Skip to main content

Hiburan

BERITA+ HTHT Nadeera: Dari tiada keyakinan, namanya meletup dengan lagu nada tinggi lagi tular

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Di antara lagu Raya yang mencuit hati adalah lagu Meriah Lain Macam - paduan suara Hael Husaini dan penyanyi kecil molek Nadeera Zaini.

Lagu Raya yang menjadi antara yang paling popular tahun lalu itu menjadi viral kerana menggabungkan suara lantang bertenaga Nadeera Zaini dengan kreativiti pencipta lagu-lagu 'hit' - Hael Husaini.

Kejayaan itu menunjukkan arah baharu lagu Raya, yang beralih daripada nostalgia kepada pop moden.

Berita+ HTHT kali ini mengajak sembang bersama penyanyi Nadeera Zaini.
Related article image
Nadeera Zaini (Gambar: Berita Mediacorp)
DULU PEMALU, TIADA KEYAKINAN, TERLALU MERENDAH DIRI

SYAWAL YUSOFF: "Farah Nadeera Zaini atau dikenali sebagai Nadeera - pada awal kemunculan lebih 10 tahun dahulu, anda dikritik hebat kerana penampilan yang kurang komersil. Pernah tak Nadeera rasa macam putus asa ataupun hilang keyakinan diri?"

NADEERA ZAINI: "Pasti, tipu kalau saya cakap saya tak pernah putus asa langsung. Iyalah, dengan kritikan-kritikan tentang paras rupa tanpa melihat bakat saya. Jadi masa itu memang saya cakap mungkin susah peluang saya, untuk saya berikan yang terbaik, kalau mereka masih lagi memandang pada paras rupa."

SYAWAL YUSOFF: "Tapi apa yang membuat Nadeera terus berjuang?"

NADEERA ZAINI: "Kata-kata semangat daripada kawan-kawan saya, ibu-bapa saya. Sebab mereka selalu sokong saya dan kata-kata semangat itu jugalah yang mengiringi saya untuk berada di sini sekarang. Alhamdulillah."
Related article image
Di set penggambaran Berita+ HTHT bersama Nadeera Zaini (Gambar: Berita Mediacorp)
PERLU PAKEJ LENGKAP UNTUK JADI ARTIS

SYAWAL YUSOFF: "Benarkah sewaktu anda baharu dalam industri ini, anda merasa tersisih ataupun sukar membuat kawan dalam industri?"

NADEERA ZAINI: "Saya ini pun sebenarnya agak segan nak mulakan bercakap dengan orang. Tapi sebenarnya saya kena tahu dalam industri ini, kita tak boleh jadi macam itu pun. Jadi saya sedang belajar untuk berkomunikasi. Keyakinan diri saya itu agak kurang sebab 'Siapa lah saya ini untuk saya tegur orang yang hebat?'

SYAWAL YUSOFF: "Apa yang anda lakukan untuk mengatasinya?"

NADEERA ZAINI: "Kita tonton YouTube kan, lihat macam mana cara mereka bual, kan? Cara mereka jawab soalan, cara macam mana saya nak bergaul dengan orang pun saya buat pencarian juga. Setiap hari saya buka media sosial dan sebagainya - untuk belajar."

KERJASAMA YANG MEMBAWA JAYA

SYAWAL YUSOFF: "Sepanjang 13 tahun dalam industri ini, beberapa tokoh yang telah bekerjasama antaranya Hael Husaini dengan Ajai. Nasihat yang pernah mereka berikan yang mempengaruhi arah muzik Nadeera?"

NADEERA ZAINI: "Hael banyak tunjuk ajar dari segi teknik. Kalau rakaman, kita tak boleh terlalu lantang sangat. Tapi bila kita nyanyi secara langsung, kita perlu bersungguh habis. Selalu percaya diri. Selalu merendah diri dan sebagainya. Dan juga kata-kata daripada Abang Ajai - semasa saya masuk pertandingan, orang ramai menghakimi penampilan saya, kan? Abang Ajai cakap, 'Jangan dengar kata-kata orang atau pun kata-kata negatif'."

SYAWAL YUSOFF: "Kolaborasi anda dengan Hael Husaini untuk lagu Bukan Lagi Kita?"
Related article image
Nadeera Zaini (Gambar: Berita Mediacorp)
NADEERA ZAINI: "Masa itu di sebuah acara di mana saya sedang duduk. Ramai rakan-rakan artis. Mungkin saya terlalu pemalu untuk menegur mereka. Tetapi Hael Husaini datang dekat saya. dia cakap ‘Nadeera, apa khabar?’ Dan selepas beberapa hari dia telefon saya. Dia beri saya lagu. Saya hayati lirik dan lagunya. Saya cakap 'Lagu ini sedap sangat'. Sebab saya suka korus. Saya cakap dekat dia, lagu ini macam ada kena-mengena juga dengan saya. Kemudian dia cakap, 'Oh ye ke? Kita dah tahulah!' Dia cakap macam itu!"

SYAWAL YUSOFF: "Jadi lagu itu Hael ciptakan khas untuk anda?"

NADEERA ZAINI: "Ya. Apa yang saya tahu, memang dia nak cipta lagu itu untuk seseorang. Dia kena lihat dulu personaliti orang itu. Dan mungkin ada juga dia mendengar ataupun melihat saya, untuk dia berikan karya itu untuk saya. Dan Alhamdulillah, saya nak juga lagu itu. Proses itu mengambil masa dalam beberapa hari jugalah untuk saya, pertama, rekod di telefon pintar sahaja di WhatsApp. Setelah saya 'voice note' dekat dia, kemudian dia bagi demo itu pada saya melalui telefon, lalu awal-awal lagi bila saya dapat demo itu, saya cakap dekat dia, 'Ok jom kita lanjutkan untuk rekod betul-betul."

NAMANYA MELETUP DENGAN LAGU NADA TINGGGI LAGI 'VIRAL'

SYAWAL YUSOFF: "Terdapat pandangan bahawa penyanyi masa kini perlu berlumba-lumba untuk menyampaikan lagu yang bernada tinggi untuk berjayalah seperti lagu Bukan Lagi kita."

NADEERA ZAINI: "Bagi saya tidak semestinya. Kepada semua penyanyi-penyanyi di luar sana, tidak semestinya perlu ada suara yang tinggi. Bagi saya, ia bergantung kepada lagu. Kalau lagu itu boleh membawa sesuatu yang luar biasa, sesiapa pun menyanyikan lagu yang luar biasa itu pun akan jadi luar biasa juga. Tak kisah sebenarnya kalau macam sesetengah artis yang mungkin bukan bersuara tinggi pun sebenarnya boleh juga menjadi seorang yang hebat. Pendapat saya, tak perlu bernada tinggi pun. Cukuplah sekadar boleh menyanyi dengan baik dan boleh membawa sebuah lagu itu menjadi satu fenomena. Bagi saya, itu pun dah cukup sebenarnya untuk menjadi seorang anak seni yang berjaya, lah."

SYAWAL YUSOFF: "Selepas kejayaan lagu 'Bukan Lagi Kita', timbul pula 'Meriah Lain Macam' yang memang betul-betul meriah."

NADEERA ZAINI: " Masa itu saya ingat lagi saya sedang merakam lagu Dam Dim Dum Raya. Kemudian dia telefon, ‘Nad, jom kita pergi rekod’. Hah? Rekod apa? 'Lagu baru ini, lagu Raya!‘ Lagu Raya? Saya pun sedang rekod lagu-lagu Raya juga. Saya dengar lagu ini macam 'Sayang, ya iya Sayang?' Sesuatu yang lain, kan? Belum ada lagi lagu Raya yang macam itu. Tapi memang lagu itu diciptakan untuk pasangan-pasangan. Maksudnya suami-isteri juga yang kadang-kadang bergaduh nak balik kampung - tapi ke yang mana satu, kan? Haa itulah terhasilnya lagu Meriah Lain Macam."
Related article image
Nadeera (kiri) dan Syawal Yusoff (kanan) bersama kakitangan sokongan Nadeera (Gambar: Berita Mediacorp)
SYAWAL YUSOFF: "Kalau kita lihat di TikTok, ramai orang yang telah membuat dan memuatnaikkan video - versi mereka sendiri lah - untuk bahagian yang menari dan 'dia tengok dia, dia tengok dia' itu, kan? Bagaimana perasaan Nadeera bila tengok lagu ini jadi 'viral' sampai begitu?"

NADEERA ZAINI: "Tentulah saya teruja, gembira, bersyukur sangat-sangat sebab benda ini kita tak jangka kerana kita rakam saat akhir. Tapi Alhamdulillah. Siap orang buat cabaran di Tiktok dan sebagainya. Dan setiap kali saya keluar pergi ke mana-mana pun - pergi beraya ke, orang mesti cakap 'Sayang!' Mereka tak panggil nama saya, tak ada. Saya pun jawablah, 'Ya iya sayang?'."

SYAWAL YUSOFF: "Sebelum kita akhiri wawancara HTHT ini mungkin ada sebarang nasihat yang boleh Nadeera sampaikan kepada mereka yang juga bercita-cita mahu berjaya seperti anda?"

NADEERA ZAINI: "Kepada semua pendatang-pendatang baharu ataupun penyanyi-penyanyi baharu yang nak cuba bakat mereka, yang tak ada keyakinan diri, anda semua masih lagi berpeluang sebenarnya dan jangan berputus asa. Teruskan berdoa, teruskan berusaha. Sebab kadang-kadang kita tak tahu mungkin di hadapan itu sahaja kita kejayaan. Jadi, rugi kan, kalau kita berputus asa? Teruskan bertawakkal dan berusaha sampai menjadi."
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita