BERITA+ HTHT HABSAH HASSAN: Bermula di Singapura, karya liriknya mekar merentas lima dekad
SINGAPURA: Beliau bersekolah dan mula menulis di Singapura.
Lebih 1,000 senikata lagu sudah dipenakannya sepanjang lebih lima dekad kerjayanya.
Habsah Hassan malah diberi penghormatan dengan konsert tribut oleh Esplanade, Teater di Pesisiran.
Antara lagu yang cukup terkenal dan diingati hingga ke hari ini adalah Salam Terakhir, nyanyian penyanyi tersohor Malaysia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, yang merupakan sahabat rapatnya.
BERITA+ HTHT menyelami hati Habsah Hassan serta perjalanan kerjaya seninya.
HABSAH HASSAN: "Saya bermula segalanya di sini. Saya menulis drama radio, TV, filem, lagu, sajak, cerpen. Minat menulis daripada sekolah rendah lagi dan saya memang suka membaca. Saya ada kakak angkat dalam bidang teater dan ayah saya pula aktif dalam pelbagai aktiviti kebudayaan. Jadi saya senantiasa terdedah kepada perkara-perkara begini.Skrip radio saya yang pertama, saya tulis sewaktu di Menengah 3 - umur 15 tahun begitu, lebih-kurang. Dengan RTS - Radio dan Televisyen Singapura. Tajuknya 'Hati Si Cacat'. Masa itu Singapura dalam Malaysia lagi.
BERSEKOLAH DAN MEMBESAR DI SINGAPURA
HABSAH HASSAN: "Saya bersekolah di Sekolah Perempuan Fairfield Methodist (dahulu) dekat Neil Road. Ayah saya dahulu pesara polis marin Singapura. Selepas dia bersara, ayah balik ke Malaysia. Masa itu, penulis terkenal di Singapura, Jah Lelawati namanya, hantar surat kepada saya sebab masa itu saya terus menulis. Sudah mula dapat tempat di RTS, bukan? Jadi saya panggil dia Kak Jah. Kak Jah ini menulis memberi dorongan kepada saya. Saya tak kenal dia. Saya kenal dia sebagai penulis. Mendapat surat daripada orang yang terkenal masa itu, kita pula masih budak, kan masa itu, rasa sangat berbesar hati. Jadi Kak Jah kata, 'Datang Singapura'.
"Saya tinggal Form 6. Tapi saya datang balik ke Singapura dan orang Singapura waktu itu yang bawa saya itu orang RTS juga. Kak Hayatee Yusof - dia bawa saya bertemu Kak Jah dan bawa saya ke RTS. Terjumpa ketua bahagian Melayu, arwah Puan Zahrah Za'ba. Mulai itu saya dapat banyak peluang menulis di RTS. Jadi Singapura ini saya tak akan lupa sampai ke akhir hayat sayalah kerana di sini saya mula menulis dan di sini juga saya mula mendapat banyak peluang.
DALAM BANYAK KARYA 50 TAHUN, YANG MANA PALING DEKAT DI HATI?
HABSAH HASSAN: "Kalau nak ikutkan filem, yang pecah panggung, 'Soal Hati'. Kalau lagu, banyaklah lagu sebab lagu banyaklah saya menulis, jadi saya nak kata yang mana sangat terkesan itu susah juga. Lagu 'Merisik Khabar', ada kesan pada diri saya, sebab saya membuat lagu itu memang fokus untuk arwah Sudirman (Hj Arshad), kerana mendapat panggilannya selepas Subuh. Jadi, bila saya dengar lagu itu, kalau saya duduk seorang-seorang, saya boleh menitiskan air mata. Tetapi banyak lagu yang dekat di hati. 'Cinta Beralih Arah', 'Kemaafan Dendam Yang Terindah', semua itu memang nostalgik.
HABSAH HASSAN: "Saya dengan Arwah Sudirman ini, saya anggap dia macam adik. Entah kenapa, dia mudah meluahkan, berkongsi cerita dengan saya, rahsia dia. Dan saya memang simpan rahsia dia. Jadi setiap kali saya diminta oleh komposer ataupun syarikat rakaman untuk buat lagu, jadi saya dapat membayangkan kembali apa-apa cerita dan saya meletakkan diri saya dalam diri dia. Bagaimana saya harus menghadapi, bagaimana saya terkesan dengan apa yang dia lalui. Jadi, saya rasa itu di antara sebab mengapa lagu-lagu arwah yang saya tolong tulis lirik itu, mempunyai kesan mengharukan juga, emosional sedikit."
APA MOMEN YANG PALING HABSAH HASSAN RINDUI?
HABSAH HASSAN: "Masa itu saya bekerja di RTM. Allahyarham (Sudirman) jadi johan pertandingan Bintang RTM, kalau tak silap saya dalam tahun ‘76. Dan sewaktu Allahyarham nak membuat rakaman pertama piring hitam, dulu EP, kita panggil EP. Cuma empat lagu sahaja. Kecil sahaja rekodnya dahulu. Saya diminta oleh sahabat saya, penerbit hiburan di RTM, Din Osman namanya, untuk menulis liriknya.
"Sebelum itu saya belum lagi pandai, maksud saya, tak banyak lagi menulis lirik. Tetapi kerana Din Osman itu sahabat saya dan komposernya mendiang Ooi Eow Jin minta saya, jadi saya cubalah. Saya cuba, tapi saya tak kenal Sudirman secara peribadi. cuma mengenali dia sebagai Johan Bintang RTM. Pertama kali saya berhadapan dan bercakap dengannya di studio sewaktu dia datang buat rakaman. Itulah perkenalan pertama. Disusuli oleh banyak lagi lagu-lagu yang saya buat, dan akhirnya kita menjadi sahabat dan persaudaraan itu macam kakak dengan adik. Saya boleh kata tiada rahsia antara dia dengan saya.
"Momen yang mengharukan, yang agak menyedihkan adalah ketika beliau menghadapi masalah rumah tangga. Barangkali dia pun tak ramai kawan ataupun tak mudah bercerita. Entah macam mana, dia mudah bercerita dengan saya, jadi saya rasa dihargai. Tapi yang menyebabkan dia mula terbuka untuk rapat dengan saya kerana saya menghasilkan lagu 'Terasing'. Untuk merakam lagu 'Terasing' itu, dia sudahpun berada di studio di Singapura. Waktu itu Singapura yang ada studio yang bagus-bagus. Ketika itu, saya diberitahu lagunya sudah ada lirik. Tak tahulah siapa yang menulis, tak tahu apa tajuk untuk lagu melodi 'Terasing' itu. Tapi entah mengapa, dia tak puas hati, dia minta PRO (Pegawai Perhubungan Awam) syarikat rakaman EMI masa itu untuk cari saya, untuk ubah, buat lirik baru. Saya ingat lagu itu saya siapkan kurang daripada 24 jam."
KISAH DI SEBALIK LAGU-LAGU IKONIK LAIN, YANG SEHINGGA KINI PUN MASIH MENYENTUH HATI PENDENGAR?
HABSAH HASSAN: "'Salam Terakhir', saya menulis lirik itu sewaktu Allahyarham masih segar-bugar lagi, bukan kerana dia sakit ke apa. Masa itu di Singapura ada pertandingan Festival Lagu ABU. Jadi lagu kami terpilih. Jadi kita di Singapura sini, pertandingan di sini. Dan selepas pertandingan, biasa kita duduk di hotel. Masa itu Equatorial Hotel. Saya tak tahu ada lagi ke tak ada hotel itu. Jadi saya, Sudir, pengurusnya masa itu mendiang Mike Bernie dan ada wartawan terkenal waktu itu, Saodah Ismail. Jadi kita berbual-bual.
"Masa itu saya suka mencabar dia, marah dia kerana "Hidup ini, 'you have to move on'", saya cakap dengan dia. Kita tiga orang serang dia,sebab dia masih sentimental. Saya cakap dengan Sudir, "You just have to petik jari, berderet datang!" Dia suka melayan perasaan. Itu satunya arwah ini. “Kakak tak tahu”, dia kata. “'This is my first love'. Tak mungkin saya boleh lupa. Tak mungkin saya boleh cari ganti. Tak mungkin saya nak cari ganti.” Dia cakap, “Lagipun, saya rasa saya pun tak akan hidup lama.” Masa itu, dia sihat-walafiat. Muda lagi!"Jadi itu yang Saya buat 'Salam Terakhir'. Tapi lagu itu hanya popular setelah Allahyarham tak ada. Tapi lagu itu pun kalau dengar sendiri pun sedih juga lah, bukan?"
PRINSIP HABSAH HASSAN KETIKA MENGHASILKAN SUATU KARYA SENI?
HABSAH HASSAN: "Pada saya, karya seni mesti dihasilkan dari cetusan rasa hati, ketulusan hati. Hanya yang dari hati, akan menyentuh hati. Itu prinsip saya. Satu lagi, saya fikir lirik ini tidak macam sajak. Macam sajak, kita ada pengikut yang tertentu sahaja. 'Niche followers'. Tapi lirik ini menjangkau semua orang. Kaya miskin, tua muda, luar bandar, tengah kota akan dengar lagu. Jadi saya kena memikirkan penceritaan saya tentulah yang luas. Maknanya semua orang boleh faham ataupun semua orang boleh terasa apa yang saya tulis, bukan?
PERBEZAAN LIRIK CINTA DAHULU DAN CINTA SEKARANG?
HABSAH HASSAN: "Saya selalu kata yang patah tak tumbuh, lagi, yang hilang tak berganti. Tapi sekarang patah hari ini, esok sudah ganti. Jadi saya rasa kesyahduan cinta itu mungkin tidak sebegitu mendalam, berbanding orang dahulu. Orang dahulu nak jatuh cinta susah, putus cinta pun susah. Tapi saya rasa sekarang senang orang jatuh cinta, putus cinta pun senang. Itu mungkin berbeza. Itu pandangan saya. Mungkin saya salah, tapi itulah pemerhatian saya melihat pada keadaan budak-budak sekarang.
AKHIR KATA, HARAPAN HABSAH HASSAN TERHADAP GENERASI BAHARU PENULIS SENI KATA LAGU?
HABSAH HASSAN: "Alhamdulillah, anak-anak sekarang lebih banyak kemudahan, lebih banyak pendedahan berbanding dengan kita. Dahulu zaman saya, kita hanya dengar radio, lepas itu ada TV. Sekarang ini dengan adanya telefon bimbit ini, macam-macam pendedahan. Satu dunia punya lagu kita boleh dengar, satu dunia punya cerita boleh kita ikuti. Maknanya sudah tidak ada kawalan.
"Jadi saya kata, budak-budak sekarang ini bakat ada, kesungguhan mungkin kurang kerana mudah segalanya bagi mereka. Tapi satunya, bila mudah datang, mudah pergi, bukan? Contohnya lagu sekarang memang meletup-letup, istilahnya meletup-letup, tapi dua, tiga bulan sahaja popular. Tak sampai setahun pun, lagu itu hilang. Jadi pandangan saya pada komposer dan penulis lirik baru ini, alang-alang dah ada bakat, buat bersungguh-sungguh. Kalau nak meninggalkan nama yang lama."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.