BERITA+ Ketuk-Ketuk rahsia penerbit rancangan memasak popular sempena Ramadan
SINGAPURA: Pelakon dan penerbit Sheila Rusly - antara figura serba boleh dalam industri hiburan Malaysia, selama lebih empat dekad.
Selain berlakon dan menerbitkan drama yang meraih anugerah, keupayaannya terserlah menerusi rancangan memasak santai terbitannya sendiri, “Ketuk-Ketuk Ramadan”.
Kini, Sheila Rusly turut menyesuaikan diri dengan perubahan industri dengan menghasilkan kandungan digital yang kekal relevan dengan peminatnya.
BERITA+ KETUK PINTU HATI SHEILA RUSLY RAMADAN INI
SYAWAL YUSOFF: Dalam Berita+ HTHT hari ini - kita ingin ketuk-ketuk pintu hati Sheila Rusly. Jadi selamat datang ke Singapura terlebih dahulu.
SHEILA RUSLY: Terima kasih kerana mengundang saya.
SYAWAL YUSOFF: Nama anda sering dikaitkan dengan program-program memasak dan juga kedai-kedai, restoran. Dan kali ini anda di Singapura sebagai duta produk jenama Bibik Express. Mungkin anda boleh kongsikan sedikit peranan anda sebagai duta?
SHEILA RUSLY: "Kita kena paparkan imej yang bagus. Kerja kita adalah untuk mempromosikan produk itu dan buatkan pelanggan percaya akan mutu produk itu. Saya perlu buat kandungan-kandungan yang menarik, yang boleh buat pembeli rasa macam nak cuba produk itu. Jadi saya harus guna akal dan fikiran untuk menghasilkan kandungan yang berkualiti, yang bermanfaat sebab kita kena tahu siapa pasaran sasaran kita. Suri rumah, bukan? Jadi para suri rumahtangga suka kita tujukan ke arah yang macam mana?"
SYAWAL YUSOFF: "Sebagai duta, anda juga ingin mengetengahkan hidangan lebih sihat?"
SHEILA RUSLY: "Hidangan lebih sihat itu sebenarnya bergantung kepada resipi anda, menu anda, kaedah anda, cara anda masak macam mana, berapa segar bahan-bahan yang anda gunakan, anda guna minyak yang banyak ke tidak. Cara menumis itu betul ke tidak..."
SYAWAL YUSOFF: "Penglibatan anda dalam industri sejak awal?"
SHEILA RUSLY: "Saya bermula pada tahun 1985. Umur 15 tahun, dan saya memang ada minat dalam layar TV, layar perak ini. Jadi bila dapat peluang itu, saya pun cuba dengan sebaik mungkin. Jadi bila saya ada minat memasak, itulah sebabnya adanya Ketuk-Ketuk Ramadan. Sebab dengan minat yang saya ada dan pengetahuan yang saya selalu kongsi dengan pengikut saya, jadi orang semua ingat macam 'dia ini cef, aku rasa. Dia ini masak jadi sahaja. Tangan dia ini magik ke apa ke?' Tapi sebenarnya saya bukan cef."
BAKAT MEMASAK LAHIR DARI KELUARGA MINANGKABAU
SYAWAL YUSOFF: "Bakat memasak itu datang daripada mana?"
SHEILA RUSLY: "Saya orang Minang. Jadi memang orang Minang ini, bila saya tenguk arwah nenek, emak-emak saudara, emak saya sendiri, memang kalau ada kenduri-kendara, kita tak ada telefon 'Hello khidmat katering ke, boleh tak masak untuk 100 orang?' Tak ada! Semua masak sendiri. Dan bila makan, saya rasa sedap. Jadi saya belajar masak. Kahwin pula dengan orang Perak. Orang Perak dia tak pandai sangat makan masakan orang Minang. Jadi kita ajarlah. Orang Minang makan jering, makan petai. Syawal makan ke?"
SYAWAL YUSOFF: "Tak makan."
SHEILA RUSLY: "Dah agak dah. Orang-orang Singapura tak makan benda macam itu sangat. Jadi kita kena ajarlah anak-anak. Macam anak-anak saya, kecil-kecil lagi saya dah ajar macam mana nak makan petai, macam mana nak makan jering, macam mana nak makan masak lemak cili padi."
SYAWAL YUSOFF: "Jadi kirakan usaha yang anda buat ini - untuk belajar masakan Minang ini juga untuk melestarikan hidangan Minang ke generasi yang akan datang?"
SHEILA RUSLY: "Ya. Kalau nak kata anak-anak itu iyalah sebab, saya yang besarkan mereka, bukan? Saya yang didik, yang masakkan untuk mereka, jadi itulah makanan yang saya selalu hidangkan. Tapi tidaklah kata saya fokus lebih kepada masakan Minang, masakan Padang sahaja. Jadi saya mencuba jugalah pelbagai resipi kerana jika anda ada minat, anda akan lebih cenderung mempelajarinya dan anda akan rasa macam 'Takkan ilmu aku sampai sini sahaja?' Jadi bila saya ke luar negara, pergilah mencari makanan hanya untuk merasakan pengalaman dan mempelajari tentang bahan-bahan rahsia yang digunakan terutama untuk resipi asli. Jadi dari situ, saya olah resipi itu sedikit supaya resipi itu bersesuaian dengan tekak orang Melayu - orang Malaysialah dengan orang Singapura. Orang Singapura ramai datang ke restoran saya. Jangan anda tak tahu."
KETUK-KETUK RAMADAN TERCETUS DARI IMPIAN DAN BAJET KECIL
SYAWAL YUSOFF: "Tadi sis cakap tentang Ketuk-Ketuk Ramadan - 15 tahun anda terbitkan rancangan itu? Tapi kenapa ubah nama dari Citarasa Selebriti kepada Ketuk-Ketuk Ramadan?"
SHEILA RUSLY: "Sebenarnya memang menjadi impian saya untuk mempunyai program masakan sendiri. Tetapi masa itu saya tak ada duit. Saya sarankan kepada seorang penerbit dan dia pun beli konsep itu. Saya sarankan judul rancangan dinamakan Ketuk-Ketuk Ramadan tetapi dia tolak. Dia nak judul Citarasa Selebriti. Oleh kerana dia adalah penerbit, dia bayar, saya pun ikut. Masa itu kita sudah mula menerbitkan tele filem dengan bajet kecil-kecil, dalam S$60,000 masa itu. Saya kumpul duit dengan suami saya untuk menerbitkan satu drama. Jadi Alhamdulillah, drama itu rezeki kita. Kita menang Anugerah Skrin. Selepas itu kita dapat panggilan daripada RTM cakap kenapa tidak anda terbitkan Citarasa Selebriti? Penerbit yang asal itu tak nak bagi kita nama program itu sebab dia kata, itu dia punya. Hak dia. Jadi, saya ambil balik judul Ketuk-Ketuk Ramadan saya. Ketuk-Ketuk Ramadan itu yang meletup sebenarnya. Bukan Citarasa Selebriti."
SYAWAL YUSOFF: "Ada tak rancangan untuk kembalikan, hidupkan semula Ketuk-Ketuk Ramadan?"
SHEILA RUSLY: "Ramai dah minta saya buat balik. Tapi, ia tak semudah macam dulu tau. Sekarang ini semuanya mahal dan saya tak rasa kalau anda nak artis-artis yang gred A, yang betul-betul tengah dikenali sekarang ini, anda tak akan dapat harga yang macam saya buat 10 tahun lepas. Jadi buat apa saya rugi - dengan penat dengan rugi, tapi kita hanya dapat puaskan hati stesen penyiaran, puaskan hati penonton, tapi akhirnya saya tak dapat apa-apa? Stesen tak faham situasi kita sebagai penerbit dan situasi kita yang setiap musim nak buat kelainan, kena buat lebih bagus, lebih bagus, lebih bagus. Yang tertekan adalah saya. Sebab saya buat Ketuk-Ketuk Ramadan tak ada skrip. Spontan. Saya pula nak buat soalan-soalan supaya selebriti undangan itu 'termakan', supaya benda itu boleh jadi 'bloopers' atau kesilapan lucu. Jadi semua benda saya fikir."
SYAWAL YUSOFF: "Rahsia kejayaan di sebalik Ketuk-Ketuk Ramadan?"
SHEILA RUSLY: "Buat dengan ikhlas, buat dengan bersungguh-sungguh. Rahsianya, anda kena ada ilmu. Ilmu - anda memang kena cari ilmu setiap hari. Bukan kata bila anda buat program, anda buat penggambaran ke, anda apa ke baru anda nak gali ilmunya. Tidak! Ilmu itu anda kena cari setiap hari, walau apa pun projek yang anda buat sekalipun. Memasak pun anda perlu ilmu. Dan anda kena semula jadi. Jangan dibuat-buat."
SHEILA RUSLY KEKAL RELEVAN HASIL KANDUNGAN DIGITAL JUTAAN PENONTON
SYAWAL YUSOFF: "Syarikat penerbitan anda, JS Pictures juga menerbitkan drama-drama meletup-letup."
SHEILA RUSLY: "Semua orang beri lebih tumpuan kepada tontonan digital sekarang, berbanding TV. Tak macam era dahulu - masa zaman-zaman saya berlakon. Masa itu memang orang akan duduk tonton, ikuti, orang akan 'tweet', jadi drama anda akan 'trending'. Sekarang, orang tonton Netflix."
SYAWAL YUSOFF: "Anda ini orangnya serba boleh. Berlakon mesti 'best' punya. Menjadi hos, pandai memasak juga, pengarah, penerbit. Mana satukah peranan yang paling menyeronokkan untuk anda?"
SHEILA RUSLY: "Saya lebih suka fokus kepada sesuatu yang benar-benar berbaloi buat saya sebab saya pun bukan muda lagi. Saya tiada tenaga macam duIu, yang boleh bekerja daripada pagi sampai ke esok pagi. Jadi saya kena jaga kesihatan juga. Kerana saya sayang keluarga lah, maka saya kena jaga kesihatan."
SYAWAL YUSOFF: "Projek yang kita boleh jangkakan daripada saya dalam masa terdekat?"
SHEILA RUSLY: "Kalau dahulu, kalau anda berlakon drama, TV3 akan buat pengumuman. Wahhh, satu juta penonton! Sekarang tak payah dah. Saya buat video guna telefon bimbit sahaja, boleh dapat tiga juta tontonan! Macam tak payah kita berpanas-panas. Kita buat masak-masak sahaja. Tapi jika kandungannya boleh memberi manfaat kepada para pengikut, anda akan dapat menjangkau seramai itu. Jadi kalau tak berlakon di layar TV pun, saya rasa masih boleh kekal relevan dalam industri tapi dengan platform yang berbeza. Orang ramai mula mendapatkan khidmat sisi untuk buat pengisian digital. Saya tidak pernah mengimpikan apa-apa. Cuma nak sihat, nak rezeki tak putus-putus Allah bagi dan semoga Allah bagi ilmu yang bermanfaat untuk saya kongsi bersama dengan pengikut dan dapatkan idea-idea yang segar supaya saya boleh reka pengisian yang lebih menarik dan kandungan yang bermanfaat untuk saya kongsi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.