Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

BERITA+ HTHT: ZIANA ZAIN: Dari "Kemelut di Muara Kasih" ke inspirasi buat ibu tunggal

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir semua 5,000 tiket untuk konsert sulung Ratu Balada Ziana Zain di The Star Theatre hujung minggu depan telah terjual.

Konsert intim "Hati ke Hati" akan membawa peminat menyelami perjalanan seni Ziana selama 30 tahun melalui 20 lagu hitsnya.

Saksikan wawancara Ziana bersama Syawal Yusoff mengenai cabaran dan rancangan terkini beliau dalam Berita+ HTHT.

PENGALAMAN LEBIH DARI 30 TAHUN DALAM INDUSTRI MUZIK

SYAWAL: "Selamat datang Ziana Zain ke Berita+ HTHT. Pada awal kemunculan anda dalam industri muzik dahulu, anda masih menjadi seorang pramugari, bukan? Jadi yang mana satu lebih seronok, menjadi penyanyi atau pramugari?"

ZIANA: "Kedua-duanya seronok sebenarnya. Pengalamannya berbeza. Kerjaya Pramugari banyak mengajar saya tentang perhubungan awam, tentang bagaimana hendak 'baca' orang, bagaimana hendak tenangkan orang apabila mereka marah, dan bagaimana hendak tangani keadaan. Saya bersyukur yang kerjaya saya sekarang ini, saya bukan sahaja menyanyi, menghiburkan orang tetapi saya boleh menatap mata peminat saya, untuk mengetahui bagaimana mereka benar-benar menghargai kita sebagai sesama insan, sebagai kakak anda, sebagai penyanyi. Dan menerusi mata juga kita tahu sejauh mana peminat menyayangi kita."
 


LAGU-LAGU BAHARU KURANG MENYENGAT?

SYAWAL: "Semasa anda baru-baru bertapak, lagu-lagu seperti Madah Berhelah, Putus Terpaksa melonjakkan nama anda, bukan? Bila lagi anda akan hasilkan lagu-lagu malar segar macam itu?"

ZIANA: "Setiap penyanyi itu ada fenomenanya, ada masanya. ^Macam Kak Gee, sungguh bertuah. 1990-an itu tahun-tahun gemilang ^setiap penyanyi kerana ketika itu kesemua penggubah - ^lagu yang mereka tulis itu memang akan 'meletup'."

SYAWAL: "Tetapi sekarang macam kurang sedikit. Kenapa?

ZIANA: "Saya fikir mungkin kerana penerbitannya. Anda kena ingat bahawa sentuhan era dahulu itu berbeza. 1990-an berbeza, tahun 2000-an berbeza. Mungkin kerana kadang-kala peminat sudah digasak dengan lagu-lagu kita dahulu, jadi sudah melekat melodi itu pada jiwa mereka. Jadi Kak Gee cuba sedaya upaya untuk mendidik peminat Kak Gee. Kak Gee cakap 'Ini yang terkini. Apa yang berlalu, biarlah berlalu. Anda tidak boleh ulangi'. Susah tau. Kita ada peminat generasi lama dna baharu, jadi kita kena ambil yang tengah-tengah supaya kedua-dua generasi itu boleh dengar, boleh layan lagu kita."

SYAWAL: "Kalau kita cakap pasal Ziana Zain, lagu yang dinyanyikan mesti lagu yang kena tarik-tarik suara. Lagu-lagu begitu yang orang ingat. Tapi pernah tidak Kak Gee bimbang tentang kesihatan kotak suara Kak Gee?"

ZIANA: "Jadi penyanyi akan sentiasa bimbang! Macam dahulu, sebelum suara kita lasak, kita nyanyi-nyanyi setiap malam. Ada masa suara hilang, ada masa asyik pergi jumpa doktor. Jadi doktor kata, 'Anda dera suara. Anda tidak cukup rehat'. Tetapi pada masa itu, kita tidak ingat apa. Allah tengah bahagi rezeki waktu itu jadi kita kerja lh bersungguh-sungguh. Apabila sudah tidak ada suara, tidak boleh bercakap, baru tahu, kan? Tetapi itulah lumrah jadi penyanyi. Sekarang, Kak Gee tidak hendak fikir sudah tentang itu. Rezeki, kesihatan, apa semua atas rahmat Allah."
 

LIRIK LAGU MENJADI 'DOA' BAGI KEHIDUPAN SEBENAR

SYAWAL: "Lagu anda, Kemelut Di Muara Kasih, diibaratkan macam kena dengan peribadi anda sendiri?"

ZIANA: "Dahulu apabila mendapat lagu, kita tidak memikirkan akibatnya, di mana apabila kita menyanyikan lebih daripada 24 kali, ia akan jadi kepada diri kita. Seperti satu sebutan meminta. Seperti doa. Dahulu kita tidak faham, sekarang sudah faham. Tetapi, Kak Gee tidak pernah kesal. Ia mengajar Kak Gee agar lebih matang dalam kehidupan, lebih redha dan lebih bersikap terbuka. Allah bagi yang baik. Kadang-kadang kalau kita terlalu fikirkan, benda itu sudah terjalin dengan memori kita. Boleh jadi kita tidak sakit pun akan jadi sakit. Jadi Kak Gee tidak mahu itu berlaku!"

JADI INSPIRASI KEPADA IBU-IBU TUNGGAL

SYAWAL: "Anda sekarang seorang ibu tunggal, membesarkan empat orang anak sendiri. Apakah sebagai inspirasi kepada peminat-peminat wanita anda?"

ZIANA: "Kak Gee apabila naik ke pentas, Kak Gee cakap, 'Kepada semua ibu-ibu tunggal, kita patut berbangga kerana kita berupaya besarkan anak-anak dengan tulang empat kerat kita. Allah bersama kita. Ingatlah selalu bahawa kita yang terpilih'. Itu yang beri semangat!"
KONSERT SOLO SULUNG DI SG SETELAH LEBIH 30 TAHUN DALAM INDUSTRI

SYAWAL: "Setelah lebih 30 tahun berkecimpung dalam industri muzik, ini konsert solo pertama anda di Singapura ya? Apa keistimewaan yang dapat kita jangka?"

ZIANA: "Kak Gee akan bercerita tentang kehidupan Kak Gee. Sebagai penyanyi, sebagai kakak, sebagai adik, sebagai sahabat. Kak Gee tidak ada hendak naik 'flying fox' untuk terbang masuk ke pentas ke, buat aksi lasak 'stunts' ke apa, tidak ada. Kak Gee hendak tengok mata, setiap mata, setiap air muka peminat Kak Gee. Hendak tengok muka sedih, suka, bingung. Kak Gee suka sangat!"

DENDANG LAGU-LAGU 'HITS' TERBAIK

SYAWAL: "Ada tidak komposer yang telah banyak menyumbang kepada kerjaya seni Kak Gee dan ada tidak macam segmen penghargaan?

ZIANA: "Tribute' tidak ada. Kak Gee akan nyanyi (lagu) semua komposer. Tetapi komposer pertama yang banyak memberi Kak Gee wadah untuk dikenali adalah Saari Amri. Lagu Madah Berhelah dia, juga lagu Kemelut Di Muara Kasih.

BELUM LAYAK BERGELAR BIDUANITA NEGARA DI MALAYSIA?

SYAWAL: "Di media KL, Kak Gee pernah kata yang Kak Gee belum layak untuk diberi gelaran Biduanita Negara. Kenapa?"

ZIANA: "Rasa Kak Gee, sumbangan Kak Gee belum banyak lagi. Tetapi mungkin orang luar nampak banyak. Sebab terus-terang cakap, Kak Gee berada di arena ini bukan untuk mendapat pangkat, bukan untuk mengejar apa-apa. Kak Gee buat kerana minat. Kak Gee sampai tidak pernah terfikir boleh pun, apabila orang calonkan Kak Gee. Pada masa yang sama, syukur Alhamdulillah. Terima kasih orang ingat pada Kak Gee. Terkejut juga. Ada orang lebih layak dari Kak Gee. Atas-atas Kak Gee itu masih ramai lagi yang sudah lama berkecimpung dan berkhidmat kepada peminatnya dalam industri ini. "

SYAWAL: Menurut Kak Gee itu, ciri-ciri hendak jadi biduanita itu apa?

ZIANA: "Ada orang kata, biduanita ini khas untuk menyanyi sahaja, kan? Tetapi Kak Gee rasa, dia yang serba-boleh. Anda lihat Saloma. Dia sampai ke Congo, sampai ke mana-mana, naik kapal terbang, turun kapal terbang hendak menghiburkan orang. Itu memang biduanita! Sebenarnya penyanyi ini sumbangannya kepada masyarakat besar, macam YB (Yang Berhormat, wakil rakyat)!

RANCANG 'SINGLE' TERBAHARU

SYAWAL: "Jadi, sepanjang kerjaya Kak Gee, berlakon sudah, menyanyi sudah, menjadi pengacara sudah, menjadi juri pertandingan lawak pun sudah, duta produk pun sudah. Apa lagi yang Kak Gee belum sempat lakukan?"

ZIANA: "Apa lagi? Semua sudah Allah beri. Kak Gee hendak semoga anak-anak Kak Gee berjaya dunia akhirat. Dan Kak Gee nak nikmati kehidupan Kak Gee. Yang mana dulu-dulu Kak Gee tidak dapat nikmati, Kak Gee hendak nikmati sekarang, yang mana anda mesti teka apa yang Kak Gee tidak pernah buat lagi. Kak Gee hendak melepak dengan kawan-kawan Kak Gee, minum kopi yang sudah berpuluh tahun Kak Gee tidak dapat sebab Kak Gee kerja dan berkeluarga! Dan Alhamdulillah, sekarang Kak Gee dapat sedikit-sedikit, jadi Kak Gee hendak nikmati sekarang. Anak-anak sudah besar, kan? Sekarang masa untuk diri Kak Gee sendiri pula!"

SYAWAL: "Ada perancangan untuk lahirkan 'single' baharu, album baharu?"

ZIANA: "Kak Gee sudah dapat, cuma Kak Gee sedang tunggu susunan muziknya bagaimana. Doakan semoga ia berjalan dengan lancar, lah."

SYAWAL: "Terima kasih kerana bersama kami dan kami doakan yang terbaiklah untuk kerjaya anda selepas ini."

ZIANA: "Amin, Ya Rabbal Alamin. Doa yang sama untuk anda juga. Amin. "
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan