunyai ruang atau tempat di hati masyarakat pada ketika ini," ujar Cik Zulina lagi.
Related article image
Penerbit Anugerah 2026, Zulina Karim. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Malam penentuan Anugerah 2026 bakal melahirkan juara 'generasi terkini' yang akan pulang dengan hadiah wang tunai sebanyak $25,000.

Anda boleh saksikan episod tersebut secara langsung di saluran Suria dan mewatch pada Selasa (27 Okt), 8.30 malam.
Sumber : BERITA Mediacorp/AK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita