Skip to main content

Hiburan

BERITA+ PEMENTASAN 'YUSOF': Mengintai kehidupan peribadi Presiden pertama Singapura Yusof Ishak yang kurang diketahui

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Asalnya hanya empat pementasan selama tiga hari, namun ia kemudian ditambah kepada tujuh pementasan sepanjang lima hari.

Begitulah hangatnya permintaan bagi pementasan sempena SG60, 'Yusof: Potret Seorang Presiden' oleh Teater Ekamatra, di Waterfront Theatre, Esplanade.

Penceritaan kehidupan Yang di-Pertuan Negara Singapura yang pertama, Presiden Yusof Ishak itu dikemaskini naskhahnya selepas pertama kali dipentaskan 10 tahun lalu,

demi memastikan ia kekal relevan dan dilakukan penulis asal yang merupakan cucu saudaranya, Zizi Azah Abdul Majid.

Wartawan Roslinda Rahmat mengintai sesi latihan 'Yusof' yang mula dipentaskan mulai 17 Oktober hingga Jumaat (24 Okt), dengan kesemua tiket habis dijual!

NASKHAH TEATER EKAMATRA TARIK RAMAI, TUJUH PEMENTASAN HABIS DIJUAL

Konflik adik-beradik, persahabatan, politik, perjuangan orang Melayu...

antara babak-babak mendebarkan dalam kehidupan seorang ketua negara - Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak.

"Yusof ini adalah yang pertama untuk Teater Ekamatra menampilkan sebuah naskhah yang berunsurkan sejarah. Jadi, ketepatan dan keasliannya haruslah ada dan cabaran - satunya itu adalah bagaimana kita nak imbangkan sesuatu yang dari dunia lama dengan dunia sekaranglah supaya ianya relevan dan dapat bukan sahaja difahami, tapi dapat diterima oleh penonton-penonton sekarang." ujar Mohd Fared Jainal, Pengarah dan Pereka Set bagi pementasan 'Yusof'.

"Anak-anak muda melihatnya, mungkin melalui sekolah dan juga dalam bank nota dolar itu, ada gambar dia. Tapi dalam pementasan ini saya rasa kita dapat mengenali dia lebih mendalam lagi menerusi hidup dia. Seorang ayah, seorang abang, seorang anak, teman yang melalui berbagai-bagai cabaran. Dan seperti macam orang biasa juga, ada suka-duka dan sebagainya," tambah Fared.

Drama “Yusof” berlatarkan tahun-tahun awal pembentukan Singapura - menelusuri perjalanan hidup Presiden Yusof Ishak daripada seorang wartawan pengasas akhbar Utusan Melayu, kepada ketua negara yang memperjuangkan demokrasi, perpaduan kaum, dan kepimpinan berteraskan khidmat; di tengah-tengah era penggabungan, pemisahan dan kemerdekaan.

PELAKON ASAL SANI & SITI KEMBALI, TONJOL WATAK YUSOF DAN ISTERI DENGAN LEBIH MENDALAM

Watak Yusof, dengan segala pergelutan emosi yang dilalui, terutama sewaktu perlu membuat keputusan besar, dihidupkan oleh pelakon asal dari 10 tahun lalu, Sani Hussin.
(Gambar: Akbar Syadiq)
"Ramai orang tak tahu sebenarnya siapa sebenarnya sosok Yusuf Ishak ini. Presiden pertama, Presiden Melayu pertama, itu saja yang mereka tahu tapi mereka tak tahu pentingnya kehadiran dia waktu itu. Macam mana dia menyuarakan pendapat bangsa Melayu ataupun nak menegaskan apa yang penting bagi bangsa Melayu melalui Utusan Melayu. Waktu itu, bahan komunikasi agak terhad, cuma radio dan kita tak ada surat khabar Melayu waktu itu. Ada pun Arab yang punya. Berita-berita daripada Timur Tengah, tapi tidak ada berita-berita Melayu.

Tapi dengan adanya Utusan, orang Melayu dapat mengetengahkan apakah masalah-masalah yang mereka ada waktu itu dan mudah-mudahan pemerintah waktu itu dapatlah menyelesaikan sedikit masalah komuniti Melayu waktu-waktu itu," ujar Sani.

Pementasan ini menyerlahkan idealisme Yusof, pengorbanannya dan juga keluarganya, serta keyakinan teguh beliau bahawa sebuah masyarakat yang bersatu dan adil mampu bangkit daripada warisan penjajahan berabad lamanya.

Namun, untuk memaparkan sudut kehidupan seorang presiden yang tidak banyak diketahui umum, dan tanpa banyak bahan sejarah yang dapat dijadikan rujukan, bagaimana dapat Sani sebagai seorang pelakon, menjiwai sisi peribadi Yusof?

"Penulis naskah ini, Zizi - cucu saudara Yusof Ishak. Jadi saya dapat pendedahan macam mana Yusuf Ishak sebagai seorang manusia lebih dekat lagi daripada, sebab dia keluarga. Baru-baru ni saya baca Utusan Melayu sebelum jadi Utusan Malaysia. Di situ ada agak lengkap, sejarah penubuhan Utusan Melayu. Di situ pun diceritakan bagaimana Encik Yusof, bila dia jadi pengarah Utusan, sangat garang, tak boleh salah tatabahasa, tak boleh datang lambat," jelas Sani.
(Gambar: Akbar Syadiq)
"Saya dapat tengok gambar-gambar dia pakai kain dengan baju biasa, dengan songkok haji je kat rumah, dengan radio. Jadi sebagai tokoh, sebagai presiden, sebagai bos Utusan, dia lain. Dan di rumah, mungkin lain. Keresahan dia, dia punya kegembiraan, kesedihan. Itulah semua yang akan saya tonjolkan yang mungkin orang ramai tidak dapat lihat." tambahnya lagi.

Siti Khalijah Zainal yang lebih dikenali sebagai Siti K, juga pemain asal watak Puan Noor Aishah yang dikekalkan.

Mengenang pemergiannya pada 22 April lalu, beliau tidak dapat melawan rasa terkilan. Mujur, Allahyarhamha sempat menonton persembahan sulung mereka 10 tahun lalu.

"Saya mengharap sangat jikalau beliau dapat menonton pementasan kami sekali lagi, tapi apakan daya. Tapi kami tetap bersyukur kerana beliau telah dapat menonton pementasan yang pertama pada tahun 2015. Beliau duduk betul-betul hadapan saya waktu saya melakonkan pementasan itu. Jadi amat gementar sekali.Selepas pementasan itu kami dapat berjumpa dengan beliau dan dengan melihat wajah, ekspresi beliau yang sentiasa tersenyum itu yang memberikan kami lebih semangatlah. Dan kami percaya yang kami telah melakukan tugas itu dengan baik," ujar Siti K yang menghidupkan watak Puan Noor Aishah.

Yang penting, Siti Khalijah menyerlahkan peranan isteri yang membantu meniup semangat Yusof sebagai pemimpin, mendorongnya untuk teruskan usaha membina negara.

"Watak saya kali ini telah ditulis dengan lebih sedikit mendalam untuk menonjolkan lagi ciri-ciri Allahyarhamha, di mana beliau misalnya sebagai seorang isteri menjadi tulang belakang kepada arwah suaminya juga. Dan dari segi itulah kita dapat melihat bagaimana beliau menunjukkan kekuatannya terhadap suami yang mungkin dalam saat-saat beliau sedang dibelenggu masalah dan sebagainya," jelasnya.

Selain mendedahkan bagaimana suami-isteri itu pertama kali bertemu, kerendahan hati Yusof jelas terpapar dalam pementasan ini, apabila memilih untuk sebaliknya tinggal di rumah kecil untuk pekerja istana, Sri Melati, kerana enggan membesarkan anak-anak dengan kemewahan tinggal di Istana.

"Sangat mengagumkan. Saya sendiri berharap saya dapat berjumpa kekasih hati seperti itu pada suatu hari nanti, InsyaAllah. Kerana dalam apa yang mereka lalui sebagai suami isteri, cinta dan kesetiaan kepada satu sama lain tetap ada dan dapat kita lihat dari gambar-gambar, daripada video-video lama dan dengan mereka membina keluarga mereka sendiri, rakyat dan negara tidak mereka lupakan. Malah ia sentiasa di hadapan mereka. Jadi saya rasa itu sangat menakjubkan sekali," luah Siti K.

Selain Sani dan Siti K, Teater Ekamatra turut mengekalkan barisan pelakon asal bagi pementasan, Yusof: Potret Seorang Presiden (2025), iaitu Dalifah Shahril dan Farah Ong.

Dua pelakon lain yang baru dilibatkan dalam pementasan kali ini ialah Ghafir Akbar dari Malaysia dan Fauzie Laily, yang seperti semua pelakon lain dalam pementasan ini, memainkan beberapa watak berbeza.

"Memang bukan mudah untuk memainkan dua watak berbeza. Tidak banyak yang kita dapat cari tentang Samad dan juga Ramley di buku teks. Satu merupakan adik kepada Yusof Ishak dan satu merupakan temannya dan saya rasa dari segi umur juga berbeza. Jadi itu memainkan peranan penting untuk bagaimana kita boleh membezakan dua watak ini.

"Watak Samad ini merupakan seorang yang cukup penting di sisi Yusof Ishak sebenarnya sebab beliau merupakan salah seorang sahabat beliau dari hari pertama beliau memulakan Utusan. Keperibadian beliau ini cukup berbeza sebab beliau mempunyai sesuatu semangat yang kental sekali untuk, untuk mencapai visi beliau sendiri. Dan bagaimana beliau mencapai visi itu, itulah yang mungkin apa yang orang boleh lihat bila menyaksikan pementasan ini dan akan faham kenapa beliau jadi begitu," kongsi Fauzie Laily, yang melakonkan watak 'Ramley Ishak' dan 'Samad Ismail'.
(Gambar: Akbar Syadiq)
Mereka disokong oleh pasukan kreatif berpengaruh, termasuk penyelidik kandungan pementasan Alfian Sa’at, pereka kostum Sufiyanto dari Kebaya Societé, pereka pencahayaan Adrian Tan, dan pereka bunyi Syed Ahmad.

TEATER EKAMATRA HARAP NILAI MURNI YUSOF JADI TELADAN GENERASI MUDA SEMPENA SG60

"Sebelum beliau menjadi presiden, beliau adalah seorang wartawan yang hebat. Mungkin saja kalau tak ada, tak ada Utusan waktu itu mungkin kita masih lagi terkial-kial untuk mencari, mencari atau mendengar suara orang Melayu. Dilantik menjadi presiden sebab kerana dia sudah buktikan kerjanya melalui komuniti Melayu dan lepas itu dia naik pangkat untuk menjaga komuniti, rakyat Singapura secara amnya. Jadi, tokoh ini bukan sahaja presiden, tetapi lebih daripada itu," luah pelakon utama sebagai Presiden Yusof Ishak, Sani Hussin.

"'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Kerana saya rasa boleh sahaja sebagai seorang isteri seorang presiden, beliau hidup senang lenang tetapi Allahyarhamha tidak melakukan sebegitu. Malah beliau menghabiskan masa dengan melakukan banyak kerja kebajikan, mengambil kursus untuk memperbaiki diri beliau demi menjadi seorang isteri yang dapat menyokong suaminya berhadapan dengan masyarakat. Meninggalkan impak dan kesan yang sangat mendalam kepada masyarakat kita hinggalah hari ini," kekaguman yang diluahkan Siti Khalijah Zainal, pembawa watak Puan Noor Aishah.

Dan akhir kata, pengarah pementasan 'Yusof 2025: Potret Seorang Presiden', Mohd Fared Jainal berkongsi harap, "Kalau kita tengok, Encik Yusuf ini, dia orang yang ada nilai-nilai, ada prinsip hidup. Dan itu yang menjadi pegangannya walaupun apa cabaran dia. Jadi, saya berharap dengan nilai-nilai murni yang dia pamerkan itu, ia menjadi satu teladan untuk anak-anak muda."

'Yusof' 2025 sebahagian daripada inisiatif 60 Connections – At Home and Afar, yang diadakan selama setahun bagi meraikan kisah-kisah Singapura dan kolaborasi antarabangsa sempena SG60.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita