Skip to main content

Hiburan

BERITA+: HTHT Legasi Biduan R Ismail

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: HTHT Legasi Biduan R Ismail

Gambar: Khalish Marican

SINGAPURA: Satu persembahan teater 'Nadarindu Legasi R Ismail' untuk mengenang sumbangan allahyarham R. Ismail kepada industri hiburan tradisional Melayu sepatutnya dipentaskan pada Sabtu (23 Dis), namun terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir di atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ketiga anak Allahyarham yakni anak sulung Aslina, anak kedua Iskandar dan yang bongsu Elfee gigih berlatih untuk persembahan itu sebelum pembatalan itu diumumkan.
Related article image
Gambar: Khalish Marican
Wartawan Syawal Yusoff sempat bertemu ketiga-tiga mereka yang mahu meneruskan legasi arwah bapa mereka dengan memperjuangkan lagu-lagu Melayu Asli.

PERWATAKANNYA YANG RAMAI TIDAK TAHU

SYAWAL: "Siapakah sebenarnya R. Ismail?"

EISS: "Beliau amat penyayang. Penyayang, penyabar, tidak banyak cakap."

ASLINA: "Beliau juga adalah orang yang ikhlas. Sebab itu apabila beliau menyanyi, boleh rasa teramat sangat di dalam lubuk hati. Semasa Arwah masih hidup lagi, apabila dia menyanyikan lagu, macam pada hari-hari biasa, saya akan sentiasa menitiskan air mata. Apatah lagi apabila Abah sudah tidak ada lagi di dunia."

MENURUNKAN KEMAHIRAN & MINAT TERHADAP LAGU-LAGU TRADISIONAL

SYAWAL: "Bagaimana Biduan R. Ismail menurunkan kemahiran atau minat dalam muzik Melayu Asli?"

EISS: "Arwah abah main gitar, jadi kami sejak kecil-kecil semua sudah ikut nyanyi bersama. Jadi mungkin darah seni, anugerah yang Allah berikan kepada kami. Jadi daripada situ, kami mempelajari lagu-lagu Melayu Asli."

ELFEE: "Beliau suka main organ ataupun gitar. Nanti beliau akan bersedia dengan radio yang boleh letak kaset, dan rakam. Jadi beliau panggil semua anak-anaknya, mainkan (kaset), minta kami nyanyi seorang demi seorang."

EISS: "Sewaktu saya di Darjah 2, saya masih ingat. Saya ada membuat persembahan di kaca TV, waktu itu untuk rancangan bengkel kanak-kanak. Jadi saya dapat lagu Dondang Sayang. Saya pun belajar daripada Allahyarham. Abah ajar saya dengan pembaris. Dengan pembaris panjang itu, disiapkan di tepi. Abah ajar saya macam mana hendak buat lenggok patah Melayu. Apabila saya salah, dengan tangan-tangan saya juga diketuk dengan pembaris itu! Orang-orang lama - memang kalau kita hendak mempelajari sesuatu, harus berikan 100 peratus!"

ELFEE: "Tahun 2007 apabila saya mewakili Singapura di Juara Klasik Nusantara, saya balik bertugas, belum masuk rumah lagi, “Assalamualaikum”. Baru hendak buka kasut. “Berlatih!” “Belum buka kasut, Bah.” Begitu. “ Tidak apa. Buka kasut, berlatih. Selepas berlatih baharu makan.” Jadi hari-hari macam itu. Fasal sudah hendak dekat pertandingan, bukan? Sampai hari yang kelima keenam, “Bah, penat Bah. Esok boleh?” Beliau ambil CD itu, dicampak. “Tidak hendak berlatih, jangan berlatih terus! Kalau kalah, itu masalah kamu!” Begitu sekali. Jadi saya dengar katanya, saya berlatih. Akhirnya saya mendapat juara!"

TERUSKAN PERJUANGAN ARWAH AYAH

SYAWAL: "Elfee, bagaimana anda melaksanakan wasiat Abah anda yang ingin anda teruskan perjuangannya?"

ELFEE: "Beliau sedang tonton TV tentang lagu-lagu asli. Tiba-tiba panggil saya. 'Adik, kalau boleh, Abah hendak satu orang pengganti Abah lagu-lagu asli. Sebab nampak gaya, Abang Iskandar sudah jadi rok, Kak Lin mungkin akan berhenti menyanyi. Tinggal Adik seorang sahaja yang Abah nampak ada potensi.' Sebenarnya saya pun tidak minat lagu asli sangat dahulu. Saya minat lagu rok juga. Tetapi apabila saya melihatnya berlinangan air mata, dengan serta-merta saya, dengan tidak ragu-ragu, saya cakap, 'Abah, Adik gantikan tempat Abah, insyaAllah.' Sampai sekarang, saya teruskan lagu-lagunya lagu-lagu tradisional. Itulah wasiat yang saya sudah berjanji pada Allahyarham Abah saya."

SYAWAL: "Soalan untuk Aslina pula. Anda pernah merakam dua lagu Melayu Deli dalam sebuah album kompilasi bersama ayahanda anda. Kenapa setakat itu sahaja?"

ASLINA: "Sebelum adik saya Elfee dan Iskandar ini membesar, saya yang pertama sekali dilatih bertubi-tubi, sudah diasuh dari dahulu. Sedikit lagi saya sudah hendak tinggal di Malaysia, jadi penyanyi rakaman. Tetapi saya tidak berminat sangat untuk menyanyi di hadapan TV, kamera, macam bergelek begini, tidak. Saya suka menyanyi, tetapi untuk keluarga. Kita pun pernah buat persembahan di majlis hari lahir Almarhum Sultan Pahang. Almarhum Sultan betul-betul minat dengan arwah Abah. Tetapi selepas berkahwin, saya kata, 'Saya akan nyanyi bila Abah paksa saya. Kalau tidak paksa, saya tidak akan menyanyi.' Sebenarnya Abah teramat kecewa, sebab menaruh harapan pertama sekali pada saya. Saya lagi hampir-hampir berhijrah ke Malaysia. Ada kontrak menyanyi di sana. Begitulah perjalanan hidup saya. Tetapi saya sokong kedua-dua adik saya ini. Saya 'peminat nombor satu' mereka!"

SYAWAL: "Untuk Eiss pula, mengapa genre rok menjadi pilihan?"

EISS: "Sebenarnya saya minat semua genre. Lagu asli pun saya minat, lagu balada saya minat, lagu langgam semua saya minat. Abah kata, tidak kisah. Saya tidak nyanyi lagu asli pun tidak mengapa. Beliau akan tetap menyokong saya. Saya masuk pertandingan kali pertama itu sebab beliau yang paksa saya masuk. Fasal beliau kata saya boleh nyanyi. Dulu pertandingan karaoke boleh pandang skrin. Saya hendak pandang penonton sahaja sudah menggeletar, jadi saya menyanyi pandang skrin sahaja! Pertandingan sulung yang saya sertai itu, saya menang. Dengan pertolongan Abah. Beliau banyak mengajar saya macam mana hendak menyanyi. Walaupun lagu-lagu balada, beliau ajar saya cara menyanyi. Beliau tahu. Walaupun beliau nyanyi lagu Melayu Asli."

ELFEE: "Pernah Allahyarham memberitahu, 'Lagu rok ini semua tidak salah, lagu balada tidak salah. Tiada masalah,' katanya. 'Tetapi, kita kena melebihkan lagi lagu-lagu Melayu kita, lagu tradisi kita. Seperti lagu tradisional asli, inang, joget, fasal itulah lagu yang mula-mula keluar'. Jadi macam Abah cakap, "Kalau tidak ada lagu-lagu lama, tidak ada lagu-lagu baharu". Jadi itulah yang saya ingat kata-katanya. Jadi untuk yang meminati rok, memang tidak salah. Cuma bagi saya, kita mesti mengetengahkan lagu-lagu tradisional kita."

RANCANGAN UNTUK BERI NAFAS BAHARU KEPADA LAGU 'GURINDAM JIWA', 'GELOMBANG'..

SYAWAL: "Seperti yang kita tahu, lagu 'Lemak Manis' yang pernah dipopularkan oleh Roslan Madun, kembali viral 41 tahun kemudian, oleh kerana video nyanyian Haziq Rosebi. Ada tidak perancangan daripada anda bertiga untuk melakukan usaha yang sama dengan lagu-lagu Allahyarham Biduan R. Ismail?"


ELFEE: "Memang saya ada idea. Seperti lagu 'Gurindam Jiwa', lagu 'Gelombang' dia, saya memang ada bertanya kepada komposer-komposer Singapura. Saya hendak memperbaharui lagu-lagu itu. Rancangan saya memang pertama sekali, abang saya dengan kakak saya. Mana tahu, lagi lima, enam bulan akan direalisasi?"
Related article image
Gambar: Khalish Marican
SYAWAL: "Selain daripada anda bertiga, adakah artis tempatan lain yang anda rasa mungkin sesuai juga untuk membawakan lagu-lagu ayahanda anda?"

EISS: "Chacha namanya."

ELFEE: "Dan Chacha ini adalah salah seorang anak murid Abah juga."

EISS: "Ya, anak murid Allahyarham sebenarnya."

ELFEE: "Betul. Beliau boleh membawakan lagu-lagu tradisional. Sebenarnya memang ramai lagi penyanyi-penyanyi Singapura yang nyanyikan lagu-lagu tradisional. Ramai. Alhamdulillah, saya pun sungguh gembira kerana lagu-lagu ini, orang-orang muda masih membawakan. Seperti kumpulan Sri Mahligai, kumpulan Nobat Kota Singa. Banyak lagi."

PENYESALAN DAN KERINDUAN SELEPAS PEMERGIAN ARWAH BAPA

SYAWAL: "Jadi setelah tiga tahun pemergian Allahyarham, terasa tidak kehilangannya?"

ASLINA: "Beliau suka telefon saya. 'Hello, my daughter! How are you?' Saya cakap, 'I’m fine, thank you!' Macam itu, lah. Jadi macam sudah terbiasa, asyik 'Hello my daughter, Hello my daughter'. Jadi, apabila Abah sudah tidak ada lagi, tiba-tiba ‘my daughter’ sudah berhenti. Saya sebenarnya sampai menelefon syarikat telekomunikasi. Saya sanggup bayar. Tolong kesan dan beriah saya rakaman panggilan itu. Saya hendak simpan buat kenangan, ‘Hello my daughter, Hello my daughter’. Tetapi, tidak dapat."

EISS: "Sudah selepas tiga tahun pun, saya tidak boleh lihat gambar Allahyarham dalam Facebook. Fasal, apabila saya terpandang nanti saya akan menangis. Atau apabila saya memandu ke tempat kerja, sekali-sekala, saya suka mendengar Radio WARNA 942 juga. Bila terkeluar suara lagu 'Gurindam Jiwa', air mata sudah mula meleleh."

ASLINA: "Arwah Abah saya selalu berkata, 'Lin, nanti ada muzik. Datang ya? Abah nak nyanyi dengan Lin.' Duet wanita, bukan? Beliau suka duet dengan saya sahaja, suka sangat. Saya kata, 'Abah, insyaAllah tau. Tidak janji ya?' Penat hujung minggu, bukan? Kalau sekali-sekala saya dapat datang pun, setakat sekejap sahaja. Nyanyi beberapa lagu, selepas itu balik. Penyesalannya, kalau saya boleh 'putar-semula' masa dahulu, saya hendak bersama beliau dan menyanyi, menyanyi dan menyanyi. Asal beliau bahagia. Itulah, beri beliau kebahagiaan. Itu sahaja saya hendak. Menyesal."
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita