Skip to main content

Hiburan

BERITA+ Penyanyi Nana Karia, Adee Nuradee ceburi bidang niaga makanan, martabatkan makanan warisan

Daripada pentas nyanyian ke dapur kulinari, dua penyanyi tempatan menggunakan kreativiti seni mereka untuk memartabatkan makanan warisan masyarakat Singapura dalam bentuk yang relevan dengan cita rasa dan gaya hidup masa kini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jul 2026 05:01PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 03:20AM
SINGAPURA: Daripada pentas nyanyian ke dapur kulinari, dua penyanyi tempatan menggunakan kreativiti seni mereka untuk memartabatkan makanan warisan masyarakat Singapura dalam bentuk yang relevan dengan cita rasa dan gaya hidup masa kini.

Ratu soul tempatan Nana Karia membuka Waroeng Bon Jovo yang diinspirasikan oleh akar budaya keluarganya, manakala Mohamed Rasid Abdullah atau Adee daripada duo Nuradee memberi nafas baharu kepada hidangan ikonik Sup Tulang Merah menerusi konsep makanan yang boleh dinikmati pada bila-bila masa.

Berita+ meneroka perjalanan Nana dan Adee mengangkat hidangan warisan, suntikan kreatif pada jenama serta cabaran menempuh alam perniagaan.

DARI PENTAS HIBURAN KE DAPUR, PENYANYI HIDUPKAN RESIPI WARISAN

Kedua-dua mereka ada sebab tersendiri kerana menceburi bidang niaga makanan warisan.
Related article image
Waroeng Bon Jovo - jenama yang mencerminkan penyatuan dua warisan budaya dalam keluarga Nana Karia. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Bagi Nana, makanan warisan mempunyai nilai yang sama seperti sebuah lagu malar segar - membangkitkan memori, emosi dan rasa kekitaan yang merentasi generasi.

"Makanan warisan pada Nana adalah yang macam kalau kita sakit macam mana dah berumur pun kita akan cari emak, kan? Macam itulah. Bila kita sakit, kita cari makanan warisan - makanan yang kita membesar bersama-sama," ujar penyanyi & pemilik bersama Waroeng Bon Jovo, Nana Karia.

Semangat itulah yang mendorongnya membuka Waroeng Bon Jovo, jenama yang mencerminkan penyatuan dua warisan budaya dalam keluarganya.

"‘Bon’ itu sebenarnya ringkasan bagi Bawean (Boyan). Dan 'Jovo' itu Jawa. Suami saya orang Bawean, Nana orang Jawa... jadi inilah pengertian Bon Jovo itu sebenarnya Bawean Jawa yang disatukan," jelasnya kepada wartawan Roslinda Rahmat.

NANA UBAH STRATEGI NIAGA TANPA KORBANKAN CITA RASA TRADISI

"Pada mulanya saya buka Waroeng Bon Jovo ini untuk menjual Botok-Botok. Sebab susah sangat nak dapat Botok-Botok di Singapura, kan? Tapi kita harus praktikal, sebab kita melalui cabaran-cabaran berniaga ini. Tak hari-hari orang nak makan Botok-Botok. Jadi kalau tak hari-hari orang makan, perniagaan pun agak susah untuk kita pertahankan," ujarnya.

Nana mengaku, antara cabaran terbesar adalah memastikan warisan budaya terus dipelihara tanpa mengorbankan kelangsungan perniagaan.

Kos bahan mentah yang tinggi, kesukaran mendapat bekalan segar dan perubahan selera pembeli mendorongnya menyesuaikan menu kepada hidangan yang lebih dekat dengan pelanggan harian seperti nasi ayam penyet, mi bakso dan nasi lemak berlauk.

"Nak buat Botok-Botok bukannya mudah ya. Harga ikan - nak kena ambil kira bahawa ikan lebih mahal daripada ayam dan daging. Dan harga daun pisang, serta ulam-ulaman, macam daun-daun mengkudu, macam-macam daun, susah nak dapat. Nak cari daun yang segar pun tak murah. Bila kami sediakan Botok-Botok yang berkualiti, harganya juga agak terlebih manis! Jadi susah lah orang nak beli hari-hari. Mungkin ada hari istimewa, ada majlis, baru orang pesan, kan? Jadi untuk mengekalkan perniagaan, ia tidak praktikal dan saya harus memikirkan kos sewa serta pekerja. Jadi saya pun kena rombak balik menunya," dedah Nana.
Related article image
"Perjuangan mempertahankan makanan warisan berakar daripada pengalaman hidup yang membentuk diri Nana Karia (tengah)." (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Nana juga berkongsi bahawa beliau kini dalam proses berpindah lokasi, menetapkan bahawa pusat penjaja di kawasan CBD lebih menepati visi dan keperluannya.

"Yang datang ke sini orang Cina, orang Baba, India, orang Bangladesh, ada juga 'Mat Salleh' satu-dua. Mereka suka pasal mungkin mereka tak makan makanan begini hari-hari kan? Macam pada mereka ini makanan istimewa. Macam untuk kita, ia makanan hari-hari, jadi kita rasa macam makanan biasa kan? Tapi mereka lebih suka dengan rasanya. Satu komentar yang saya selalu dapat ialah makanan Melayu ini rasanya amat berwarna-warni. Pedasnya, masinnya, masamnya.. Maka itu saya sedang mencari lokasi yang dekat dengan pejabat-pejabat, hotel, kawasan pelancong. Jadi dalam perancangan, insyaAllah dalam bulan Ogos tahun ini," dedah Nana.

Perjuangan mempertahankan makanan warisan sebenarnya berakar daripada pengalaman hidup yang membentuk diri Nana.

"Saya membesar dengan keluarga yang berniaga. Emak saya dahulu ada kedai Nasi Rawon di Bedok South. Jadi saya kecil-kecil lagi sudah pergi tolong emak. Arwah nenek di Melaka pun ada kedai makanan - medan selera di Melaka. Saya buka gerai makan sebab ia membawa kembali kenangan masa saya membesar dan saya rindu duduk di kedai - boleh berbual dengan jiran gerai sebelah, kawan-kawan," kenang Nana.
Related article image
Sup Tulang Merah versi beku oleh Adee Nuradee mencerminkan kreativitinya berinovasi demi menanggung kos perubatan Nur. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
SUP TULANG MERAH BEKU CIPTAAN ADEE TULAR & RAIH RATUSAN PESANAN

Sementara itu, bagi Adee Nuradee pula, kreativiti hadir dalam bentuk inovasi. Jika kebanyakan Sup Tulang Merah hanya boleh dinikmati di restoran atau gerai tertentu, beliau melihat peluang untuk membawa hidangan yang cukup digemari pelbagai kaum di Singapura itu ke rumah pelanggan dalam bentuk yang lebih praktikal.

"Dari 11 tahun saya sudah pandai masak. Dan saya memang suka kepada Sup Tulang Merah, kerana saya pernah jual di negara jiran dahulu dan sambutannya begitu baik sekali," kongsi Adee yang nama sebenarnya Mohamed Rasid Abdullah, pemilik perniagaan dari rumah, Warisan Rasa.

Maka lahir idea menghasilkan Sup Tulang Merah dalam bentuk beku yang mengekalkan rasa asli tetapi lebih mudah disimpan dan dinikmati.

Jelas Adee, "Kami membungkus secara vakum dan bekukan. Setelah saya masak, cepat-cepat saya akan bungkus dan saya bekukan untuk jaga keselamatan makanan, untuk jaga kesegarannya".

Idea tersebut ternyata mendapat sambutan hangat apabila kiriman media sosialnya tular dan menarik ratusan pesanan dalam tempoh yang singkat.

"Dalam sebulan itu hampir 400 tab Sup Tulang Merah saya jual. Kelam-kabut juga saya dibuatnya kerana saya buat bukan dalam kedai makan ataupun kilang. Saya buat seolah saya sendiri yang nak makan, saya jaga kualitinya, kebersihannya, penampilannya," kongsi Adee kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Walau sup tulang jenama Warisan Rasa oleh Adee bermula demi mencari wang bagi menanggung kakaknya dan kos perubatan adiknya, Nur yang dirundung masalah kesihatan, Adee terus memikirkan usaha mengembangkan niaga menerusi cara yang dimampui.
Related article image
Sup Tulang Merah resipi warisan dari ibu kepada kakak Nuradee (tengah) yang diwarisi Adee terbukti popular dan tular di media sosial. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
MAKANAN WARISAN JADI PENTAS BAHARU NANA & ADEE BERKARYA

"Nana lihat pengusaha yang sama umur macam Nana, yang berniaga, mereka akan buka kedai menjual makanan fusion, barat atau makanan-makanan dari negara lain. Saya faham mungkin mereka fikir lebih mudah untuk menjual makanan-makanan macam itu. Kalau masak makanan warisan, kosnya lebih tinggi daripada kos masakan barat. Tapi pada saya, kalau bukan kita, siapa lagi? Pada saya yang paling penting untuk didik anak-anak saudara saya dulu, sepupu-sepupu yang muda-muda lagi. Mula daripada keluarga sendiri. Kerana, kalau bukan saya, siapa?" luah Nana.

Bagi kedua-dua Adee Nuradee dan Nana Karia, makanan warisan bukan sekadar produk untuk dijual.

Ia merupakan wadah penceritaan budaya, sama seperti lagu yang merakam pengalaman dan identiti sesuatu masyarakat.

Dalam usaha mereka mengekalkan resipi warisan turun-temurun sambil menyesuaikannya dengan keperluan semasa, Nana dan Adee membuktikan bahawa dengan usaha dan kesungguhan, hidangan warisan akan dapat terus dimartabatkan, malah diterima baik generasi muda.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/rl
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita