BERITA+ HTHT: Taufik Batisah kenang 20 tahun dalam dunia seni, adakan konsert sulung pada 2025
Ini juga bersempena 20 tahun beliau bergelar anak seni setelah menjuarai pertandingan itu.
Tarikh bersejarah 1 Disember 2004 banyak merubah hidupnya dan banyak lagi yang diharap dapat dicapainya.
Beliau berkongsi rancangannya dengan wartawan Syawal Yusoff di set penggambaran rancangan realiti baharu Suria, Kaki Nyanyi.
3 KUNCI KEJAYAAN DAN DAYA TAHAN
SYAWAL: "20 tahun sebagai Singapore Idol. Bagaimana pencapaian anda sejauh ini?"
TAUFIK: "Alhamdulillah, dalam jangka masa 20 tahun, memang ada pasang surutnya. Memang banyak yang ingin saya ceburi dalam bidang nyanyian, bidang lakonan dan juga dalam bisnes. Banyak, alhamdulillah, tercapai. Saya percaya kerana saya berpegang kepada nasihat bapa saya. Dalam apa-apa pun yang ingin kita ceburi, kita harus sentiasa berdoa, berusaha dan tawakal. Yakin, sekiranya kita buat tiga perkara ini, insyaAllah kita boleh berjaya dalam kehidupan kita."
TAUFIK: "Itu ayat-ayat yang berat bagi Taufik."
SYAWAL: "Kenapa berat?"
TAUFIK: ""Mungkin jika kita katakan kita ingin menjadi inspirasi kepada anak-anak muda atau orang ramai, kita takut orang akan meletakkan kita di satu tahap yang tinggi. Jika kita melakukan kesilapan, mereka mungkin akan memandang serong, kata mereka, 'Dia sepatutnya jadi contoh, inspirasi.' Jadi bagi saya, secara jujur, mungkin tanpa sengaja saya telah menjadi inspirasi kepada orang ramai. Sebab bagi saya, dalam apa jua bidang yang saya ceburi, saya ingin memberikan yang terbaik, pertama untuk diri saya sendiri dan kemudian untuk keluarga saya. Dari situ, secara tidak langsung, jika ia memberi inspirasi kepada orang lain, alhamdulillah."
TENTANG KEHILANGAN: REZEKI DI MALAYSIA, KEHILANGAN 10,000 PEMINAT
SYAWAL: "Bercakap tentang perjalanan muzik anda pula ya. Mungkin ramai artis yang mengidam-idamkan untuk menembusi pasaran di rantau ini. Apakah cabarannya?"
TAUFIK: "Dari permulaan kerjaya Taufik, dari Singapore Idol, memang iyalah, kita negara Singapura ini negara yang kecil. Siapa yang tidak mahu dapat lebarkan sayap kepada negara yang lebih besar, ke Malaysia ke, ke Indonesia? Memang Taufik telah cuba beberapa kali. Tidak menjadi. Salah satu puncanya yang Taufik sedari sekarang, kerana kita harus berhijrah ke Malaysia sekiranya kita ingin melebarkan sayap kita di sana. Sebab kenapa, industri Malaysia ini sangat rancak, di mana kalau esok ada 'show', kadang-kadang hari ini dia akan telefon. Kalau kita di Singapura, macam mana mereka hendk panggil kita buat 'show'? Tiba-tiba mereka hendak kena hantar naik kapal terbang, hantar penginapan dan sebagainya?
"Dan pada masa itu juga paling tepat untuk Taufik melebarkan sayap ke Malaysia. Ya. Tetapi pada masa yang sama itu juga, Taufik buat keputusan untuk berkahwin dengan isteri Taufik, Sheena Akbal. Saya dah berpacaran dengan Sheena sudah nak dekat 10 tahun. Jadi saya buat keputusan taktikal - tidak apalah, kirakan kita sudah popular, saya di puncak kejayaan lagi pada waktu itu. Kalau kita berkahwin, paling-paling populariti saya akan turun sedikit kerana tidak bujang lagi, kan?"
SYAWAL: "Saya ingat ketika itu mungkin banyak hati yang hancur apabila Taufik akhiri zaman bujang!"
TAUFIK: "Di akaun Facebook saya, hampir 10,000 orang unfollow saya pada masa itu."
SYAWAL: "10,000 peminat?"
TAUFIK: "10,000. Taufik ingat silap. Taufik tanya pengurus, dia kata betul. Jadi itulah impaknya. Sebab kenapa, dalam jangka masa 10 tahun itu, Taufik tidak dikaitkan dengan sesiapa, Taufik tidak ada kontroversi. Imej Taufik bersih.
FENOMENA DI SEBALIK #AWAKKATMANE
SYAWAL: "Jadi lagu 'Awak Kat Mana' itu - kenapa ia boleh amat diterima oleh masyarakat di Malaysia? Adakah ia membuka peluang Taufik untuk menempah nama di Malaysia?"
TAUFIK: "Secara jujur, saya pun tak tahu macam mana lagu itu boleh jadi viral. Memang rezeki. Album *Fique* yang saya keluarkan pada tahun 2014, banyak lagu-lagunya saya ambil masa satu hingga dua tahun untuk tulis dan hasilkan. Tapi lagu 'Awak Kat Mana' ini, saya tak tulis pun. Saya terus rakam dalam studio dan susun muziknya dalam masa satu jam je. Ia macam muzik 'trap'. Kemudian, saya buat video di Instagram pada masa itu, yang masih baru sangat. Video itu video lawak, masa Hari Raya. Dalam video tu, saya tanya, 'Assalamualaikum, saya sekarang di Geylang Serai, awak kat mana?' Video itu viral selepas orang ramai, termasuk rakan-rakan artis, tiru. Abang Aaron Aziz pun tiru. Mungkin sebab Abang Aaron Aziz viralkan video tu di Malaysia, ramai orang mula tiru. Tak lama lepas tu, video dan hashtag itu jadi viral."
"Kemudian, secara taktikal, sebab lagu-lagu semua dah siap, album pun dah lengkap, saya buat keputusan, 'Aku kena buat lagi satu lagu ni. Aku nak kena pakai #AwakKatMana ni dan letak lagu bernama Awak Kat Mana dalam album.' Lagu tu macam mana, apa stail dia, saya pun tak tahu, tapi kena ada Awak Kat Mana dalam lagu tu. Dan lagu tu yang mengambil alih seluruh album! Lagu-lagu yang asalnya saya tulis sebagai 'songwriter songs' semua tenggelam, kira macam tu."
SYAWAL: "Ia pembawa rezeki, lah lagu itu?"
TAUFIK: "Alhamdulillah, lagu itu membawa rezeki sampai sekarang."
PEMIKIRAN TAKTIKAL DAN MENGHADAPI PERSAINGAN
SYAWAL: "Mengapa tidak kekal menjadi penyanyi sepenuh masa?"
TAUFIK: "Sewaktu pertandingan *Singapore Idol*, sama juga, saya bergerak secara taktikal. Contohnya, pada uji bakat pertama, Taufik dibenci oleh semua pengadil! Mereka kata muka Taufik sombong. Masa tu, saya tak faham apa maksud mereka, tapi bila saya tengok video di TV, baru saya faham. 'Ah, muka saya sombong rupanya. Kalau tak senyum, nampak sombong. Padahal sebenarnya, saya cuma nak tunjukkan rasa yakin diri.."
SYAWAL: "Mungkin disalah erti."
TAUFIK: "Saya disalaherti oleh para pengadil. Jadi, selepas sedar itu, saya terus buat keputusan, 'Okey, setiap persembahan, senyum saja. Kalau pengadil marah atau rasa persembahan tak bagus, senyum saja.' Alhamdulillah, Allah beri rezeki kepada Taufik untuk menang Singapore Idol.
"Taufik percaya bahawa setiap seniman mempunyai jangka masa dalam industri hiburan, dan jangka masa itu tidak panjang, terutamanya kalau kita dari Singapura. Kecuali kalau kita seperti Papa Rock. Hanya ada satu Papa Rock, kan? Atau seperti M Nasir, yang kini sudah berhijrah ke Malaysia. Dengan realisasi ini, kita perlu bergerak secara logik dan praktikal. Sebelum Taufik menceburi dunia hartanah, Taufik mulakan bisnes Chix Hot Chicken dan sebagainya. Alhamdulillah, sudah 15 tahun, dan rezeki di Singapura cukup. Diberi sokongan oleh para penyokong, Alhamdulillah."
SYAWAL: "Sezairi, orang kata itu kira pelapis anda juga dalam Singapore Idol dan sekarang juri bersama anda dalam Kaki Nyanyi, kan? Tapi kita lihat Sezairi begitu aktif dalam bidang nyanyian, membuat muzik dan sebagainya. Pernah Taufik rasa 'Itu sepatutnya saya?'"
TAUFIK: "Sebenarnya, Taufik rasa sangat bangga dengan kejayaan Sezairi. Bagi Taufik, Sezairi adalah seorang pemuzik yang luar biasa, seorang pemuzik dari Singapura yang patut dicontohi oleh seniman-seniman lain, terutama sekali generasi baru. Beliau sangat berbakat dan amat rajin bekerja. Jadi, apabila Taufik melihat kejayaan Sezairi, Taufik sangat gembira dan teruja untuknya. Tidak pernah terlintas di fikiran Taufik bahawa kejayaan itu sepatutnya Taufik. Tidak! Dalam hati Taufik, dunia perlu mendengar Sezairi. Dunia harus mengenal siapa Sezairi kerana bakatnya yang sangat luar biasa! Jadi, bila melihat lagu-lagunya mencapai 100 juta 'views', MasyaAllah, Taufik sangat bahagia untuk Sezairi!"
SYAWAL: "Ada perancangan tak untuk kolaborasi dengan Sezairi, kerana dulu dah buat album dengan Hady, kan?"
TAUFIK: "Taufik rasa ia harus berlaku! Sebab bila Taufik tengok cara Sezairi buat lagu-lagunya, ya Allah, Taufik amat-amat meminati Sezairi! Ya, Taufik pernah berborak dengan dia, bincang dengan dia, 'Bro, you kena tulis lagu untuk I.' Sezairi dia dah bersedia dah. Dia tengah tunggu Taufik sahaja."
DARI MUZIK KEPADA PERNIAGAAN, KERJAYA KEDUA, KEROHANIAN, KESEJAHTERAAN
SYAWAL: "Taufik dah buat banyak perkara. Jadi ejen hartanah, juri, berlakon, sebagainya. Apakah lagi yang Taufik ingin buat?"
TAUFIK: "Mungkin insyaAllah satu hari jadi imam. Allah. InsyaAllah. Entahlah, bagi saya, dalam kehidupan ini, apa juga bidang yang kita ingin ceburi, kita harus fokus. Kita harus sentiasa - sangat-sangat penting - berdoa, berusaha, dan yakin yang kita boleh buat apa sahaja.
"Buat masa sekarang, memang saya tumpukan dalam hartanah. Mula berlakon lagi dalam drama jangka panjang yang akan bermula tahun hadapan. Dan ada perancangan untuk buat lagu-lagu baru, InsyaAllah bersama Sezairi. Taufik juga ada lagu-lagu yang belum dikeluarkan lagi. Juga saya fokus dengan kedai saya, Chix Hot Chicken. Kita nak buka kedai yang nombor dua, InsyaAllah, akan buka tahun depan. Jadi, Alhamdulillah."
SYAWAL: "Alhamdulillah. Dan ada satu lagi benda yang Taufik lakukan - iaitu Spartan, Spartan Race, bina badan dan sebagainya. Adakah ini mungkin refleksi krisis pertengahan umur, midlife crisis?"
TAUFIK: "Mungkin juga. Sebab bila kita sampai ke tahap umur begini, kita sedar hidup ini sekejap sahaja. Apa-apa yang kita nak buat, kena buat sekarang! Kita perlu cari keseimbangan antara kerja dan juga perkara yang kita nikmati. Saya menikmati disiplin dalam perlumbaan Spartan. Saya nikmati disiplin dalam perlumbaan Hyrox. Saya nikmati disiplin untuk latihan, paksa diri untuk lari. Disiplin mental ini, saya yakin ia terbawa-bawa dalam kerjaya saya."
SYAWAL: "Taufik juga cenderung kepada aspek kerohanian, laungkan azan dan sebagainya."
TAUFIK: "Semua. Semua Taufik nak buat ya? Taufik sangat bersyukur sebab tahun ini masuk umur 43 tahun. Perkara ini datang pada tahun ini. Sebelum ini tidak begitu terlalu fokus sangat tentang perkara-perkara ini. Walaupun Abah dan Mak memang sentiasa ingatkan., bukannya kita lupakan tapi tidak begitu macam bangun awal solat Subuh dekat masjid dan sebagainya.
"Secara jujur, saya memang berterima kasih kepada Alif Satar kerana saya nampak video-videonya, Geng Subuh Macam Jumaat. Media sosial ini boleh digunakan untuk banyak kebaikan dan juga keburukan. Salah satu kebaikan yang saya amat kagumi adalah daripada Alif Satar. Dia sentiasa mengingatkan kita untuk memperbaiki diri. Bila saya tengok beliau buat Iron Man, pergi Subuh, kemudian jogging, itu sesuatu yang saya pun sedang cuba lakukan. Cuma belum buat Subuh di masjid. Itu sahaja. Jadi saya fikir, kalau saya masukkan persamaan ini dalam kehidupan saya, apa manfaatnya? Saya nak merasainya. Alhamdulillah, bila saya mula berbuat demikian, saya jumpa teman-teman seperti Ustaz Zahir, teman-teman budak-budak Subuh, yang mendorong kita untuk memperbaiki diri dalam aspek agama. Memang istiqomah itu susah. Saya masih terus berusaha untuk memperbaiki diri dan cuba solat Subuh di masjid, sebab rasa itu sangat-sangat indah. Saya bersyukur. Saya harap orang ramai dapat mendoakan saya supaya saya dapat teruskan jalan ini, InsyaAllah."
SYAWAL: "Okey. Tentang visi masa depan. Bagi Taufik sendiri yang sudah 20 tahun berpengalaman, bagaimanakah mungkin masa depan industri muzik Singapura, menurut pandangan anda? Dan apakah peranan yang Taufik ingin mainkan untuk membantu merancakkan lagi industri muzik kita?"
TAUFIK:" Industri Singapura dalam 20 tahun ini telah mengalami banyak perubahan. Apa yang relevan 20 tahun lalu, seperti pertandingan nyanyian, sudah berbeza sekarang. Walaupun ada platform yang tetap penting, seperti pertandingan nyanyian yang disiarkan di TV dan persembahan untuk kamera, itu adalah sesuatu yang tidak akan berubah. Namun, ada pembaharuan yang perlu dimanfaatkan oleh artis dan seniman baru, seperti penggunaan media sosial – TikTok, Instagram, Facebook, dan sebagainya. Media sosial ini dapat memperluas jangkauan mereka ke Malaysia, Indonesia, dan seluruh dunia. Taufik rasa, jika kita dapat menggunakan media sosial dengan baik, ia menjadi sangat penting, tetapi juga semakin sukar kerana penonton dan pendengar kini mempunyai banyak pilihan. Oleh itu, kita perlu melakukan sesuatu yang luar biasa dan bekerja lebih keras supaya suara kita dapat didengar dan bakat kita sampai kepada orang yang tepat."
SYAWAL: "Kata-kata mutiara daripada Idola Singapura kita. Baik, Taufik. Perancangan masa depan anda?"
TAUFIK: "Untuk dunia hiburan, khas buat para peminat Taufik, InsyaAllah pada tahun 2025, Taufik akan mengadakan konsert. Konsert ini memang khusus untuk semua peminat Taufik. Sekarang, Taufik sedang berusaha untuk menetapkan tarikh dan persiapan lain. Sebenarnya, Taufik merancang untuk buat tahun ini, namun disebabkan kesibukan yang sangat padat, Taufik tidak mempunyai peluang. Jadi, InsyaAllah, Taufik akan usahakan untuk tahun 2025. Taufik akan menjemput teman-teman yang pernah bekerjasama, dan beberapa orang sudah bersetuju. Konsert ini akan berkonsepkan perjalanan Taufik bersama para peminat. Selama 20 tahun ini, ada peminat yang telah bersama dari zaman remaja, dari zaman kanak-kanak, hingga yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Jadi, konsert ini adalah perjalanan kita bersama, InsyaAllah, pada tahun 2025."
SYAWAL: "Kita doakan yang terbaik untuk kerjaya anda."
TAUFIK: "Amin, amin, InsyaAllah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.