Skip to main content

Hiburan

BERITA+ Pentas Raya: Filem La Luna dibawa ke pentas Esplanade

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penduduk kampung rekaan bernama Bras Basah, sekian lama berpegang kuat kepada moral. Aksi seorang pendatang baharu tiba-tiba membuka sebuah kedai pakaian dalam yang moden, mengusik norma sosial yang telah lama berakar di kampung itu.

Pertama ditayangkan pada tahun 2023, filem karya M Raihan Halim, berjudul La Luna itu merupakan penyertaan Singapura ke Anugerah Akademi ke-97 (Oscars) pada tahun lalu (2025), bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.

Ia juga ditayangkan di pelbagai festival filem antarabangsa termasuk Tokyo, Jogja-Indonesia, Rotterdam dan Shanghai.

Berita+ menjenguk di sebalik tabir Pesta Raya Esplanade, yang buat julung-julung kalinya, Teater Ekamatra mengadaptasi La Luna dari wayang gambar ke pentas teater.

KEDAI JUAL PAKAIAN DALAM CABAR NORMA SOSIAL KAMPUNG BRAS BASAH

Cabaran terhadap norma sosial di Kampung Bras Basah dengan kehadiran kedai pakaian dalam itu kekal menjadi teras pementasan La Luna yang sedang diusahakan Teater Ekamatra, sempena Pesta Raya Esplanade.

Bagi pasukan kreatif Teater Ekamatra, pementasan La Luna bukan sekadar adaptasi. Ia proses merungkai, dan membina semula sebuah dunia.

Pasukan produksi itu juga perlu berdepan dengan persoalan utama : bagaimana menukar bahasa layar perak kepada bahasa teater?

LA LUNA TAMPIL VERSI TEATER DENGAN PENDEKATAN ‘PARALLEL UNIVERSE’

Bagi penulis naskhah, Ridhwan Saidi, cabaran itu bermula sebaik sahaja beliau memutuskan untuk tidak sekadar menyalin cerita asal.

"Versi teater ini - ia lebih kepada satu pengalaman baharu. Malah, saya rasa ia seperti kalau di dalam dunia luar sana ada orang kata, 'Parallel Universe'. Situasinya di Kampung Bras Basah lebih kurang sama, tapi ada bezanya. Saya cuba setia dengan perasaan karya asal. Maksudnya komedi, bersahaja, tapi ada konfrontasi berlaku," ujarnya.

La Luna merupakan kali ketiga penulis dari Malaysia ini berkarya untuk pementasan Teater Ekamatra.

Yang pertama untuk pementasan Bangsawan Gemala Malam iaitu adaptasi dari William Shakespeare, A Midsummer Night's Dreams dan juga pada tahun 2024, beliau menulis naskhah Bawang Putih Bawang Merah - yang merupakan adaptasi dari cerita rakyat.

"Tapi kali ini uniknya sebab La Luna adalah karya moden dari filem. Jadi ia terlalu dekat di hati penonton. Jadi cara saya menggarap pementasan ini juga saya guna pendekatan yang sedikit unik."

"Saya cuba membuat La Luna ini berasaskan sebuah memori seorang kanak-kanak atau remaja yang dah dewasa. Jadi dia ada unsur ingatan dan juga dia dari perspektif 'lain orang, lain ceritanya', jelas Ridhwan.

KAMPUNG BRAS BASAH BERUBAH SIMBOLIK, BUKA TAFSIRAN PENONTON

Di layar perak, dunia La Luna boleh kelihatan nyata. Tetapi di pentas, realiti itu perlu dicipta semula, secara langsung, di hadapan penonton.

Menurut Pengarah & Pereka Penerbitan bagi pementasan La Luna, Mohd Fared Jainal, "Kalau filem itu dalam satu setengah jam, kita, saya rasalah, ada lebih banyak kesabaran kepada penonton untuk menonton dan membongkar cerita itu dan melihat intipati ceritanya macam mana ia diketengahkan. Tapi untuk teater pula, kita harus padatkan apa intipati yang kita nak ketengahkan. Kerana dalam teater itu kerana audiensnya LIVE, jadi mereka lebih ingin tahu dan mereka lebih segera ingin mengetahui bagaimana cerita itu berkembang."

GAYA LAKONAN PENTAS LEBIH BESAR, SERTAKAN UNSUR MUZIKAL & TARIAN

Bagi pelakon pula, cabaran terbesar adalah untuk menyesuaikan gaya lakonan. Di antara sembilan pelakon yang menjayakan pementasan La Luna adalah Fir Rahman, yang memegang watak Salihin.

"Di pementasan, Salihin seorang pegawai bomba sukarela, tapi di filem yang dimainkan oleh Shaheizy Sam, dia seorang pegawai polis sukarela. Kita sebenarnya mini muzikal lah. Jadi ruang bermainnya lain. Mimik muka yang besar, aksi yang lebih besar. Tak boleh nak dibandingkan dengan filem, sebab filem - di atas layar perak, kita tak boleh nak 'over'," jelas Fir kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Di peringkat naskhah, penulis perlu memutuskan - apa yang perlu dilepaskan, dan apa pula yang perlu dikembangkan, sehingga kesemua sembilan watak utamanya boleh menonjol.

Di sinilah cerita La Luna berubah. Kisahnya diceritakan semula dari sudut pandang yang berbeza.

Pengarah dan Pereka Penerbitan, Pementasan La Luna, Fared menambah, "Setelah mewujudkan set 'kampung' rekaan sebagai lokasi, kita dapat mengetengahkan kesemua sembilan watak yang ada di dalam La Luna ini supaya kesemua sembilan-sembilannya kita dapat mengetengahkan isu-isu yang tersirat dalam kehidupan mereka semua."

Lima pementasan La Luna bakal dipersembahkan di Pesta Raya Esplanade, dari 16 hingga 19 April 2026.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita