Skip to main content

Hiburan

BERITA+ HTHT: ‘Angkat’ bukan sekadar lagu – Mimifly kongsi inspirasi dan perjalanan seni

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Koreografi bahasa isyarat dalam muzik video lagu 'Angkat' penyanyi Mimifly mencipta fenomena di media sosial.

Di sebalik usaha melestarikan peribahasa dan budaya Melayu bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu terdapat banyak kisah peribadi yang terselindung.

Syawal Yusoff membongkar rahsia dan inspirasi karya muzik Mimifly dalam BERITA+ HTHT.


BERITA+ HTHT: MIMIFLY - VIDEO MUZIK: VIDEO MUZIK CAPAI 1J TONTONAN DALAM 2 MINGGU

SYAWAL: "Shamimi Amalina Norisham atau Mimifly, selamat berjumpa dalam Berita+ HTHT. Soalan pertama tentunya tentang lagu 'Angkat' yang meletup-letup dengan 2.5 juta tontonan setakat ini."

MIMIFLY: "Mimi rasa rezeki lagu itu kita tidak tahu. Lagu itu bercerita tentang pengalaman Mimi berhadapan dengan orang yang cuba hendak jatuhkan karakter dan reputasi Mimi. Ia menyuntik semangat Mimi untuk bangkit dan menjadi lebih tegas. Untuk jangan biarkan orang jatuhkan kita atau biarkan pendapat orang lain merubah persepsi kita terhadap diri sendiri."
Mimifly sewaktu wawancara secara langsung di konti Warna 942. (Gambar: Roslinda Rahmat)
INSPIRASI SERTAKAN BAHASA ISYARAT DALAM VIDEO MUZIK 'ANGKAT'

SYAWAL: "Apa inspirasi di sebalik keputusan Mimi untuk sertakan bahasa isyarat dalam video muzik 'Angkat'?"

MIMIFLY: "Mimi seorang guru kelas yoga dan pada satu hari itu, pelajar-pelajar Mimi berlatih bahasa isyarat. 'Kau orang buat apa ini?' 'Oh kami ada ujian bahasa isyarat sekejap lagi,' jawab mereka. Mimi pula memang sedang dalam proses merangka video muzik 'Angkat'. 'Wauuu, ini koreografi ini!' Lalu, Mimi jumpa cikgu bahasa isyarat itu yang mengajar Mimi selama sejam, berdasarkan lirik lagu 'Angkat'.

'Dah terhantuk baru tengadah. Cubalah beringat.
Sekarang nasi dah jadi bubur. Cubalah beringat.
Kau telefon aku tak angkat. Ingat jangan tak ingat'.

"Alhamdulillah, semua suka buat bahasa isyarat itu di TikTok, di Instagram.. Seronok tenguk."
‘Angkat’ bukan sekadar lagu sahaja. (Gambar: Roslinda Rahmat)
PERIBAHASA DALAM SENIKATA, PAPARKAN PERADABAN ALAM MELAYU

SYAWAL: "Saya dan 2.5 juta orang sekarang sudah tahu akan peribahasa itu. Bagaimana perasaan Mimi dengan sambutan luar biasa itu?"

MIMIFLY : "Seronok. Puas. Mimi selalu mengimpikan untuk menghasilkan sesuatu karya itu sepenuh hati tanpa halangan atau campur tangan sesiapa. Mimi rasa bila Mimi dapat kebebasan untuk berkarya macam itu, kreativiti Mimi sampai ke satu tahap yang lebih tinggi. Dan kepuasan maksimum Mimi rasakan. Mimi tidak kisah pasal validasi orang lain. Mimi hendak yang terbaik, Mimi mahu lagu itu diangkat dari segi koreografinya, dari segi tempatnya, visualnya, bajunya. Semua dipilih berdasarkan apa yang Mimi suka, bukan apa yang orang lain suka."

SYAWAL: "Ada reaksi daripada pertubuhan kurang pendengaran apabila video muzik itu terbit?"

MIMIFLY: "Yang paling manis, ada satu DM ringkas. 'Saya pekak...Saya faham.' Itu saja. Seronoknya rasa, sebab dia rasa dekat dengan kita. Mimi memang tahu ada sekelompok khalayak yang tidak boleh menghargai hasil karya Mimi, hanya kerana mereka OKU (Orang Kurang Upaya) pendengaran. Jadi Mimi buat bahasa isyarat itu dengan harapan Mimi boleh mendekati kelompok itu. Mimi nak agar tidak ada batasan dalam berkomunikasi dengan orang OKU pendengaran. Mama Mimi pun seorang OKU.

"Mama Mimi dilahirkan tidak boleh berjalan. Tetapi beliau juga seorang tokoh OKU yang sampai ke hari ini masih lagi menjaga kebajikan orang-orang OKU buta, pekak dan bisu. Jadi hanyalah tepat kalau Mimi sebagai anak OKU, membawakan bahasa isyarat. Dan Mimi sangat-sangat gembira bila penerimaan pun bagus.

"Tetapi tentunya ada sahaja orang yang salah erti niat Mimi itu, bukan? Namun itu bukannya tanggungjawab Mimi yang bukan di sini untuk puaskan hati sesiapa. Mimi cuma nak berkarya."

SYAWAL: "Lagu 'Angkat' itu juga mengambil sampel daripada lagu 'Angkat Kaki' oleh Sheeda, lagu dangdut yang 'hit' pada satu masa dahulu. Kenapa penting untuk Mimi gabungkan budaya Melayu di dalam karya seni Mimi?"

MIMIFLY: "Setelah empat tahun menyepi, Mimi rasa bila keluar lagu baharu, hanya lagu baharu sahaja tidak cukup tepat. Mimi lebih memilih lagu yang boleh memberi orang rasa nostalgik dan akrab supaya mereka rasa dekat dengan lagu itu."

SYAWAL: "Kak Sheeda ada beri komen?"

MIMIFLY: "Ya, Kak Sheeda sangat menyokong dan sangat-sangat berterima kasih juga. Beliau komen yang lagu itu bagus. Bukan mudah untuk menghasilkan lagu 'Angkat' itu kerana Abang Iwan, komposer asal lagu itu, memang mementingkan hasil karya. Kalau beliau tidak luluskan, Mimi tidak boleh keluarkan 'single' itu. Jadi Mimi kena ambil risiko dahulu, siapkan sampai habis, lepas itu beri beliau dengar, kemudian tunggu keputusan. Jadi bila beliau pentingkan karya sebegitu, beliau menyuntik semangat Mimi untuk betul-betul berkarya. Dan bila beliau kata 'Ok lagu itu baik,' Mimi lagi, lah semangat nak buat video muzik."

SYAWAL: "Ada perancangan untuk mungkin buat satu versi lagu 'Angkat' dengan Kak Sheeda?"

MIMIFLY: "Mungkin kalau buat persembahan 'Live', ya."

SYAWAL: Ataupun macam 'remix', versi 'remix'?

MIMIFLY: "InsyaAllah. Tetapi Mimi sudah merancang apa yang akan Mimi buat sepanjang tahun 2025. Kalau ada malam anugerah ke yang boleh gabungkan Mimi dengan Kak Sheeda, kenapa tidak?"

SYAWAL: "Mungkin buat di Singapura?"

MIMIFLY: "Ya, buat di Singapura. Bawa dua-dua. Boleh kita teroka Singapura lagi."
Mimifly ketika diwawancara BERITA Mediacorp. (Gambar: Roslinda Rahmat)
KUMPUL PENGALAMAN 16 TAHUN UNTUK HASILKAN LAGU 'SIGNATURE'

SYAWAL: "Mimi, 16 tahun masa yang anda ambil untuk keluarkan lagu yang boleh digelar lagu 'Signature' anda. Bagaimana pengalaman Mimi sepanjang 16 tahun itu membantu?

MIMIFLY : "Mimi tidak takut buat silap dan Mimi tidak takut ambil risiko. Dan Mimi tidak takut untuk kata 'tidak', dan Mimi tidak takut untuk dengar kata hati. Walaupun kadang-kadang kita tidak tetap hati. Tetapi bagi Mimi, perjalanan hidup memang macam itu.
Itulah percaturan hidup, bukan? Kita sentiasa ada pilihan. Adakah nak pilih untuk bersedih? Adakah pilih nak marah? Adakah pilih untuk semangat? Adakah pilih untuk membenci? Apa jua kesusahan, kepayahan dan kasih sayang yang pernah Mimi alami sepanjang hidup, membantu.

"Mimi seorang penulis. Mimi perlukan pengalaman.
Kalau tidak, cerita Mimi hanyalah kosong, macam tong kosong. Bunyi sahaja kuat tetapi tidak ada isi. Mimi perlukan pengalaman hidup, patah hati, putus cinta, putus persahabatan, kesilapan, silap buat pilihan... untuk Mimi jadikan karya. Pengalaman yang membentuk Mimi."

'MIMI TIDAK PERNAH DIDUKUNG IBU'

SYAWAL: "Kalau kita lihat video muzik Mimi sebelum ini iaitu 'Hujan', Mimi tampilkan elemen kesedaran tentang kesihatan mental. Sejauh manakah pengalaman peribadi mempengaruhi muzik yang Mimi cipta?"

MIMIFLY: "Sebagai seorang anak kepada OKU, perjalanan hidup Mimi sangat berbeza daripada orang lain. Mimi tidak pernah didukung oleh mama Mimi sendiri. Mimi harus berdikari dari kecil. Mimi tidak boleh susahkan mama. Daripada kecil sudah dilatih untuk menjaga mama, sebab mama OKU, kan? Jadi dari situ, Mimi matang awal. Itu semua yang membuat Mimi empati pada diri sendiri. Barulah Mimi boleh merasa empati kepada orang lain juga. Sebab itu Mimi buat podcast, tulis lirik yang membangkitkan semangat, kerana Mimi nak jadi pembangkit semangat dalam karya Mimi."

SYAWAL: "Tersentuh tadi bila Mimi kongsi yang Mimi tidak pernah didukung oleh ibu sendiri. Tidak pernah kami bayangkan pengalaman itu dialami seorang anak."

MIMIFLY: "Ya. Kehidupan kami tidak sama dengan orang lain. Kami dilatih untuk jaga sesama kita. Mama seorang ibu tunggal yang perlu keluar bekerja. Sewaktu membesar, Mimi macam memberontak juga. Mimi degil. Tetapi mama cakap, perangai degil itu sama macam mama."

TIADA TERTARIK KEPADA HIBURAN KOSONG, IBU SUMBER INSPIRASI

SYAWAL: "Walaupun hidup Mimi penuh dengan cabaran, tetapi lihatlah Mimi sekarang - seorang yang berjaya. Mama Mimi pasti berbangga."

MIMIFLY: "Ya, mama Mimi adalah kawan baik Mimi. Semenjak COVID, apabila Mimi mula kenal mama Mimi dan mama pun mula kenal Mimi macam mana, perhubungan itu jadi lebih erat. Kami sekeluarga sangat-sangat rapat, alhamdulillah."

SYAWAL: "Lagu-lagu anda kebanyakannya sarat dengan pesanan. Apakah menjadi tanggungjawab Mimi untuk pastikan lagu itu ada pengajarannya? Bukankah lebih senang kalau kita tulis lagu yang setakat hiburan kosong sahaja?"

MIMIFLY: "Tidak ada istilah hiburan kosong bagi Mimi.
Mimi suka yang sarat berisi. Mimi sangat pentingkan apa yang Mimi rasa dalam penghasilan karya Mimi sebab itulah Mimi yang sebenar. Mimi mahu jadi diri sendiri. Walaupun orang cakap, oh, 'Rihanna Malaysia'... Tetapi Mimi tidak setuju. Bagi Mimi, Mimifly perlukan lirik yang membangkitkan, yang memperkasa, yang tidak takut jadi diri sendiri, tidak takut untuk marah, tidak takut untuk menangis... Dia wanita kuat. Macam mama.

SYAWAL: "Mimi serba boleh. Menyanyi, tulis lagu, menari, mereka tari dan pernah berlakon juga."

MIMIFLY: "Sebab Mimi anak mama. Mama Mimi memang semua benda dia buat. Orang selalu cakap, 'Jangan buatlah. Tidak payahlah kahwin, tidak payahlah sambung belajar, sebab dia OKU. Dahulu mana ada laluan tanpa hadangan di universiti? Mama nak sangat masuk universiti. Mama telefon kementerian pelajaran hari-hari. Mama tidak puas hati kenapa kawan dia yang keputusan biasa sahaja sedangkan keputusan mama lebih tinggi – tetapi kawan mama itu dapat masuk universiti, sedangkan mama tidak dapat? Semua alasan kata 'Sebab mama berkerusi roda. Tidak ada akses.' Sampai akhirnya mama belajar di Universiti Chicago dan bekerja dengan Oprah Winfrey!"

SYAWAL: "Rancangan untuk tahun 2025?"

MIMIFLY: "Mimi sudah dedikasikan sepanjang tahun untuk berkarya, keluar masuk studio, hasilkan sebanyak lagu yang boleh. Mulanya dengan 'Angkat' - 'single' pertama. InsyaAllah karya-karya lain akan menyusul. Yang paling dekat adalah lagu raya. InsyaAllah akan menemui anda. Sangat teruja dengan lagu raya saya. Tidak sabar nak buat video muziknya."

SYAWAL: "Soalan terakhir, sebagai seorang figura yang memberi impak dalam industri muzik Melayu, apa nasihat Mimi kepada artis-artis baharu?

MIMIFLY: "Jangan takut ambil risiko dan jangan takut buat silap sebab dari kesilapanlah kita belajar. Silap ini, perbaiki. Orang akan menghakimi usaha kita, tetapi bukan tanggungjawab kita, apa orang fikir pasal kita.
Jalan terus! Dan raikan kesilapan yang kita lakukan. Kenapa tidak? Raikanlah, sebab kita tahu kesilapan itu akan buat kita lebih bagus. Mimi selalu gelakkan kesilapan diri sendiri. Bagi Mimi, itu cara Mimi maju.

SYAWAL: Nasihat yang paling bermakna dari Mimifly dalam BERITA+ HTHT.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita