BERITA+ HTHT Search: 'Symphonic' atau 'Alternative Metal' sajian baharu kumpulan Search
SINGAPURA: Kemunculan mereka pada pertengahan tahun 1980-an dikatakan mencetuskan fenomena dan merubah landskap muzik serantau.
'Otai-otai' kumpulan rock legenda itu bersatu semula bagi 'Fantasia Bulan Salju, Live in Singapore' pada Jumaat, 19 Januari 2024.
Mereka berkongsi bersama Syawal Yusoff tentang perjalanan seni mereka dan rancangan terkini dalam segmen Hati ke Hati (HTHT) .
SYAWAL: "Bagaimanakah kumpulan Search ini boleh tercipta?"
NASIR DAUD, Pemain Gitar Bes, Search:
"Rasminya tahun 1981. Kami semua berasal daripada tempat yang sama, Johor Bahru. Pada suatu hari, Hillary merancang untuk pergi ke Kuala Lumpur dan membentuk kugiran ini. Jadi beliau mengundang Yazit dan Amy, dan kemudian saya pula menyusul. Begitu juga dengan Man Kidal. Selepas itu, ada beberapa perubahan anggota tetapi kugiran kami jalan terus dekat kelab di Kuala Lumpur. Waktu itu, namanya Red Rooster."

SYAWAL: Selepas 40 tahun, pernah tidak terbayangkan anda akan menjadi satu kumpulan rok legenda yang disegani sampai ke hari ini?"
SUHAIMI ABDUL RAHMAN, 'AMY', Vokalis, Search:
"Bila kita terbitkan album 'Cinta Buatan Malaysia', matlamatnya adalah untuk memperkenalkan kami sebagai satu kugiran 'Rock and Roll' baharu, artis baru, Search. Kami datang ke Singapura di bawah syarikat rakaman Polygram, untuk merakam album 'Cinta Buatan Malaysia'. Polygram adalah syarikat rakaman impian kami kerana ia mempunyai sebuah studio yang terbaik, yang markasnya di Singapura.
"Jadi jangkaan kami hanya untuk merubah sesuatu aliran ataupun landskap muzik itu sendiri. Jadi ia berubah, tidak terlalu drastik tetapi cukup untuk mengatakan muzik ini akan kekal. Ia bukan satu persinggahan. Kami tidak pernah fikir akan berada di tahap ini. Kami pun tidak sedar sudah mencapainya sebab kami terlalu sibuk merancang ataupun membangun impian-impian baharu. Jadi ia macam inilah, ibarat kami ini selalu berada di satu medan perang yang baharu. Habis ini kami capai, kemudian ada lagi medan perang baharu yang kami reka untuk dijadikan sebuah kenyataan yang baik untuk kami dan untuk rujukan peminat kami."
DUA VERSI SEARCH - YANG ASLI DAN TERKINI
SYAWAL: "Apakah perbezaan antara kumpulan Search asal dengan versi terkini?"
NASIR: "Perintis yang memulakan Search ada di sini. Hillary Ang. Bermula bersama daripada sebuah kelab malam kecil. Orang kata, 'from zero to hero'. Entah betul ke tidak, tidak tahulah ya. Jadi saya fikir, tidak ada isu, Search lama, Search baru.
AMY: "Ini permulaannya, ini akarnya. Di sini mulanya sebuah mimpi. Di sinilah bermulanya sebuah cerita.
KESINAMBUNGAN LEGASI SEARCH
NASIR: "Jadi selain daripada permulaannya, pengakhiran itu sangat-sangat penting. Jadi saya rasa kita sekarang berada di kedudukan yang betul, di tempat atau landasan yang betul sekarang ini. Kami akan teruskan fokus kami untuk menjaga legasi kumpulan Search. Kami akan bermain muzik dengan cara yang lebih sihat dan terus menjaga mutu Search.
"10 atau 20 tahun akan datang, kami harap dapat lihat seseorang daripada keluarga kami atau dari akar kami, generasi selanjutnya, anak Amy ke anak sesiapa, yang boleh ambil-alih, sambung supaya rock Search, rock Melayu terus terpelihara.
"Akhir-akhir ini saya ada macam nampak-nampak. Macam anak Amy, dia minat main gitar. Tetapi tidak semestinya anak Search. Anak Search dengan sahabat-sahabat dia akan datang, pun boleh. Jadi yang penting, legasi Search harus terus hidup."
TIADA YANG DAPAT MENGGANTIKAN AMY?
SYAWAL: "Amy sinonim dengan Search. Jadi benarkah Amy tiada pengganti?"
HILLARY ANG, Pemain Gitar Utama & Pengasas, Search: "Tidak akan pernah. Kerana pertama kali mengenali Amy, Search belum wujud lagi. Masa itu, saya sudah ada visi untuk menubuhkan sebuah kumpulan seperti Led Zeppelin, Van Halen, dan saya lihat Amy sebagai vokalis yang saya mahukan dalam kumpulan saya. Walaupun saya bertegang urat dengan Yazit kerana dia ada pilihannya dan saya pun ada pilihan saya. Jadi saya berkeras. Kami bertelagah dari KL sampai ke JB! Amy pula bukan penyanyi yang bagus sangat pada waktu itu, terus-terang cakap. Tetapi dia yang tetap saya mahukan. Dia ada aura seorang bintang pada masa itu."
AMY: "Sebelum itu saya hanyalah seorang yang ada impian. Bagaimana saya inginkan bila menjadi seorang anak seni. Jadi saya sudah punya imaginasi. Minda saya macam ini - bila saya datang ke Kuala Lumpur itu, saya cuma hendak jadi seorang bintang.
"Saya datang ke satu kota raya yang besar, metropolitan..inilah permulaan perjalanan seni yang saya kejar, impian yang saya kejar. Impian besar saya. Ia bukan satu impian biasa-biasa.
"Kelab malam itu adalah satu medan perang untuk orang ramai saksikan saya - inilah yang saya miliki. Saya tetap bersikap merendah diri tetapi di atas pentas, bukankah saya boleh menjadi ranggi?"
SYAWAL: "Abang Man Kidal pula? Ada tak orang yang boleh menggantikan Amy?"
ABDUL RAHMAN MAHMOOD, 'MAN KIDAL', Pemain Gitar, Search:
"Dia (Amy) satu watak ataupun dia macam lebih pada perasaan dan juga bagaimana dia berfikir dan apa arah pemikirannya? Ia bukan sahaja yang kita nampak. Terjadi juga yang sekarang ini ikut-ikutan, tetapi dia tidak akan, tidak menjadi.
AMY: "Kerana dalam seni itu ada kenyataan yang ‘cari pengganti’. Itu tidak boleh, kerana itu saya punya. Ini saya punya impian, anak seni ini, bila saya masuk bukan untuk hendak jadi orang lain.
"Setiap penyanyi ada dia punya rujukan ataupun apa yang diinginkannya. Anda hendak berlumba dengan orang lain ataupun nak cuba bandingkan dia atau hendak jadi orang itu, maka anda tidak akan ke mana."
ARAH BAHARU MUZIK SEARCH
SYAWAL: "TikTok dan media sosial memberi kehidupan baru untuk artis-artis veteran. Bagi Search sendiri, Apakah usaha untuk menarik penggemar muzik rok generasi baharu?"
<<NASIR: >> "Mencari idea-idea baru mengikut peredaran masa dan teknologi. Dan mengasah bakat baharu. Meneroka ke bidang-bidang lain yang berkaitan dengan seni. Untuk 'single' baharu, untuk gitar, kita cuba dengan buyian berat tujuh-tali. Ia ke arah macam (genre) 'symphonic metal' ataupun, 'alternative metal'."
SYAWAL: " Jadi ada single terbaru yang akan keluar?
NASIR: "Kita sudah ada dua 'single' yang sudah 100% siap. Jadi kita akan cari lagi, kita akan cuba jadikan satu album. Sekurang-kurangnya lima lagu. Kita alu-alukan juga penulis-penulis baharu. Begitu juga kita punya 'single' baharu yang sudah siap, kita dapat daripada komposer baru, anak muda. Dan sangat menarik!"
ADA LAGI LAGU LAGU 'BERHANTU' SEPERTI 'ISABELLA'?
SYAWAL: "Lagu 'Isabella' sangat popular di Spotify dengan lebih 12 juta pendengar. Jadi bila lagi nak terbit lagu berhantu macam itu?"
AMY: "Tidak akan mungkin ada sebesar itu, lagu yang sebesar itu. Tidak tahulah kalau 'malaikat' ilham datang bagi, 'okey, ini ada lagu lebih besar (daripada 'Isabella'). Kita tahu kalau setiap kali kita dapat lagu atau kita buat lagu, kita tahu ia tidak akan boleh menjadi sebesar 'Isabella'. Ia tidak tahulah, kan? Pasal dalam proses merakam album pertama, kedua, ketiga, 'Fantasia Bulan Madu' adalah kemuncak, itu album ketiga. Ia adalah kemuncak bagi kugiran kita.
"Jadi bagi album keempat pula, biasanya kalau 'band' yang popular dalam dunia ini, (album) keempat itu ia kekalkan atau mula merosot.
"Saya ingat satu malam Hillary cakap, ke mana arah kita selepas ini? Kerana Fantasia itu sudah jadi macam besar, besar. Malaysia, Singapore, Brunei, Sabah, Sarawak, semakin besar. Jadi saya ingat Hillary cakap, okay selanjutnya kita patut kuasai Indonesia.
"Jadi kita pun pergi ke Indonesia dengan tiada membawa sebarang bahan langsung. Tetapi kita sampai sana, kita lihat budayanya. Siang kita lihat budaya, rakyatnya. Malam kita berada di studio 'jamming', studio rakaman untuk usahakan bahan untuk susunan muzik. Esok pun siang kita begitu. Jadi kita belajar, kita saksikan budaya, kita bau budaya. Jadi dia jadikan satu album yang unik. Sampailah lahirnya 'Isabella'. Lagu penutup kita sudah tahu, yang malam itu habis mengadun, ini akan menjadi fenomena!
"Jadi Isabella itu dengan menakluki Indonesia itu, merubah landskap muzik Indonesia. Kita adalah band rok yang pertama yang terjual lebih daripada sejuta unit. Di sana yang semua (terjual) sejuta unit semua banyak yang dangdut. Macam itulah terjadi di Kuala Lumpur waktu itu. Kita masuk main dekat kelab, waktu itu. Zaman itu, zaman Blues and Reggae. Kita merubah landskap Kuala Lumpur itu jadi 'rock and roll'. Jadi itulah ceritanya!"
SYAWAL: "Semoga maju jaya untuk konsert yang bakal diadakan."
AMY: "Terima kasih di atas undangan, atas masa yang anda berikan untuk kami. Walaupun tidak panjang tetapi terima kasih sangat-sangat. Dan untuk kita dapat luahkan tentang kami hari ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.