Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

BERITA+ HTHT: Tiada istilah 'bersara' bagi Jamal Abdillah; mahu juang artis-artis 'tanpa suara'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat pertama kalinya, lagu 'Mati Hidup Semula' yang seolah-olah menyusuri perjalanan hidup penyanyi Jamal Abdillah akan dikongsi bersama para peminat di konsert 'Seniman Berjasa' di The Star Theatre pada Sabtu akan datang (11 May).

Penyanyi veteran bersuara lunak merdu itu berkongsi bersama Rosli A Razak tentang konsert ketiganya di Singapura itu serta perjalanan seninya selama lebih empat dekad.
 
(Gambar: Roslinda Rahmat)
PERJALANAN KERJAYA SELAMA LEBIH EMPAT DEKAD.

ROSLI: "Dalam kerjaya selama lebih empat dekad, pasti ada pasang surutnya. Kalau anda imbas kembali, ada tak perkara yang anda mahu ubah atau lakukan semula?"

JAMAL: "Lebih 45 tahun dalam arena seni suara. Segala yang saya capai, yang terjadi itu adalah proses kehidupan saya sendiri dan juga proses karier saya. Jadi saya bersyukur saya masih bertahan walaupun usia saya sudah sampai 65 tahun sekarang. Mesti ada hikmahnya. Dan Alhamdulillah, di akhir-akhir ini, saya nampak yang Allah itu sayang saya lagi. Dia bagi saya seorang isteri dengan anak-anak yang cantik-cantik, yang baik-baik dengan yang bijak-bijak. Jadi kehidupan saya nampak berseri sedikit dan bermakna."

ROSLI: "Dalam tempoh itu, apakah mungkin kejayaan yang anda sangat bangga atau tidak dapat lupakan?"

JAMAL: "Di antaranya, Anugerah Juara Lagu (AJL). Untuk bertahan dalam arena seni suara, masih diminati, masih sihat dan dah macam-macam pancaroba yang kita tempuh, tapi Allah itu masih bagi kita duduk di situ lagi. Itu adalah pencapaian yang paling baik saya rasa."

PEJUANG ANAK SENI 'TANPA SUARA'

ROSLI: "Tentang AJL, kejayaan di AJL - mengapa anda memutuskan untuk menarik diri?"

JAMAL: "AJL bermula pada tahun 80an dan saya sudah menyertai AJL banyak kali. Saya ingat saya menjadi juara sekali. Dalam lima atau enam kali AJL. Daripada masa itu, penggiat-penggiat seni atau artis-artis yang menyertai pertandingan ataupun Anugerah Juara Lagu itu tidak dibayar satu sen pun. Saya bukan kerana inginkan duit itu sangat, tetapi saya fikirkan, stesen TV sudah mendapat 'rating' atau pengkadaran yang tinggi.

"Para pemuzik itu kadang-kadang terpaksa pinjam duit dengan kawan-kawan untuk hadir. Dengan pakaian yang perlu dicari, duit tambang untuk ulang alik, mana hendak fikirkan makan minum.. Mereka tidak berani bersuara sebab nanti diharamkan daripada ikut serta. Ini adalah pelantar untuk memperkenalkan diri mereka dan pihak stesen TV pun tahu yang mereka perlukan wadah ini. Jadi mereka gunakan kita.

"Selepas itu, dengan penaja yang besar, dengan penjualan tiket lagi.. Sudah berapa puluh tahun. Jadi, sekurang-kurangnya kalau sudah jual tiket, sudah dapat berjuta, bayarlah artis sedikit, ya kan? Itu yang saya perjuangkan. Royalti pun sama juga. Saya dalam kes mahkamah sekarang ini memperjuangkan royalti artis-artis lama."
(Gambar: Roslinda Rahmat)
FORMULA KEJAYAAN BERTAHAN LAMA DALAM INDUSTRI

ROSLI: "Dua orang anak anda yang berkecimpung dalam dunia hiburan, adakah anda rasa mereka akan sentiasa dibayangi nama bapa mereka, Jamal Abdillah?"

JAMAL: "Itulah masalah yang saya lihat. Anak-anak saya semua suara macam suara saya. Bukan mereka mengikut, tetapi mereka sudah terbentuk macam itu. Dan saya sudah sarankan kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan, duo itu sudah cantik, pasal mereka berubah daripada asal bapa mereka, bukan? Mereka buat 'Duo Famili'. Anda teruskan dengan konsep itu, baru anda boleh lepas daripada bayang-bayang bapa anda."

ROSLI: "Apa nasihat anda kepada mereka yang ingin menceburi bidang hiburan?"

JAMAL: "Kalau tenguk konsert-konsert besar yang ada di Malaysia, kebanyakannya oleh artis-artis lama. Datuk M. Nasir, Datuk Ramli Sarip.. Yang pertama, lagunya banyak. Yang kedua, muzik mereka zaman dulu-dulu, ia bukan digital. Ia dulu analog. Jadi penyampaian, penghayatannya lain. Saya dulu di Kenny Tex Studio,Singapura ini, saya buat rakaman dekat dua minggu baru habis hendak menghasilkan 10 buah lagu. Mereka sekarang tidak sampai empat jam, satu lagu sudah jadi. Tetapi hasilnya, hebat, namun cepat dilupakan."

ROSLI: "Anda diberi takhta Raja Pop. Jadi siapakah pengganti?"

JAMAL: "Itu saya tidak tahu. Ramai artis-artis baru itu saya nampak, boleh lah. Cuma mungkin mereka belum banyak hasilkan karya. Macam saya, sudah berpuluh album, bukan? Mereka yang baru-baru ini kena buat macam itu. Kena selalu keluarkan 10 lagu, jadi baru ada pengalaman."

ROSLI: "Sekiranya anda bersara, bagaimana anda ingin diri anda diingati?"

JAMAL: Istilah persaraan memang tidak ada di dalam hidup saya. Dalam bidang seni, saya tidak akan bersara. Cuma perlahankan rentak sedikit. Saya kurangkan sedikit kegiatan itu. Pasal dalam jiwa kita sudah jiwa seni. Tidak mungkin ada persaraan. Jadi di akhir kehidupan saya, saya inginkan nama 'Jamal Abdillah' itu di pengakhiran yang baik, di garisan penamat yang bagus. Sekurang-kurangnya, tempias-tempias itu tidak ada kepada anak-anak saya. Anak-anak saya boleh rasa gembira, 'bapa aku berjaya, membuat aku bangga'. Sekurang-kurangnya macam itu. Tidak mahu pengakhiran yang tidak baik."

ROSLI: "Rahsia kejayaan anda?"

JAMAL: "Rahsianya tidak ada. Cuma, minat yang penuh dalam kerjaya kita. Kemudian, mempunyai hati yang paling ikhlas, bersih. Tidak ada sikap cemburu dan selalu menepati janji. Yang paling tinggi sekali adalah kita serahkanlah hidup kita kepada Pencipta kita. Dia yang menentukan arah tuju rezeki kita semua."
(Gambar: Roslinda Rahmat)
BERNIAGA UNTUK KELUARGA

ROSLI: "Selain memenuhi undangan menyanyi, anda juga bergiat dalam perniagaan, membuka satu lagi ladang. Pernah tidak terfikir pada usia 65 tahun ini untuk mungkin rileks sedikit?"

JAMAL: "Sebagai seorang penyanyi, tidak ada (istilah) bersara, kerana jiwa saya memang jiwa seni. Cuma dalam meneruskan kehidupan ini, saya berusaha ke arah lain juga iaitu, saya minat dengan binatang. Jadi, saya buka ladang lembu. Saya minat dengan ikan arowana, saya buka ladang arowana. Sebenarnya bukan untuk saya sahaja. Kalau saya sudah tidak ada nanti, anak-anak saya boleh teruskan."

ROSLI: "Tidak ada ke satu lagu yang, kalau sebut lagu ini, menunjukkan 'inilah Jamal Abdillah'?"

JAMAL: "Seniman Menangis itulah, yang saya menyanyi sambil bermain piano. Ia mengisahkan seorang seniman. Dia nampak gembira, nampak ceria di atas pentas, tetapi kita tidak tahu dalam hati seniman itu, macam-macam masalah dia ada. Masalah keluarga, masalah kewangan.. Muka senyum tetapi hatinya sakit. Di dalamnya terluka, tetapi orang tidak nampak. Macam itu."

KONSERT SENIMAN BERJASA SEBAGAI HADIAH HARI LAHIR

ROSLI: "Untuk konsert di Singapura ini, apa keistimewaan yang anda tawarkan?"

JAMAL: "Cadangannya untuk buat 7 haribulan Mei. Itu hari jadi saya. Tetapi ada perkara-perkara yang tidak boleh dielakkan, jadi kita anjakkan kepada 11 Mei. Itu adalah bulan kelahiran saya, berusia 65 tahun. Saya menghayati lagu, supaya penonton di bawah, dia ada kenang-kenangan dia yang lama, yang dulu zaman baru berkahwin.. Dengan cara macam itu, saya dapat ambil hati penonton sedikit. Itu yang jarang orang dapat buat macam itu."

ROSLI: "Dato’ Jamal Abdillah, terima kasih kerana sudi bersama kami."

JAMAL: "Terima kasih."
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan