BERITA+ HTHT bersama Siti K: Dulu pemalu, kini pelakon, penghibur serba boleh
Meskipun sering tampil dengan watak komedi, Siti K telah membuktikan dirinya sebagai anak seni serba boleh yang dapat menghidupkan watak pelbagai genre di dalam dan luar negara.
Dalam mana-mana acara besar seperti Chingay dan Perbarisan Hari Kebangsaan, Siti K sering menghidupkan acara, membangkitkan semangat dan keghairahan penonton menerusi tenaga luar biasa yang amat terasa setiap kali beliau muncul sebagai hos.
Di tengah-tengah kesibukan latihan sebagai salah seorang pengacara NDP tahun ini, Siti K sempat meluangkan masa bersama Syawal Yusoff untuk berkongsi perjalanan seninya setakat ini dalam segmen Berita+ HTHT.
PERJALANAN SENI SITI K
SYAWAL: "Siti K, bila dan bagaimana mula berputik minat ke dalam bidang teater?"
SITI: "Waktu saya di sekolah menengah, sewaktu ada program perhimpunan sekolah, dalam 30 minit itu kadangkala ada kumpulan-kumpulan teater yang datang untuk membuat persembahan. Jadi, minat saya itu datang dari situ sebab saya macam kagum bagaimana pelakon-pelakon itu, dalam masa yang singkat, mempunyai tenaga yang sangat padu untuk menangkap perhatian kami, murid-murid yang nakal ini, yang bising, dengan menghantarkan satu mesej dengan penuh semangat dan kadang-kadang dengan unsur-unsur lucu."
SYAWAL: "Apa yang anda lakukan untuk capai impian dalam bidang ini?"
SITI: "Banyak yang saya lakukan kerana saya tidak dapat pendidikan seni secara formal. Maka itu, saya harus bekerja lebih keras, pergi sebanyak mungkin uji bakat yang ada. Harus bekerja keras lebih daripada teman-teman yang berpeluang untuk ke sekolah seni."
SYAWAL: "Dengar-dengar anda dulu seorang yang pemalu waktu sekolah?"
SITI: "Sebab itu saya ceburi bidang lakonan kerana dengan lakonan, saya diberikan watak. Dan sebagai Siti K, saya dapat bersembunyi di belakang watak itu. Jadi apa yang penonton lihat adalah watak di atas pentas dan Siti K sendiri orang tidak nampak. Jadi, dalam beberapa tahun itu, baru saya mula ada lebih keyakinan diri, lebih berani untuk mengacara sebagai diri saya sendiri. Jadi, orang tengok hasil kemuncak produk apa Siti K sekarang. Tetapi sebenarnya banyak kerja keras yang diperlukan untuk saya sampai ke tahap ini."
SYAWAL: "Pernah terasa yang anda tidak layak untuk berdiri di atas pentas?"
SITI: "Tentu sekali. Pada waktu-waktu saya bermula. Terus terang, kerana saya tidak lihat ramai pelakon Melayu seperti saya. Dan saya rasa mungkin kerana saiz badan saya, maka saya rasa tidak layak berada di pentas kerana saya fikir watak-watak yang diperlukan adalah yang orang mahu lihat di TV. Orang yang berkulit cerah, yang kurus, tinggi lampai, cantik. Tetapi itu semua dapat saya hapuskan semenjak saya masuk teater, kerana saya rasa di atas pentas, terus terang saya rasa bakat yang diberi keutamaan."
SYAWAL: "Siapa mentor anda?"
SITI: "Aidli Alin Mosbit. Sewaktu saya bermula, saya tidak dapat mencari mentor yang dapat memberikan motivasi atau seseorang yang seperti saya, seorang wanita Melayu yang berbadan besar. Pertama kali saya bertemu dengan Alin Mosbit dan melihat beliau berlakon di pentas, saya sangat kagum. Beliau sangat penuh dengan keyakinan diri. Sangat ceria orangnya dan suka menolong pelakon-pelakon yang baru seperti saya. Beliau menceritakan bahawa beliau memilih untuk bermula di pentas kerana di atas pentas itu, apa-apa watak pun boleh kita lakukan, tidak kira bagaimana saiz badan kita, warna kulit kita. Kita boleh jadi apa pun juga, sebab pentas itu macam ruang ajaib, suatu tempat yang apa-apa pun boleh berlaku. Kita boleh jadi apa-apa atau sesiapa pun!"
SYAWAL: "Anda banyak memberi motivasi kepada pelajar yang kurang cemerlang. Apa kepuasan yang anda dapat?"
SITI: "Kerana saya tidak mahu bakat yang ada pada anak-anak muda itu dibuang begitu sahaja, hanya mungkin kerana mereka fikir mereka tidak bijak secara akademik. Kerana saya bermula pun macam itu. Saya hanya berkelulusan ITE. Saya tidak berkemampuan untuk pergi ke sekolah seni. Pada waktu itu mahal dan mungkin ibu bapa saya rasa mungkin bidang seni itu minat sementara saya sahaja. Tetapi saya dapat yakinkan mereka bahawa itu kerjaya serius dan mereka memberi sokongan sepenuhnya.
"Mungkin anak-anak muda sekarang melalui apa yang saya lalui waktu itu dan saya ingin memberi mereka semangat dan dorongan untuk teruskan kerjaya ini. Kalau bakat ada, teruskan. Usaha, cari di mana-mana kursus atau sekolah drama yang ada. Kerana yang penting, dunia lakonan tidak bergantung pada akademik. Dengan bakat, kita juga perlu disiplin, perlu sikap yang baik."
PENGALAMAN TEATER SITI K
SYAWAL: "Pernah merasakan yang anda distereotaip untuk mainkan watak wanita Melayu seperti 'minah' dalam pementasan berjudul 'Meenah dan Cheenah'?"
SITI: "Tidak, dan saya tidak kisah kalau diberikan watak seperti itu. Kerana pada saya, watak-watak seperti itu memang wujud di dalam masyarakat kita. Tetapi juga, yang pentingnya, saya tidak memainkan watak itu sahaja. Dalam 'Meenah and Cheenah', selain memainkan watak Meenah yang bising itu, saya juga memainkan pelbagai jenis watak minah-minah yang lain. Minah-minah yang pendiam, minah-minah yang bijak dan sebagainya. Kerana pada saya, minah itu, yang perkataan ‘minah’ itu yang telah distereotaipkan. Dan pada saya, sekali-sekala saya tidak kisah memainkan watak itu kerana dalam kerjaya saya, saya puas dapat memainkan watak-watak yang lain.
SYAWAL: "Dalam banyak-banyak watak yang anda mainkan, yang mana paling membanggakan?
SITI: "Kalau saya pilih yang paling saya ingati, pada saya, watak saya sebagai Fatimah dalam monolog 'Bagaimana Kucing Menjadi Gemuk'. Tulisan dan arahan Zizi Azah. Waktu itu, kami baru juga berkecimpung dalam dunia teater dan kami bekerja keras bersama untuk menjayakan pementasan itu. Dari pementasan itu, saya dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Live Theatre Awards, dan Zizi juga sebagai Penulis Terbaik dalam Live Theatre Awards yang sama. Daripada situ, kami diberikan lebih banyak peluang dan kepercayaan untuk membawakan watak-watak lain sebagai pelakon."
SYAWAL: "Watak mana yang anda nanti-nantikan?"
SITI: "Ini mungkin kontroversial. Dua tahun lepas, saya dicabar untuk memainkan watak yang suka pada jenis sendiri. Dan saya mengambil cabaran itu. Saya memberikan sepenuhnya. Saya gunting rambut saya pendek untuk kelihatan sebagai seorang lelaki kerana watak itu, dia sebenarnya percaya bahawa kehidupannya, dirinya, nalurinya adalah lelaki. Sangat mencabar dan tidak akan saya lupakan kerana saya juga dapat berwawancara dengan orang-orang seperti itu yang mengharungi kesusahan kerana susah untuk orang faham apa yang mereka lalui."
SYAWAL: "Anda terkenal dengan perwatakan yang ceria. Tetapi siapa Siti K yang sebenarnya?"
SITI: "Susah untuk percayai tetapi waktu saya sudah selesai dengan pementasan, saya sebenarnya lebih suka bersendirian kerana saya banyak berfikir. Sebab itu saya pun kadang-kadang tidur lambat kerana saya sangat fokus kepada kerja saya. Waktu saya pulang pun nanti saya suka berseorangan kerana saya ingin fikirkan apa yang baru berlaku, apa yang saya boleh perbaiki."
RANCANGAN MASA DEPAN
SYAWAL: "Siti Khalijah Zainal, pernah tidak, idamkan untuk ke Broadway atau West End?"
SITI: "Tidak pernah ikuti sesi uji bakat untuk pementasan-pementasan di West End mahupun Broadway, tetapi monolog yang saya lakonkan berjudul 'Best Of' oleh The Necessary Stage telah ke New York pada tahun 2015. Pementasannya selama seminggu sahaja. Alhamdulillah dapat sokongan yang baik. Tetapi saya sambung penginapan saya di sana kerana ingin membuat kajian. Saya dapat tahu bahawa misalnya jika anda diberikan watak utama dalam sebuah pementasan gah di Broadway, pementasan yang berjalan selama tiga hingga enam bulan dan anda dapat sorakan hebat; tetapi itu tidak menjamin anda akan dapat watak seterusnya dalam pementasan selanjutnya, dalam apa-apa rancangan atau pertunjukan pun. Selesai pementasan itu, anda harus kembali menjadi pelayan, pulang kepada kerja pejabat anda atau bekerja sebagai jurujual. Itu realitinya. Dan oleh kerana New York dan London orang lihat sebagai pentas dunia, jadi kalau kita sudah ke sana, kita sudah berjaya. Oleh itu, semua orang dari merata dunia juga kelam kabut untuk ke sana. Jadi, pada saya, peluang itu ada, tetapi agak sukar kerana semua orang mencuba nasib. Betapa bersyukurnya saya dapat berlakon secara sepenuh masa di Singapura. Kerana di sini, kita ada banyak lagi isu-isu yang perlu dikupas. Dan kalau boleh, pementasan itu yang ingin saya tonjolkan dan bawa ke sana."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.