Skip to main content

Hiburan

BERITA+ HTHT: Penyanyi legenda Francissca Peter mahu dikenang sebagai seorang yang penyayang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Nama Francissca Peter bukanlah asing dalam dunia hiburan, baik di Singapura mahupun Malaysia.

Namun di sebalik kegemilangan sebagai seorang penyanyi tersohor, perjalanan seninya bermula daripada latar kehidupan yang serba sederhana dan penuh cabaran.

Dalam temu bual bersama BERITA+ HTHT bersama Rosli A Razak, Francissca mengimbas detik-detik awal yang membawa dirinya ke bidang nyanyian.

“Habis sekolah, saya cakap dengan emak saya, mungkin saya ambil kursus kesetiausahaan. Belajar menaip. Itu pada masa lalu. Sekarang semua guna komputer riba, komputer,” katanya berseloroh.

Namun, keadaan kewangan keluarga ketika itu memaksa beliau membuat keputusan yang lebih besar.

“Kami hadapi banyak kesusahan. Emak saya macam jadi ibu tunggal dengan empat orang anak. Yang lain semua masih bersekolah, jadi saya cakap dengan mak saya, saya rasa saya takkan sambung. Saya berhenti dan kenapa tidak saya jadi penyanyi?” jelas beliau.

Francissca turut mendedahkan ibunya menanggung keluarga dengan membasuh pakaian dan memasak makanan untuk dijual kepada jiran-jiran.

JADI PENYANYI UNTUK BANTU KELUARGA

Namun, keputusan untuk menjadi penyanyi bukan sesuatu yang mudah diterima oleh ibunya pada awalnya, kerana stigma yang sering dikaitkan dengan industri hiburan.

“Emak saya memang risau masa itu. Pada masa lalu, kalau jadi penyanyi takut nanti terlibat dengan dadah atau jadi kaki botol,” ujar Francissca. 

“Mak saya cakap, ok, asalkan kamu janji tak buat benda-benda tu, kita ok.”

Roy dan Fran dalam satu konsert bersama pada tahun 2018. (Gambar: Bibiana Peter)

Francissca mula menyanyi di sebuah pub sebelum bertemu dengan pemuzik Royston Sta Maria.

“Saya lihat Roy, beliau tengah main organ di Hotel Merlin. Sekarang ini Hotel Concord. Jadi saya pun pergilah sana dan mereka kata, 'Oh Roy sedang cari penyanyi.' Jadi saya pun tanyalah, tanya dia. Lepas tu dia cakap, ‘Okay, iya, tengah cari penyanyi.’ Baiklah. Jadi kami pun setuju. Saya pun dapat kerja itu dan saya jadi pasangan – Roy and Fran,” katanya lagi.

Francissca mula dikenali selepas bakatnya dikesan Allahyarham Sudirman Haji Arshad ketika menyanyi di sebuah hotel.

“Saya nyanyi lagu ‘Franky’ oleh Connie Francis setiap malam. Allahyarham Sudirman suka lagu itu dan kerap datang hanya untuk mendengarnya," kongsinya.

Sokongan Allahyarham Sudirman membuka laluan kepada kerjaya rakaman profesional, termasuk kejayaan besar sebagai duo Roy & Fran. 

Fenomena pasangan itu turut mencetus harapan dalam kalangan peminat bahawa mereka mempunyai hubungan istimewa.

“Saya rasa peminat itu memang mahu sangat, nak sangat kita macam jadi satu pasangan, yang berkahwin. Tetapi kami memang macam adik-beradik lah,” katanya sambil ketawa.

MAHU CABARAN BARU, POPULAR SEMULA DENGAN 'CITY POP'

Francissca Peter (Gambar: Rosli A Razak)

Francissca kemudian mengambil keputusan untuk bergerak secara solo bagi mencabar dirinya dengan muzik yang lebih segar.

“Saya mahu sesuatu lebih mencabar. Saya nak buat lagu rancak, saya ingin cuba lakukan lebih banyak lagi,” jelasnya.

Album solonya bersama Warner Music pada tahun 1984 mempunyai sentuhan moden.

“Album solo pertama saya dengan Warner Muzik jadi macam 'City Pop'. Daripada 'Komputer Muzik' 1984 masa itu. Tahun 1984, album itu memang terlalu kehadapan sangat untuk masa itu,” kongsi Francissca.

“Tapi beberapa tahun lepas, album tu tiba-tiba naik semula dan banyak dimainkan di radio – di Spotify, YouTube pun suka sangat. Lepas tu, ada budak-budak muda ambil lagu saya dan ada yang buat remix,” tambahnya sambil tersenyum.

Antara album yang melonjakkan namanya sebagai penyanyi nombor satu era 80-an ialah 'Aku Hanya Pendatang', kolaborasi pertamanya dengan komposer tersohor, Manan Ngah.

“Lepas album tu capai taraf emas, Manan mula nampak arah sebenar muzik saya. Dia tahu peminat suka balada, jadi album seterusnya 'Sekadar Di Pinggiran' kami fokus pada balada yang lebih kuat.” jelas Francissca lagi.

LAGU BALADA SIMBOL KEKUATAN WANITA

Bagi Francissca, lagu-lagu baladanya bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan kekuatan wanita yang melalui pelbagai cabaran hidup.

Menurutnya, kekuatan itu disalurkan melalui lirik dan melodi balada, menjadi pengubat luka dan pembakar semangat buat mereka yang pernah melalui trauma emosi.

“Dalam hidup kita, dalam dunia ini, ada pahit, ada manis. Ada macam-macam,” ujarnya. “Seorang wanita yang jadi kuat memang sudah lalui terlalu banyak kesusahan. Itulah yang buat mereka jadi macam itu.”

Menurutnya, kekuatan itu sering terpancar melalui lirik dan melodi lagu-lagu balada, yang menjadi pengubat luka dan pembakar semangat buat mereka yang pernah terluka.

“Ada yang dengar, terus terfikir, ‘Ya, aku takkan laluinya lagi!’ Dengar lagu itu pun, huh, sakit! Terdengar saja lagu itu, terus teringat balik, ‘Aku pernah laluinya. Tapi takkan berlaku lagi.’ Betul tak? Itulah cara kita jadi lebih kuat.”

Francissca menegaskan bahawa mesej seperti ini tidak hanya terhad kepada wanita, malah untuk sesiapa sahaja yang pernah berjuang dalam hidup.

LAGU BAHARU BUAT PEMINAT SETIA

Selepas puluhan tahun dalam industri,  Francissca masih menyimpan keinginan untuk merakamkan lagu baharu.

“Saya memang nak buat A Cut, saya tak nak lagu B Cut,” tegas Francissca.

“Saya betul-betul mahu beri sesuatu yang betul-betul bagus untuk peminat saya. Saya rasa saya akan buat macam balada yang baik,” ujarnya.

Menurutnya genre balada kekal relevan dan diminati ramai di seluruh dunia.

“Balada masih satu perkara besar di peringkat global. Balada yang baik memang bagus, tapi ia mesti ada melodi yang kuat, lirik yang bercerita dan produser yang tahu cara bawa keluar yang terbaik daripada lagu itu.

“Dalam studio, ia tentang perasaan. Bukan sekadar nyanyi saja. Sesiapa pun boleh nyanyi, tapi soalannya — adakah mereka betul-betul menyampaikan perasaan lagu itu?” katanya jujur.

DUTA WORLD VISION MALAYSIA

Di luar dunia seni, Francissca giat dalam kerja kebajikan dan telah menjadi Duta Penajaan Kanak-Kanak World Vision Malaysia selama lebih dua dekad.

“Kadang-kadang orang fikir artis ni seronok saja, tapi ini sebenarnya periuk nasi kami. Kita nyanyi sebab itu kerja kita. Tapi pada masa yang sama, golongan muda pandang artis. Jadi kita kena jadi contoh yang baik,” katanya.

Sebagai seseorang yang pernah hidup dalam kemiskinan, beliau berasa terpanggil untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, khususnya kanak-kanak.

“Saya tahu macam mana rasanya hidup dalam kemiskinan. Kalau tengok dunia sekarang — perang, kelaparan, bencana — yang paling terkesan adalah kanak-kanak. Mereka adalah masa depan. Kalau kita rosakkan persekitaran atau halang mereka dari dapat pendidikan, kita sebenarnya halang masa depan,” tegasnya.

Beliau menyeru orang ramai untuk menaja kanak-kanak, sama ada melalui NGO atau secara langsung dengan keluarga miskin.

“Tidak semestinya ambil anak angkat. Cuma bantu secara kewangan. Di Malaysia, lebih kurang S$212 atau RM$700 setahun. Itu bukan jumlah besar, tapi impaknya besar. Satu anak yang kita bantu, walaupun bukan anak kita, itu tetap anak negara ini,” ujar beliau penuh semangat.

Menurut Francissca, pendidikan dan pemakanan yang baik adalah asas penting untuk pertumbuhan minda dan fizikal kanak-kanak. 

MAHU DIKENANG SEBAGAI SEORANG YANG PENYAYANG

Apabila ditanya tentang legasi, Francissca tidak mahu dikenang semata-mata sebagai artis.

“Legasi itu saya rasa sudah ada. Di media sosial, orang boleh Google dan tahu pasal saya. Saya mahu mereka ingat saya sebagai seorang yang penyayang,” ujarnya.

“Dunia ini susah. Kita selalu tenangkan orang, tapi kadang-kadang tak ada ruang untuk diri sendiri. Tak cukup kasih sayang, kebaikan dalam dunia sekarang.”

“Kalau kita buat kebaikan, tak perlu hebahkan. Yang lebih bermakna bila orang ingat kita bila kita sudah tiada. Mereka kata, ‘Dia macam ni. Dia pernah buat begitu.’ Saya rasa tak cukup orang yang macam itu hari ini,” katanya penuh harapan.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/RR
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita