Skip to main content

Hiburan

BERITA+ Konsert terakhir Zainalabidin dan pementasan 'fusion' Randai Macbeth - kemuncak Pesta Raya Esplanade

Pernah terbayang bagaimana bentuknya apabila karya Shakespeare diMelayukan?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pernah terbayang bagaimana bentuknya apabila karya Shakespeare diMelayukan?

BERITA+ kali ini ke belakang tabir pementasan Randai Macbeth yang dijayakan sempena Pesta Raya Esplanade yang berlangsung kini.

Acara tahunan itu juga menampilkan penyanyi legenda Zainalabidin dalam konsert yang meraikan lima dekad perjalanannya dalam bidang seni hiburan.
Related article image
Zainalabidin, 66 tahun, mempersembahkan konsert terakhirnya di Singapura sempena Pesta Raya Esplanade. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
PESTA RAYA ESPLANADE RAI 50 TAHUN KERJAYA ZAINALABIDIN

Sepanjang 50 tahun kerjaya seninya, Zainal Abidin Mohamed, menghasilkan 17 album - enam bersama kumpulan Headwind, empat album solo, tiga album kompilasi dan seterusnya, tidak termasuk beberapa 'single'.

Bermula sebagai vokalis rock bersama Headwind pada akhir 1970-an, kemudian beralih kepada bunyi solo yang lebih berteraskan muzik dunia, melalui album Zainal Abidin (1991), apakah titik perubahan paling kritikal yang mendorong evolusi artistik beliau?

"10 tahun bersama kumpulan Headwind, saya menyanyikan lagu-lagu yang mahu dipasarkan oleh syarikat rakaman. Ianya bukan datang daripada jiwa saya sendiri. Jadi jiwa saya ini memberontak ingin tahu berapa jauh dan dan berapa banyak daya-daya ataupun kerja-kerja kreativiti yang boleh saya lakukan lebih daripada apa yang dikehendaki oleh syarikat rakaman. Maka saya beredar dan berhijrah menjadi seorang artis atau penghibur solo dan ianya betul-betul memaparkan diri saya yang sebenarnya," ujar Zainalabidin secara eksklusif kepada wartawan Roslinda Rahmat.

DARAH SENI YANG MEMPENGARUHI MUZIK CIRI KHAS ZAINALABIDIN

Muzik khas Zainalabidin menggabungkan bunyi tradisional Malaysia dengan gaya kontemporari, mengambil inspirasi daripada muzik Afro-Asia dan budaya muzik dunia.

"Dari kecil lagi saya hidup dengan datuk saya dengan nenek saya. Mereka ini semua ahli muzik dan sebelah datuk saya - dia pemimpin Orkestra British dan juga Jepun, di mana mereka memainkan lagu-lagu 'standard' seperti Blue Moon, The Shadows of Your Smile. Jadi saya dengar lagu-lagu itu hari-hari di rumah. Sebelah emak saya pula, sebelah nenek penyanyi lagu-lagu keroncong, macam Bengawan Solo, Sarinande, lagu-lagu Ghazal semua. Jadi dalam fikiran saya ini, apa yang akan berlaku sekiranya kedua-dua genre muzik ini, saya adunkan dan jadikan satu genre yang baru? Maka lahirlah selepas Zainal Abidin menjadi penyanyi solo, ianya satu perubahan.

SUDAH CANANG PENTINGNYA JAGA ALAM SEKITAR SEJAK 35 TAHUN LALU

Artis legenda Malaysia berusia 66 tahun ini juga dikenali kerana lirik yang menyentuh isu sosial dan advokasi sosialnya.

"Lagu Hijau itu, kita dah keluarkan - sehingga ke hari ini lebih kurang dalam 35 tahun. Masa itu, orang belum tahu lagi tentang pemuliharaan alam sekitar. Saya dah mula mewar-warkan bahawa benda ini penting. Sekarang ini kita melalui zaman peperangan, kita melalui zaman perubahan cuaca yang agak melampau. Ianya masih relevan sehingga ke hari ini. Alhamdulillah," luah Zainalabidin.

"Saya menggunakan kerjaya seni saya ini sebagai satu kenderaan untuk saya sampai kepada semua orang. Jadi kenderaan yang boleh saya gunakan ini adalah untuk menyampaikan mesej-mesej yang terbaik. Satunya alam sekitar. Satunya tentang kekeluargaan. Satunya, hubungan suami-isteri. Hubungan kita dengan ibu-bapa kita. Tanggungjawab kita sebagai manusia. Menghormati jiran. Sekiranya perhubungan ini kita jaga dengan baik, memberikan satu kesedaran yang baik. Ianya memberikan satu masa depan yang sangat positif. Kalau tak ada seni, ianya tak ada budaya. Kalau tak ada budaya, ianya tak ada satu bangsa. Kalau tak ada bangsa, tak akan ada satu negara yang makmur. Jadi daripada seni itu kita harus ukir dengan baik supaya lahirnya satu bangsa yang sihat-walafiat dan satu negara dan satu identiti yang boleh kita banggakan," ujar legenda dari Malaysia itu.

KONSERT TERAKHIR ZAINALABIDIN DI SINGAPURA

Repertoir untuk Konsert 50 Tahunnya mewakili muzik yang telah membentuk kerjaya Zainalabidin, daripada inspirasi muzik seperti Sting dan Stevie Wonder, kepada lagu-lagu yang menjadi ciri khasnya.

Dan Jumaat (17 Apr) merupakan konsert terakhir Zainalabidin yang bersara daripada persembahan konsert pada usianya yang kini 66 tahun, setelah 50 tahun berkarya.

Sebagai penghormatan kepada peminat setianya di sini, beliau mengarahkan sendiri konsertnya selama 90 minit itu.

Ia turut menampilkan iringan big band, diketuai oleh pemain piano dan penerbit terkenal Michael Veerapen, setelah sekian lama bekerjasama dengan komposer dan penata muzik terkenal Malaysia, Mac Chew.

"50 tahun. Kalau saya nak nyanyi semua lagu hit saya, tak habis saya rasa dua hari. Saya nyanyikan lagu-lagu hit saya, tapi saya pilih - ada beberapa lagu yang terpaksa disatukan sebagai medley, kerana hanya untuk memenuhi ruang-ruang kepuasan penonton dan juga peminat saya. Sedihnya, ini merupakan konsert terakhir saya di Singapura. Lagu-lagu macam Puteri, macam Kau Di Hatiku, Ikhlas Tapi Jauh, Hijau - itu lagu-lagu 'wajib'. Lagu-lagu yang melambangkan Zainal ini adalah seorang artis yang sangat versatil - lagu macam Khayalan, lagu Sabar, lagu Paus yang jarang saya mainkan, akan saya mainkan kali ini. Anda akan merasa bangga bahawa 'Eh, ada lagu Melayu pun ada standard macam ini?'

"Kali ini, ia lebih kepada 'jazz fusion'. Ianya menghiburkan. Ianya mempunyai satu satu ritma yang boleh buat anda menari, boleh buat anda menangis, boleh buat anda suka. Susunan muzik yang agak berat tapi sedap didengar dan lain daripada yang lain," kongsi Zainalabidin.

PESTA RAYA ESPLANADE PAPAR SENI PEMENTASAN MINANGKABAU - RANDAI + KARYA SHAKESPEARE MACBETH

Pementasan 'fusion' Randai Macbeth hasil gabungan karya barat dengan bentuk teater tradisional yang berasal dari Padang, Sumatera Barat.

Produksi Pusat Seni Persembahan Tradisional (PuTRA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia (ASWARA) itu kali pertama dipersembahkan pada 2024, dan memenangi lapan anugerah, termasuk yang terbaik bagi 2025 - merentasi kategori teater dan muzikal.

Menurut pelakon utama yang menghidupkan watak Macbeth, Mohd Kamarulzaman Taib, "Ia bukan sekadar adaptasi daripada Shakespeare menjadi bahasa Melayu biasa, tetapi bahasa Melayu yang hampir seindah Shakespeare itu. Jadi kita tak boleh nak tinggalkan perkataan-perkataan sesuka hati, dan masukkan perkataan kita sesuka hati. Kita harus pegang dan cuba rasa dan kuasai bahasa itu supaya kita tidak meninggalkan makna-makna yang penting dalam dialog Macbeth," ujarnya kepada wartawan.
Related article image
Pelakon watak Macbeth, Mohd Kamarulzaman Taib yang dicabar menguasai bahasa Shakespeare-Melayu. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Setia kepada teks asal, pementasan Randai Macbeth memaparkan wira yang mendapat ramalan tiga ahli sihir tentang takdirnya untuk menjadi Raja. Sebaik sahaja mendapat tahu, isteri Macbeth lantas merancang membunuh Raja Duncan yang sedia ada, supaya mereka boleh mengambil-alih kuasa. Bagaimanapun, sesuai kisah-kisah tragedi sastera, tindakan isteri Macbeth mengakibatkan nasib malang yang lebih teruk apabila pembunuhan tragis itu menghantui kehidupan mereka berdua.
Related article image
Babak pergolakan antara Lady Macbeth (kiri) dan Macbeth untuk membunuh Raja Duncan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Tujuan kita mengambil sesebuah teks itu tentunya kerana naskhahnya itu sendiri yang menggamit kita, memanggil kita. Intipati Shakespeare itu masih dikekalkan. Cuma bentuknya macam kita baca sebuah naskah yang tepat - versi pendek karya Macbeth oleh William Shakespeare. Tetapi masih ada semua elemen," ujar Dr Norzizi Zulkifli yang merupakan Penulis & Pengarah, Randai Macbeth.
Related article image
Dr Norzizi Zulkifli, Penulis Skrip dan Pengarah, Randai Macbeth. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Bagaimanakah beliau yang mendapat jolokan penulis skrip dan pengarah paling inventif di Malaysia itu, menyeimbangkan kesetiaan terhadap teks asal Shakespeare dengan keperluan untuk mengintegrasikan estetika bentuk seni pementasan randai dan identiti budaya Melayu serta Minangkabau?

"Untuk seorang penyesuai macam saya, kita ada dua pilihan lah ya, sama ada kita mengarah Shakespeare - maknanya itu bersama naskhah penuh tapi kita nak suntik elemen Melayu di situ iaitu kita boleh setia kepada teks A sampai Z. Tapi kita masukkan perisa Melayu. Itu satu cara. Satu cara lagi ialah sekarang ini kita memindahkan ataupun kita sebenarnya ambil Randai itu sebagai asas utama. Jadi sekarang cerita itu yang masuk ke dalam bentuk randai. Maknanya, tidak dapat dibuang. Diambil keseluruhan naskhah Shakespeare. Ini kerana babaknya yang panjang juga watak-wataknya yang ramai dan keterbatasan untuk babak-babak," jelas Dr Zizi.

KARYA SHAKESPEARE DALAM BENTUK YANG BELUM PERNAH DILIHAT SEBELUM INI

Randai Macbeth diberi jolokan sebagai karya Shakespeare seperti yang tidak pernah dilihat sebelum ini: dicipta-semula melalui tradisi Minangkabau dan identiti budaya Melayu.

Dr Zizi menerangkan, "Tarikan utama persembahan Randai adalah dari silat yang digerakkan oleh Anak-anak Randai. Silat dan tepukan pada seluar 'galembung' mengeluarkan bunyi. Anak-anak Randai setiap masa berada di atas pentas, dalam bentuk lingkaran. Kemudian, mereka akan bersilat dan berdendang dalam bentuk gelombang. Jadi di situ, ada elemen silat, tari, nyanyian, muzik dan kemudian dia ada penceritaan," jelasnya.

Lima pementasan Randai Macbeth di Esplanade berlangsung sempena Pesta Raya sehingga Ahad (19 April).
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita