Skip to main content

Hiburan

BERITA+ HTHT AMENG SPRING: Pengalaman hitam mendewasakan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Banyak pengalaman dan pengajaran sebenar yang dilalui golongan selebriti yang pastinya dapat kita jadikan iktibar.

Kumpulan popular yang ditubuhkan sejak 1990 ini dikenali menerusi lagu-lagu Hit - Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, Sejujur Manakah Kata-Kata, Bourgenvilla, Butakah Cinta dan banyak lagi.

Vokalisnya kini bergerak solo dan masih diminati tua dan muda. Beliau juga meluaskan peranannya kini sebagai pelakon dan pakar motivasi..

Kita selami perkongsian Ameng yang melonjak namanya bersama kumpulan Spring dalam Berita+ HTHT - Hati ke Hati!

APA YANG MELONJAKKAN NAMA SPRING?

SYAWAL: "Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng Spring. Selamat datang ke Berita+ HTHT. Soalan pertama saya : nama kumpulan Spring memainkan peranan penting untuk membentuk dunia muzik rock Malaysia pada 1990-an. Jadi bagaimanakah mungkin nikmat kejayaan yang anda rasakan pada waktu itu?"

AMENG: "Spring bermula tahun 1990, mempunyai 15 album. Bukan 15 single tau. 15 album. Satu album, 10 lagu dan Spring juga mempunyai lima koleksi Album Terbaik. Jadi keseluruhannya mungkin ada dalam 160 lagu yang kita pernah rakam. Dan Spring pernah menang Bintang Popular Malaysia, Anugerah Bintang Popular Penyanyi Berkumpulan Malaysia pada tahun 1994. Dan kami juga pernah mewakili Malaysia untuk Pertandingan Music Festival Asia di Shanghai. Dan konsert di Singapura Spring untuk album pertama pada tahun 1991 di Jurong - Taman Burung Jurong."

SYAWAL: "Sambutannya bagaimana?"

AMENG: "Masa itu kita popular dengan lagu Sejiwa. Dan untuk kali kedua bila lagu Sampai Hati dah meletup, kita buat lagi sekali di Pulau Sentosa. Bermula era kumpulan Spring ini pada zaman kegemilangannya."
Related article image
Syawal Yusoff bersama Ameng Spring dalam Berita+ HTHT, sewaktu beliau menjayakan Konsert Hitster 2025 anjuran Muse+ (Gambar: Berita Mediacorp)
SYAWAL: "Tapi tidakkah semua kejayaan yang dikecapi ini cukup baik untuk kekalkan anda di landasan yang betul? Di mana silapnya?"

AMENG: "Kita tengok Scorpion masih lagi utuh. Sebab kesefahaman itu ada dekat situ. Tapi di Malaysia ini sebenarnya kita tak boleh jadikan muzik ini sepenuh masa. Kita terpaksa cari alternatif lain untuk menyara hidup. Meniaga, jual produk. Jadi apabila sudah bercampur-aduk kerjaya dalam hidup kita, bila hilang fokus terhadap sesuatu, itu menyebabkan 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'."

SYAWAL: "Sebagai manusia, kita tidak boleh lari dari membuat kesilapan. Apa pengajaran yang boleh anda kongsi, lebih-lebih lagi kepada para pemuzik yang lebih muda sekarang?"

AMENG: "Saya pernah terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah. Sehingga menyebabkan saya dipenjara, selama 8 tahun dan dihukum dengan sebatan rotan sebanyak 10 sebatan. Dan ketika itu saya rasa mungkin dunia saya dah habis masa itu. Alhamdulillah saya masih lagi dapat peluang kedua. Selepas keluar penjara, saya tengok penerimaan peminat masih ada, permintaan untuk menyanyi masih dapat lagi. Jadi daripada situ, semangat saya kembali naik dan Alhamdulillah, sehingga kini saya masih lagi boleh menyanyi."
Related article image
Pengalaman telah mendewasakan vokalis kumpulan Spring, Ameng. (Gambar: Berita Mediacorp)
CIPTA SEJARAH: RAKAM ALBUM KEINSAFAN SEPENUHNYA DARI DALAM PENJARA

SYAWAL: "Alhamdulillah, anda bukan sahaja berbakat menyanyi tapi juga pandai mengaji, khatam Quran semasa dalam tahanan, sebagainya kan?"

AMENG: "Sebenarnya untuk album-album kerohanian, saya dah buat satu album. Ketika itu saya berada dalam tahanan penjara. Albumnya berjudul Jalan Pulang. Berisi enam lagu keinsafan. Saya memang cipta dalam penjara ketika kita duduk di dalam sel, ketika kita menghadapi kebuntuan emosi, gangguan emosi masa itu datang ilham untuk buat lagu. Jadi saya tulis lagu dan diberi peluang oleh kerajaan Malaysia untuk rakamkan lagu itu lebih awal. Sebenarnya lagu itu saya rancang nak simpan. Apabila keluar penjara, saya nak rakam. Tetapi memandangkan dalam penjara ada CCTV - kita mandi CCTV, tidur CCTV makan CCTV memang tak ada privasi langsung dan apa sahaja yang kita buat. Pihak penjara akan dapat tahu. Jadi mungkin dia tengok saya tulis lagu itu, dia tanya,

'Apa yang kau buat selalu kat malam-malam aku tengok kau menulis je kan?'
'Saya tulis lagu, Encik'.
'Kau tulis lagu? Nanti aku buat permintaan dekat kerajaan suruh benarkan rakaman di dalam penjara.'

"Alhamdulillah diluluskan oleh KDN - Kementerian Dalam Negeri Malaysia untuk rakam enam lagu itu dalam penjara. Dan memang kasi dia bawa alat-alat daripada luar, kita buat satu set studio dalam penjara, saya rakam di situ. Penerbitnya adalah komposer Lan Laga."

SYAWAL: "Wah, jadi kirakan ini pertama kali dalam sejarah rakaman - studio rakaman di dalam penjara?"

AMENG: "Betul! Kalau luar negara, kumpulan Metallica pernah rekod dalam penjara. Di Asia tak pernah lagi. Dan saya di antara artis pertama yang buat 100% rakaman dari dalam penjara. Dan video muziknya pun kita syuting dalam penjara, menggunakan banduan-banduan yang ada kat dalam."
 
Related article image
Wan Aminuddin Wan Ismail, atau Ameng Spring berkongsi kisah kehidupannya dari hati ke hati. (Gambar: Berita Mediacorp)
BANGKIT SEMULA SELEPAS DIPENJARA, KINI FOKUS MOTIVASI & KEHIDUPAN LEBIH BERMAKNA

AMENG: "Semasa saya di dalam tahanan sebenarnya sudah banyak tawaran menanti."

SYAWAL: "Contohnya?"

AMENG: "Contohnya, rakaman album baru konsert program TV. Lepas itu program-program untuk motivasi bagi anak-anak muda. Satu harapan dan satu keyakinan untuk saya kembali kepada industri. Nak putihkan balik nama kita itu memang agak susah lah. Namun apabila kita cuba berubah, mungkin ada satu hikmah. Apa yang saya dah kerugian itu seolah-olah dia datang balik. Pada awalnya, orang tulis dekat surat khabar yang saya 'Artis najis dadah'! Memang satu penghinaan.

"Tapi apabila orang tengok kita dah macam insaf, macam cuba nak membaiki diri, dia mula tulis benda-benda yang positif sahaja. Sehinggakan saya keluar daripada penjara itu saya ingatkan saya keseorangan. Rupanya ramai peminat tunggu dekat pintu penjara. Alhamdulillah sekarang saya bukan menjadi seorang penyanyi sahaja. Saya juga banyak membuat program-program motivasi di Malaysia berkenaan masalah jenayah dan masalah penggunan dadah, dan masalah kesedaran hukuman yang kita dapat kalau kita melakukan satu-satu jenayah."

SYAWAL: "Anda juga mendukung kesihatan mental dan pertumbuhan peribadi?"

AMENG: "Sebenarnya apa yang terjadi sebagai satu pengajaran untuk kita menjadi lebih matang lagi. Kekadang ada setengah orang ini apabila dia tidak kena, dia tidak sedar. 'Apabila terhantuk baru nak mengadah'. Kalau kita dengar pepatah kan? Jadi itu adalah satu pembelajaran yang sangat besar dalam hidup saya, di mana saya sekarang boleh dikatakan lebih mengenal kehidupan sebenar lah. Kehidupan sebenar, erti kebebasan, nilai satu-satu perhubungan keluarga kan? Dan kita boleh bezakan mana lawan, mana kawan, mana sahabat, mana kawan ketawa, mana kawan menangis, kita dapat bezakan. Lepas itu kita dah tahu nilai sebenar anugerah Tuhan kepada kita.

"Jadi itu yang menyebabkan sekarang ini saya memang terlalu berhati-hati dalam kehidupan. Semoga saya tidak terjerumus ataupun tersilap langkah lagi kepada benda-benda yang mengarut. Benda-benda yang membazir, yang membuang duit, yang buang masa kita, yang boleh merosakkan masa depan kita lah. Jadi secara tak langsung benda itu dapat memberi satu impak yang sangat sempurna dalam hidup kita sekarang, di mana hidup saya sekarang lebih tenang. Lepas itu rezeki bertambah dan orang mula mempercayai, orang mula hormati kita."

SYAWAL: "Penyesalan terbesar yang sampai sekarang tak dapat anda lupakan?"

AMENG: "Antara kerugian yang paling besar adalah harta. Royalti Spring ini berjuta tau? Berjuta Ringgit! Sebab satu album kita boleh jual sampai 500,000 unit - satu CD itu. Dan satu keping CD itu RM5 royaltinya. Kalau 500,000 unit - RM5 x 500,000 = RM25 juta!"

SYAWAL: "Banyak!"

AMENG: "Tapi itu satu album. Kalau 15 album?"

SYAWAL: "Dah berjuta-juta Ringgit Malaysia!"

AMENG: "Berjuta juta. Dan apabila kita terlibat dengan masalah sosial ini, duit itu boleh dikatakan macam tidak berkat. Bermacam-macam masalah yang mengganggu hidup kita. Hilang semua harta! Keluar penjara itu, saya bermula dengan modal hanya RM800. Alhamdulillah, saya boleh bina hidup baru, boleh berkeluarga balik dengan anak-anak saya pun. Alhamdulillah."

FORMULA SEBENAR AMENG SPRING BERTAHAN?

SYAWAL: "Pada 2001, Spring bubar dan kemudian abang pergi solo."

AMENG: "Dulu sebenarnya saya adalah penyanyi Heavy Metal. Saya suka simpan rambut panjang, pakai seluar koyak yang ada pelekat-pelekat. Kalau menyanyi pun menjerit-jerit. Yang sebenarnya menjerit itu, kita nak jadi 'rockers' masa itu. Tapi masa itu tengah popular lagu Sejati, Isabella dan Suci Dalam Debu. Jadi pengaruh daripada situ menyebabkan Sony Music ini suruh kita rakam lagu-lagu balada lah.

"Namun begitu, Alhamdulillah lagu balada yang saya buat itu boleh dijadikan lagu yang senang malar segar. Kalau kita buat lagu Heavy Metal ini, dia belum tentu malar segar. Dan Alhamdulillah daripada setiap album yang saya rakam itu memang mengandungi satu ataupun dua lagu yang boleh dikatakan lagu-lagu lagu Hit, lah dan malar segar - seperti Bourgenvilla, Sejiwa, Sampai Hati, Butakah Cinta, Cempaka di Rembulan, Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, Kerana Budi Ku Jatuh hati. Banyak!"

KENAPA DARI NAMA ASAL 'ANTHEM' JADI 'SPRING'?

SYAWAL: "Nama kumpulan Spring ini siapa yang bagi?"

AMENG: "Pada asalnya nama lain. Kita nama Anthem. Jadi Spring ini kerana kerajaan Malaysia masa itu tidak membenarkan penyanyi menggunakan nama Inggeris. Kalau sebelum itu Wings, Search, nama Inggeris kan? May, lepas itu Sweet September, Black Dog Bone. Kan masa itu kan nama Inggeris. Tapi apabila masa itu ada seorang menteri yang baru, yang mengawal kementerian penerangan. Dia kata selepas bermula pemerintahannya, dia tak benarkan artis-artis menggunakan nama Inggeris. Dia suruh gunakan nama Melayu. Kalau kita guna nama Inggeris, lagu kita takkan disiarkan di TV dan juga di radio. Akan digam. Itu yang menyebabkan ramai artis itu bermula dengan lagu ini. Nama kumpulan Melayu Damasutra, Laksamana, Olan kan masa itu? Dan Spring."

SYAWAL: "Ini dia punya degilnya?".

AMENG: "Kita masih lagi nak mengekalkan Inggeris itu. Jadi kita nak cari satu nama Inggeris pun dia Melayu pun dia jadi Spring lah."

SYAWAL: "Jadi sepanjang 35 tahun ini semuanya anda dah buat. Menyanyi : dah buat 15 album, dah bergabung dengan Slam - album; buat konsert Hitster; berlakon pun sudah; dah jadi pakar motivasi... Ada ura-ura tak nak buat 'reunion' dengan kumpulan Spring?"

AMENG: "Nak bergabung ini satu masalah. Saya pernah cuba. Saya pernah buat tiga pementasan dengan Spring. Tapi saya rasa lebih senang kalau saya fokus apa yang ada sekarang. Sebenarnya saya banyak mendapat undangan. Kalau di Malaysia, saya selalu buat undangan majlis-majlis – peribadi, korporat. Sebab lagu-lagu saya lagu-lagu yang berentak perlahan, macam yang mendayu-dayu, yang memang sesuai untuk semua majlis-majlis Raya sesuai, majlis orang kahwin sesuai, majlis hari jadi sesuai, majlis orang pencen pun sesuai. Jadi itu lah - orang tua pun minat. Budak-budak remaja pun minat lagu Sejiwa."

AMENG: "Tapi selalunya apabila budak-budak muda datang, sebenarnya dia bukan kata dia terus minat dengan kita. Bukan. Dia terpengaruh daripada bapa dia. Pada asalnya ibu bapa dia yang minat kita. Dia selalu cerita bila dia datang kan,
'Bang, saya minat abang tau'.
'Eh macam mana kau boleh minat aku ini? Kau ini budak-budak lagi. Kau sepatutnya minat Sufian Suhaimi ke Haqiem Rusli ke kan? Hael Husaini ke?'
'Sebenarnya bang, ayah saya minat dengan abang. Bila dia masuk kereta, dia mesti buka lagu abang. Masa itu saya kecil-kecil lagi. Dulu kan masa itu kita pakai CD kan? Kat rumah mesti ayah karaoke lagu Spring. Daripada remaja kita dah didedahkan dengan lagu-lagu abang. Sehingga sekarang pun kita masih lagi minat.'

SYAWAL: "Mungkin anda boleh beri nafas baharu - bergabung dengan artis muda untuk lagu Sejiwa?"

AMENG: "Memang perancangan itu ada, lah untuk kita buat satu versi kombinasi nafas baru lah kan? Sebenarnya lagu-lagu lama ini diberi nafas baru boleh balik sebenarnya."

SYAWAL: "Kata-kata nasihat bagi mereka yang mungkin sedang melalui apa yang abang pernah lalui?"

AMENG: "Bagi mereka yang terlibat dengan masalah-masalah negatif, berhenti lah. Hentikan lah. Sebab benda itu mendatangkan bukan sahaga keburukan kepada kita. Keburukan pada orang sekeliling kita - keluarga kita, anak-anak kita, saudara-mara kita.

"Apabila saya terpalit dengan sejarah hitam, 50% peminat saya lari! Dan saya pernah jumpa seorang peminat - dia minta balik duit dia sebab dia dulu selalu beli CD saya. Sudah banyak duit dia habis beli CD, tengok konsert saya semua dulu-dulu sebelum kita masuk penjara.

'Saya beli CD itu duit saya, bang. Tiba-tiba duit yang saya beli CD itu, abang guna buat beli dadah!'

"Jadi, pada mereka yang terlibat dengan benda negatif ini bukan dadah sahaja lah; jenayah, lumba haram, benda-benda yang takde faedah - berhentilah. Sebab benda itu akan merugikan kita satu masa nanti. Dan pada mereka yang sedang murung - jangan! Selagi kita bernafas, jangan putus asa. Harapan itu tetap ada. Mungkin kita gagal di dunia. Tapi kita ada satu kehidupan lagi di akhirat. Jadi mungkin kita gagal di sini, tapi mungkin Tuhan sediakan kita di sana. Jadi, kita kena sentiasa berfikiran positif."
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita