Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

BERITA+ HTHT: Tomok, New Boyz - Fenomena remaja, dedah eksklusif 'single' terbaharu bersama Siti Nordiana

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: 25 tahun lalu, pada usia 15 tahun, mereka mencetuskan fenomena dan menjadi kegilaan ramai, terutama remaja.

Kini, di usia 40-an, New Boyz akan membawakan 35 lagu dalam konsert selama lebih tiga jam di The Star Theatre pada Sabtu, 12 Oktober 2024.

Begitulah dedikasi New Boyz, meraikan 25 tahun dalam industri muzik melalui konsert terakhir mereka.

Vokalis, Tomok, berkongsi luahan dari hati ke hati dan mengumumkan berita eksklusif dalam segmen Berita+ HTHT bersama Syawal Yusoff.
MENJELANG KONSERT TERAKHIR NEW BOYZ

SYAWAL: "Shah Indrawan Ismail atau Tomok, kumpulan New Boyz pernah mencetus fenomena pada awal penglibatan dalam industri muzik. Bagaimana kesan kejayaan bagi kumpulan yang masih muda ketika itu?

TOMOK: "Kita mendapat sambutan yang sangat luar biasa! Bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura, di Brunei dan juga di Indonesia. Dengan 'single' untuk 'album' New Boyz yang pertama iaitu 'Sejarah Mungkin Berulang'. Perjalanan di awal pembabitan saya dan juga kawan-kawan dalam bidang muzik, tiba-tiba terus 'boom!'. Sangat-sangat tidak disangka-sangka!"

SYAWAL: "Ketika itu anda masih berumur 15 tahun?"

TOMOK : "Ya, bersekolah di tingkatan (menengah) tiga. Peminat kami tunggu depan sekolah, tunggu dekat bawah rumah. Saya dahulu duduk (tinggal di rumah) flat. Persembahan New Boyz penuh! Dan waktu itu kami berulang-alik ke Singapura agak kerap juga. Semasa di awal-awal pembabitan New Boyz, Singapura menjadi satu destinasi yang wajib untuk kita pergi buat promosi. Turun Johor, masuk Singapura. Turun Johor, masuk Singapura. Daripada situ kami mendapat peminat yang sangat-sangat mendukung, peminat-peminat di Singapura khususnya.

"Kami pada setiap hari Sabtu, Ahad sibuk dengan persembahan. Hari Isnin dan seterusnya nak kena sekolah. Saya akui dari segi pelajaran itu agak terganggu. Sekarang setelah kami sudah berkeluarga, masa ini lah saya mula balik belajar apa semua, masuk universiti balik."

SYAWAL: "New Boyz kemudian aktif sampai tahun 2007 dan kemudian menghilang. Dan baru beberapa tahun yang lalu kembali bersatu. Kenapa sekarang baru nak bersatu semula?"

TOMOK: "Sebab industri muzik sangat-sangat sukar sebenarnya. Peredaran muzik berlaku setiap tahun. Kami kena akui benda itu. Pada awal kemunculan New Boyz, muzik pop memang ramai peminat, ramai yang menyukai. Tetapi setelah beberapa tahun, mula ada penukaran minat kepada muzik yang lebih kepada 'indie', lebih kepada banyak 'band' yang masuk. Lama-kelamaan, nama New Boyz semakin ke belakang. Sudah lumrah, kadang-kadang kita berada di atas, kadang-kadang kita berada di bawah. Yang penting, saya tidak putus asa. Saya masih lagi berjuang."
 
CABAR DIRI DALAM PERTANDINGAN REALITI

SYAWAL: "Kemudian anda sendiri bergerak solo, memasuki pertandingan, menang 'One In A Million'. Alhamdulillah masuk 'Gegar Vaganza' (GV) dan semua orang kenal balik Tomok. Adakah ini juga usaha anda untuk kembalikan zaman kegemilangan New Boyz?"

TOMOK: "Pertandingan realiti sebenarnya adalah wadah yang terbaik untuk kita buat kemunculan-semula ke dalam industri muzik. Contohnya, orang kenal saya sebelum ini dengan lagu-lagu 'pop leleh', seperti lagu 'Sejarah Mungkin Berulang' dan 'Meraung'. Tetapi apabila saya masuk pertandingan realiti, saya nyanyi lagu Beyonce contohnya, saya nyanyi lagu Backstreet Boys di 'Gegar Vaganza'. Jadi sedikit sebanyak, saya dapat peminat saya yang lama dan juga saya dapat peminat saya yang baharu."

SYAWAL: "Sementara anda bergerak solo, bagaimana pula dengan ahli-ahli New Boyz yang lain?"

TOMOK: "Ada beberapa anggota New Boyz yang sudah keluar daripada bidang muzik. Tetapi hubungan kami kekal baik. Tahun lepas, kami cuba persembahkan satu konsert New Boyz. Konsert itu 'sold out'. Jadi, kami buat lagi sekali; pun 'sold out' juga. Maka untuk tahun yang ke-25 - ulang tahun kami ini, saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk saya kumpulkan sahabat-sahabat saya yang lain untuk kami raikan, untuk kami mengimbau kenangan-kenangan dahulu.

"Sebenarnya dalam bidang muzik, dalam bidang seni ini, hati kita kena kuat. Naik-turun itu biasa dalam industri. Yang penting, kita tunjukkan bakat yang kita ada."
 
KOLABORASI BERSAMA SITI NORDIANA

SYAWAL: "Tentang kolaborasi dengan Siti Nordiana (Nana) - rakan seangkatan anda dalam GV. Kenapa?"

TOMOK: "GV itulah satu-satu sebab kami dapat berborak. Itu yang terjadinya lagu 'Memori Mungkin Berulang'. Nana ini ada lagu 'Memori Berkasih'. Saya ada lagu 'Sejarah Mungkin Berulang'. Apa kata kita cuba gabungkan lagu-lagu ikonik kita ini untuk jadikan satu benda yang segar, yang baharu? Dalam masa yang sama, kita kekalkan elemen-elemen 90-an itu, elemen di mana awal kita bermula?!"

SYAWAL: "Pendekatan mengembalikan nostalgia berkesan bagi anda berdua. Jadi untuk 'single' seterusnya, nak buat 'Gurauan Meraung' pula ke?"

TOMOK: "Belum ada kata putus dari segi tajuknya. Tetapi lagunya kita sudah ada. Dengan Nana juga. Ramai yang tidak tahu akan hal ini. Saya sudah bagitahu. Eksklusif. Ini eksklusif ini dalam Berita+ HTHT!

"Jadi insyaAllah, kami dalam proses. Sebab kami dapat respons yang sangat bagus daripada 'single' kami yang pertama. Jadi insyaAllah, kalau ada rezeki, akan ada satu lagi berita gembira yang saya akan umumkan tidak lama sahaja lagi. Jadi, kena nantikanlah!"

SYAWAL: "Selain daripada 'single' ini?"

TOMOK: "Konsert, album dan sebagainya. Perancangan itu memang banyak. Sebab itu saya putuskan bahawa konsert New Boyz (pada 12 Oktober) itu adalah yang terakhir. Sebab saya nak tumpukan kepada kerjaya solo saya pula. Tetapi saya tidak lupakan New Boyz. Kerana setiap kali saya buat persembahan, pada penutupnya mesti kena nyanyikan lagu 'Meraung', mesti kena 'Sejarah Mungkin Berulang'!"

"Kita kena tahu dari mana kita bermula. Peminat sokong kita sebab apa? Sebab lagu-lagu itu. Jadi kita kena hargai mereka."

SYAWAL: "Peminat tidak boleh berganjak daripada lagu-lagu New Boyz itu. Ia macam berhantu!"

TOMOK: "Ia sudah melekat! Sebab lagu itu semasa kami sekolah, jadi banyak nostalgia bukan sahaja untuk saya tetapi untuk mereka yang membesar dengan mendengar lagu-lagu saya, kan? Zaman sekolah ini, ia ada satu memori yang sangat kuat untuk kita ingat. Jadi lagu-lagu saya ini berada dalam zaman mereka. Jadi memang tidak salah untuk lagu itu memang melekat dekat dalam hati mereka."

SYAWAL: "Ada tidak cita-cita anda untuk kembalikan zaman kegemilangan New Boyz?"

TOMOK: "Untuk kembalikan zaman kegemilangan dahulu itu susahlah nak dapat. Tetapi saya dapat 'vibe' atau getaran yang sama pada hari konsert saya. Apabila kami buat konsert sebelum ini di Kuala Lumpur, di Singapura tahun lepas, apabila kami keluar sahaja, kami dapat jeritan peminat! Allah! Jeritan itu adalah jeritan yang saya terima 25 tahun yang lepas!"

SYAWAL: "Mungkin mereka peminat yang sama?"

TOMOK: "Peminat yang sama. Cuma kali ini mereka datang dengan anak - anak dua orang, tiga orang."

SYAWAL: "Bagus juga, macam muzik anda diperkenalkan kepada penonton baharu, pendengar baharu, kan?"

TOMOK: "Betul. Anak mereka pula sukakan lagu-lagu kami. Jadi alhamdulillah kita dapat peminat yang sokong kita daripada dia sekolah, dia berkahwin, dia ada anak, dia bawa anak dia datang konsert. Itu sudah mengembalikan zaman kegemilangan kita tetapi dalam versi emak-emak dengan bapa-bapa."
 
TETAP KEKALKAN NAMA NEWBOYZ?

SYAWAL: "Sekarang kita beralih kepada topik tentang nama New Boyz pula. Kita tahu anda semua sudah "4-series" - sudah menjangkau 40-an tahun usia. Jadi, masih relevan nama itu ke?"

TOMOK: "Untuk saya, saya kekalkan. Kerana ia nama yang memberi tuah untuk kami. Untuk saya sendiri, tidak ada niat langsung untuk kami keluarkan satu nama yang baharu untuk menjenamakan-semula atau 'rebranding' nama yang baharu."

SYAWAL: "Tidak takut ke orang nanti macam kata "Sudah bukan New Boyz pun?!"

TOMOK: "Saya bermula dengan nama New Boyz. Jadi, untuk menukar itu sukar. Malah, desain abjad untuk nama New Boyz pun masih yang kami pakai yang 25 tahun lepas. Masih sama. Sebab itu nostalgia!"

KEISTIMEWAAN KONSERT 25 TAHUN

SYAWAL: "Tahun lepas, anda baru buat konsert di Singapura. Apakah keistimewaan konsert kali ini?"

TOMOK: "Lagu-lagu yang jarang kami nyanyikan. Yang sebelum ini saya tidak pernah bawa dekat tiga konsert yang sebelum ini, kami akan nyanyikan di Singapura. Dan untuk setiap lagu yang kami nyanyikan akan ada lirik yang akan mengimbau kenangan. Saya jual nostalgia. Setiap lagu yang kami nyanyikan, mengandungi cerita di sebaliknya. Kerana itu konsert terakhir kami, maka kami beri sehabis mungkin. Kami nyanyi sebanyak lagu yang mungkin. (Antara 30 hingga 35 lagu!)

SYAWAL: "Ada tetamu undangan, atau ada tidak artis Singapura yang anda teringin nak berkolaborasi?"

TOMOK: "Ada beberapa nama yang saya rasa Singapura mempunyai bakat-bakat yang bagus. Seperti sahabat saya dalam Gegar Vaganza, Hady Mirza. Saya sangat hormati beliau. Seorang penyanyi yang sangat versatil. Dan kemudian Taufik Batisah. Saya pernah berduet dengan beliau. Pun saya sangat suka dengan cara pembawaan beliau, cara nyanyian. Malah Aliff Aziz saya sangat hormati. Beliau seorang yang sangat menghormati orang yang lebih tua daripadanya, seorang yang bagus dalam nyanyiannya. Jadi itu antara-antaranya. InsyaAllah, kalau ada rezeki kita."

SYAWAL: "Terima kasih Tomok, kerana bersama kami dalam Berita+ HTHT.

TOMOK: "Terima kasih Syawal. Kita jumpa di konsert!"
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan