Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

BERITA+: M Nasir imbau kenangan terbit lagu di Lion Studios

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA : Bagai Sireh Pulang Ke Gagang. Demikian diibaratkan apabila lagenda muzik ‘Sifu’ Mohamad Nasir Mohamed atau M Nasir menghabiskan masa sekitar dua jam bersama 150 peminat di tempat beliau mula menempah nama.

Lion Studios yang terletak di Commonwealth Drive menyaksikan titik permulaan kerjaya seni M Nasir.

Ditubuhkan pada 1980, ia hanya beberapa minit berjalan kaki dari rumah ibu mertuanya pada masa itu.

"Tempat itu dekat dengan rumah saya. Dua, tiga minit begitu. Itu yang tidak bagus itu sebab kita ambil sambil lewa, jadi kita berlengggang sahaja pergi. Namun kerana saya suka bekerja, maka saya sering berada di studio itu," dedah beliau semasa temu bual dengan Berita Mediacorp di Restoran The Malayan Council di Fullerton Waterboat House.

Lion Studios menjadi markas untuk M Nasir berkarya.

Beliau bermula sebagai penulis lirik untuk kumpulan Alleycats sebelum menubuhkan kumpulan Kembara yang memperjuangkan lagu-lagu rakyat.

Lion Studios dibangunkan pada 1980 oleh Polygram Records dan ia antara studio tercanggih di Asia Tenggara pada waktu itu.

Ramai artis serantau yang bernama besar merakam lagu di sini, seperti Teresa Teng, Alan Tam, Tracy Huang, Kit Chan, Sweet Charity, Headwind dan banyak lagi.

"Kalau ikutkan teknologi pada era itu, ia di barisan hadapan sedikit lah. Ia adalah satu studio yang baru, besar dan direka mengikut kehendak pereka akustiknya. Malah perkakas yang kita pakai, alat rakamannya, rekaannya itu memang baharu. Tidak ada di studio lain sewaktu tahun awal 1980-an," kongsi beliau.
"Dulu saya duduk di sini" Cerita M Nasir kepada wartawan. Gambar: Roslinda Rahmat
Di situlah juga, lulusan Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) itu mengasah bakat sebagai penerbit.

"Saya ini bukan dilatih sebagai penerbit. Saya belajar daripada pengalaman. Jadi banyak perkara-perkara yang saya tidak tahu. Kadang-kala komunikasi pun agak susah. Sebab mereka tidak faham apa saya hendak dan saya pun tidak faham apa yang mereka terangkan. Jadi selalu banyak perselisihan faham berlaku.

"Tetapi saya belajar sedikit demi sedikit. Dan saya dapati bekerja di situ sangat-sangat selesa. Selesa kerana reka bentuknya. Malah studio saya di Sungai Buluh, Selangor yang saya buat sendiri pun tidak begitu. Sampai begitu tahap profesionalisme."

Di Lion Studios jugalah di mana banyak lagu-lagu 'hits' Melayu tercipta.

Cerita 'Sifu' M Nasir, "Lagu duet saya, 'Dua Insan' dengan Yunizar Hussein saya rakamkan di situ. Dan lagu ‘Sandarkan Pada Kenangan’ itu saya rekod di situ semasa Jamal nyanyi dengan Ogy untuk filem 'Azura'. Kumpulan Search, dan kumpulan Kembara semua saya rakam di situ.

Banyak lagu 'hits' kumpulan-kumpulan lain seperti Al Jawaher, Flybaits, Alleycats dan Ideal sisters juga dirakam di situ, termasuk sebuah lagu yang menjulang nama Search ke puncak populariti.

"Satu hari ini kami sedang mengadun rakaman untuk kumpulan Search jadi kita dengar lagu ini berulang kali. Seorang jurutera audio yang berbangsa asing itu lalu berkata, “Lagu ini akan meletup!” Saya yang buat lagu itu, Search yang merakam lagu itu, kami tidak tahu yang lagu itu akan meletup. Tetapi dia sebagai seorang jurutera audio berkata “Lagu ini akan meletup!”. Lagunya adalah ‘Fantasia Bulan Madu’. Dan betul. Beberapa bulan selepas itu lagu itu bukan setakat menjadi satu lagu 'hits', tapi ia menjadi satu fenomena! Ia juga terjual di Indonesia dan dirakam oleh orang lain dan sebagainya!"

Lion Studios turut menyimpan kenangan manis bersama arwah isteri M Nasir, Junainah Johari daripada trio Ideal Sisters.

"Kenangan yang kelakar sedikit adalah sebab rekaan cermin di studio itu, di dalam kokpit, reka bentuk cerminnya itu penuh, yakni dari lantai sampai ke siling. Jadi seakan-akan kita tidak nampak cermin itu. Selalu orang yang mahu ke ruang sebelah akan melanggarnya! Dan anak saya, selalu saya bawa anak saya ke situ. Kepalanya selalu terhantuk cermin itu!" kongsi M Nasir sambil ketawa.
"Berkongsi nostalgia bersama pemilik terkini Lion Studios, David." Gambar: Roslinda Rahmat
Pada 21 Julai 2023, 150 peminat bernostalgia bersama anak jati Singapura yang membesar di Teck Whye ini dalam satu sesi intim di Lion Studios.

Selain perkongsian tentang perjalanan seni, mereka disajikan dengan persembahan lima buah lagu secara akustik, diiringi lima pemuzik yang diterbangkan dari Malaysia termasuk pemain seruling terulung, Mohar.

Sehingga ke hari ini, lagu-lagu yang dicipta M Nasir masih menyentuh isu sosial semasa di setiap era.

Malah, karya seni sentuhan emas seniman ini menjadi rujukan bagi ramai penggiat seni.

Guru dan penggiat seni setempat Asnida Daud berharap kehidupan dan kerjaya M Nasir dapat didokumentasikan

"Dalam kalangan rakan-rakan saya sendiri, ada yang membuat kajian tentang cara penulisannya, corak beliau mereka lagu. Tetapi sebagaimana yang beliau katakan, secara amnya saya rasa kerjaya seninya ini belum lagi dibukukan. Ini sangat penting. Beliau seorang ikon, beliau seorang lagenda yang berasal dari negara kita."

Dalam sesi yang sama, seorang peminat dari Kuching Sarawak, Mohammad Hamzah Man sanggup "mengejar" seniman tersebut walau ke mana pun beliau membuat persembahan.

"Dato’ M. Nasir adalah idola saya. Saya mengenali Dato’ M. Nasir daripada album 'Canggung Mendonan' dahulu, semenjak umur saya 14 tahun. Masa itu kita tidak berkemampuan. Dato’ M. Nasir ini memberi banyak inspirasi. Sebab itu di mana dia hendak buat konsert, di situ saya akan "kejar" dia. Disebabkan kenikmatan rezeki Allah beri kepada saya sekarang. Semestinya dia adalah satu legasi yang saya fikir adalah nombor dua kepada P. Ramlee."

KONSERT 'GENDANG PATI' M NASIR BAWA 2,500 PENONTON BERLAYAR KE DUNIA MELAYU

Pada 22 Julai 2023, maestro muzik tersohor ini membawa lebih 2,500 penonton menyusuri dunia Melayu dalam persembahan satu malam 'Gendang Pati' di The Star Theatre.

Pada usia 66 tahun, M Nasir masih menyengat mendendangkan lebih 20 lagu dalam konsert selama tiga jam.

Selain tawa riang, dendangan lagu 'Suatu Masa' turut menyentuh hati sesiapa yang pernah melalui kehilangan orang tersayang.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan