Skip to main content

Hiburan

BERITA+ HTHT: Konsert dan fasa akhir penglibatan Ajai dalam muzik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kerjaya seninya bermula sejak 1991 sebagai pemain papan nada kumpulan rok-pop remaja, Exists.

Pada sekitar 1997 pula, Mohamad Faizal Maas atau Ajai mula menggubah lagu apabila menyumbang karya untuk penyanyi Rem dalam album 'Semua Orang Tahu'.

Sehingga kini, Ajai sudah menggubah lebih seribu buah lagu termasuk karya untuk artis-artis terkenal seperti Siti Nurhaliza, Sheila Majid dan Kris Dayanti.

Kini, beliau menyumbang kembali kepada industri dengan membimbing generasi pelapis termasuk menjadi mentor dan juri program realiti nyanyian.

Pada Mei lalu, Ajai juga mementaskan sebuah konsert di Singapura dan menampilkan penyanyi-penyanyi hebat seperti Aina Abdul dan Dayang Nurfaizah.

Dalam wawancara bagi BERITA+ HTHT, Ajai berkongsi aspirasi dan liku-liku dalam kerjayanya.
 
Ajai bersama anak kepada Arwah Siti Sarah Raisuddin yang membuat persembahan sulungnya di Singapura. (Gambar: Roslinda Rahmat)
JAYAKAN KONSERT SEBAGAI KEMUNCAK KERJAYA

SYAWAL: "36 tahun dalam industri seni ini, pelbagai cabaran dan perubahan yang telah Ajai sendiri alami. Apa yang terus memberi Ajai semangat dan motivasi untuk terus berkarya?"

AJAI: "Sebenarnya, satu ayat yang tepat untuk apa-apa sahaja yang kita lakukan adalah "into it". Maksudnya, keinginan kita dan kesungguhan kita, sebab itu merangsang diri saya dan saya fikir muzik ini bagaikan fesyen sebab setiap tahun ia akan ada perubahan, begitu. Tidak kiralah apa kerjaya pun yang kamu lakukan, kalau kamu tidak ada kesungguhan, kamu tidak "into it", ia takkan jadi satu benda yang seiring dengan apa yang kamu inginkan. Jadi, yang membuatkan saya bertahan adalah kerana kesungguhan saya dan saya seronok buat benda ini."

SYAWAL: "Ajai dahulu bermula sebagai pemain papan nada atau 'keyboard' dalam kumpulan Exists. Betul, bukan? Selepas itu terus menyanyi pula. Selepas itu jadi komposer. Mana satu yang Ajai paling suka?"

AJAI: "Sewaktu kemasukan saya ke dalam industri, saya ada visi dan misi, di mana saya tidak hendak kekal sebagai sebuah kumpulan sampai bila-bila. Sebab saya rasa saya perlu ada peningkatan, dalam mengembangkan persekitaran dan juga untuk berkongsi muzik saya dengan kugiran, dengan syarikat rakaman, dengan artis.

"Saya jadi jurutera bunyian dahulu, selama dua tahun untuk saya kenal pasti dan saya ketahui tentang apa itu penerbitan bunyian dan selepas saya sudah 'khatam' dengan benda itu, baru saya hendak menjadi seorang A&R - Artis dan Repertoir, di mana saya kaji tentang repertoir setiap benda yang saya terbitkan dan di situ, Tony Fernandes ambil saya untuk bekerja dengan dia selama 11 tahun dan saya menjadi penerbit tetap, A&R, di mana saya buat serantau - Malaysia, Singapura dan Indonesia. Kerja saya merekrut artis dan menerbitkan mereka dan selepas itu, saya memiliki studio rakaman sendiri, syarikat rakaman sendiri dan selepas itu, saya berjinak-jinak pula dengan dunia runding cara bagi rancangan-rancangan realiti. Sudah selesai dengan rakaman, sudah selesai dengan pengumpulan lagu-lagu karya saya, fasa yang terakhir adalah konsert."

SAMPAI BILA MAHU BERKARYA?

AJAI: "Umur kita sudah 50-an. Tidak tahu bila pengakhiran kita. Jadi sebelum apa-apa terjadi, konsert adalah perjalanan terakhir kita dalam muzik. Saya sudah katakan pada isteri saya, pada anak-anak saya yang saya hanya mahu berkarya sampai 60 tahun sahaja. Jadi saya cuma ada 10 tahun lagi untuk saya berkarya sebab saya kenali muzik daripada umur saya lima tahun. Saya bermula apabila ibu bapa saya hantar saya belajar muzik di Sekolah Muzik Yamaha. Selama belasan tahun saya belajar. Di situlah saya belajar tentang menggubah muzik, meraih keupayaan untuk membaca dan mempersembahkan sesuatu karya muzik secara spontan iaitu, memainkan atau menyanyikannya tanpa pernah melihat atau berlatih sebelum itu. Saya belajar bagaimana untuk mendengar muzik, dan bagaimana menggubah atau menulis lagu dalam bentuk notasi. Jadi penghabisannya, apabila umur saya sudah 60 tahun, kalau saya 'ada umur', saya hendak habiskan masa saya menuju ke jalan Allah pula."

 
Ajai beraksi dalam konsert mega bersama rakan-rakan di Singapura. (Gambar: Roslinda Rahmat)
KARYA YANG MEMBUAT AJAI MERASA TERKILAN

SYAWAL: "Setelah ribuan karya yang Ajai sudah hasilkan, ada tidak macam merasa ada yang tertinggal, atau yang tidak sempat dihasilkan?"

AJAI: "Ada. Yang saya terkilan satu sahaja. Iaitu Almarhum Datuk Sharifah Aini di mana saya sudah rakam tetapi kita tidak sempat hendak promosikan. Selepas itu, beliau meninggal dunia. Masa itu, saya bekerjasama dengan arwah S. Atan, Datuk Ahmad Nawab, Datuk Ramli MS. Saya yang paling muda pada masa itu."

SYAWAL: "Apa komen Ajai tentang ramainya penyanyi-penyanyi baharu pada hari ini?"

AJAI: "Apabila kita cerita fasal pendatang baharu, memang kita nampak macam cendawan yang tumbuh selepas hujan, bukan? Tetapi artistik itu sebenarnya adalah yang betul-betul orang yang dinamakan artis. Yang mempunyai ciri artistik itulah, pada saya sebab kalau kita bercakap soal menyanyi, selagi ada tekak, nyanyilah kamu. Tidak ada seorang pun yang hendak melarang kamu. Apabila kamu berduit, buatlah apa lagu-lagu yang kamu hendak buat tetapi penghabisan, penyanyi dengan menyanyi itu berbeza.

"Menyanyi, semua orang boleh menyanyi. Penyanyi itu adalah kerjaya dan tidak semestinya kamu boleh menyanyi 100% bagus, kamu diberi kelayakan sebagai penyanyi dan tidak semestinya kamu hanya ada asas menyanyi sebanyak 50%, kamu tidak boleh digelar penyanyi kerana apabila 'penyanyi', mempunyai bakat dan mempunyai tarikan sebab tarikan itu penting juga, bukan? Contoh, saya bagi tarikan antarabangsa. Kadang-kadang budak-budak sekarang kan kalau tempatan ini dia kurang sedikit tahu. Yang internasional mereka tahu tetapi cuma sekarang, perkembangan muzik kita sudah bagus, di mana mereka tidak hidup lagi dengan lagu balada.

"Kalau kita lihat industri muzik di Asia sekarang, terutama di Singapura, Malaysia, Indonesia yang mencintakan muzik Melayu, muzik bahasa yang kita faham, kita tengok sudah ada banyak kategori muzik popular. Popular jazz, popular R&B, popular rok, popular macam-macam lagi, bukan? Dan apabila kita cakap fasal konsep, pop itu bukan konsep kita. Pop itu adalah 'popular of what'. Popular jazz. Jazz itu adalah arah kita, rok itu adalah arah kita tetapi ia mesti ada yang popular, yang komersial."

SYAWAL: "Kalau kita lihat sekarang, ramai penyanyi dan komposer baru yang mula muncul. Ada tidak seseorang komposer atau penyanyi yang menarik perhatian Ajai?"

AJAI: "Imran Ajmain sebab, kebanyakan yang berjaya, yang boleh bertahan adalah penyanyi-komposer dan kalau kita kaji daripada zaman 70-an, 80-an, 90-an pun, baik daripada luar negara ataupun muzik luar negara, muzik antarabangsa, semua penyanyi-komposer. Jarang artis antarabangsa yang bukan penyanyi-komposer. Jadi macam itulah saya tengok Hael Husaini, Aina Abdul, M. Nasir, betul? Macam Melly Goeslaw, macam Ahmad Dhani, ya. Macam Carpenters, macam Metallica tetapi kekuatan sesebuah lagu itu bukan sahaja bergantung kepada melodi sahaja. Ia kena ada lirik yang bagus, ia kena ada muzik yang bagus. Penghabisan, kuatnya lagu tersebut berdasarkan pada lirik, maksud lagu itu. Tajuk lagu itu memainkan peranan yang penting, bukan? Sebab kerana tajuk itu, kerana maksud lagu itu, orang minat - selain daripada melodi, selain daripada susunan lagu. Ia mesti ada pakej yang lengkap."
Ajai bermain piano menemani Dayang Nurfaizah. (Gambar: Roslinda Rahmat)
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita