Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

BERITA+ HTHT AISYAH AZIZ : Kini 'bebas', tenang dan percaya diri

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sepanjang 10 tahun penglibatannya dalam bidang muzik, Aisyah Aziz mengukir nama sebagai penyanyi bersuara lunak dengan imej yang seksi.

Namun, beliau kini tampil dengan imej sopan dan berhijab.

Beliau berkongsi bersama Syawal Yusoff tentang perjalanan seninya, pergelutan identiti yang dilalui dan juga hubungan dengan abangnya, Aliff Aziz dalam segmen BERITA+ HTHT.

SYAWAL: "Ramai artis Singapura yang ingin tembusi pasaran Malaysia. Ada tidak, tekanan daripada syarikat rakaman ketika itu yang mempengaruhi imej atau genre muzik yang anda cuba hasilkan?"
 
AISYAH: "Ada. Tentu sekali. Mungkin tidak hanya tentang penampilan, tetapi memang tentu sekali dari segi muzik, genre.. Waktu itu, terutama bagi jenama rakaman besar, mereka tentunya hendak 'buat duit'. Jadi, apa yang laris? Muzik pop laris. Jadi ayuh buat Aisyah nyanyi lagu macam ini, begini-begitu. Tetapi alhamdulillah, saya masih cinta dengan 'single' sulung saya, 'Mimpi'. Ia bak pembakar semangat."

SYAWAL: "Anda kemudiannya keluar daripada syarikat rakaman. Mengapa?"

AISYAH: "Seorang teman saya cakap, amat menarik untuk buat album sendiri daripada mula. Beliau memperkasa saya dengan menerbitkan album sendiri. 'Jangan benarkan sesiapa mengarah-arahkan andam,' katanya. Saya mengembara dan membawa diri selama sebulan. Mencari inspirasi. Kemudian saya pulang, buat EP pertama saya, EP 'Live'. Lalu menulis lagu-lagu saya."

SYAWAL: "Bergerak sendiri, mesti ada cabarannya?"

AISYAH: "Kurang kakitangan, sistem sokongan. Daripada segi kewangan pula, kalau dengan syarikat rakaman, tidak perlu fikir. Jumlah wang berapa ribu dolar untuk buat video muzik. Berapa ribu lagi, untuk penerbitan. Tetapi keajaiban terbitkan album sendiri, adalah kerana anda perlu kenal orang."
 
HIDAYAH BAWA KETENANGAN, UBAH IMEJ SEKSI

SYAWAL: "Jadi sebelum ini, anda berimej yang lebih ranggi dan seksi. Tetapi anda tiba-tiba berubah."

AISYAH: "Dari 2017 sehingga baru-baru ini, saya mendapat suatu pembebasan baharu. Macam, okay, saya tidak takut lagi. Saya sepatutnya berani. Seolah-olah saya tidak peduli kata orang. Saya akan pakai apa yang saya hendak. Dan ia menjadi semakin selesa. Sebab saya bermula dengan pakaian lebih konservatif, bukan? Aisyah yang dahulu, yang daripada Akademi Fantasia itu memang amat konservatif, seperti sekarang ini. Tetapi entah bagaimana, saya dibawa kepada dunia lain yang bebas dan liberal. Jadi saya minta sesuatu dan Allah terus memakbulkannya.

"Kalau dahulu, Aisyah yang pakai baju terdedah di belakang, dan apabila bersama kaum lelaki, lalu beberapa jejaka akan tundukkan pandangan, saya akan fikir, 'Kenapa dengan dia ini? Tidak mahu memandang atau melihat saya?' Apabila Aisyah berhijab, kaum lelaki lebih menghormati. Oh, dia tundukkan pandangannya. Tetapi dahulu saya tidak perasan.

PENGALAMAN DI TANAH SUCI

"Saya pergi ke Makkah, saya pakai niqab. Tiada orang tahu bagaimana rupa saya. Apabila kami buat sedekah, semua orang doakan kami, mereka tidak tahu pun macam mana rupa kita. Jadi sekarang, siapakah kita? Tanpa wajah, siapakah kita? Itu mengubah segalanya bagi saya. Alhamdulillah doa ibu saya terkabul.

"Saya bebas daripada bermacam (tekanan), saya tidak cukup kurus, saya bukan ini, saya bukan itu. Ada lebih banyak kelembutan dalam kesopanan."

SYAWAL: "Apakah mungkin yang mendorong perubahan ini?"
AISYAH: "Sewaktu COVID, kawan-kawan baik saya, (ajak) “Jom kita pergi kelas solat”. Lalu saya fikir, baiklah. Pergi kelas solat, dipenuhi sikap menghakimi. Apa dia cakap ini? Menjelang minggu kelapan, saya jatuh cinta dengan pembelajaran agama. Kemudian ibu saya (tanya) “Hendak pergi umrah tidak? Ada orang jemput kita pergi umrah.

"Kami dapat pergi sekeluarga. Jadi, dalam tempoh menjelang keberangkatan itu, saya buat 'detox' (bersihkan hati dan rohani). Saya tidak mahu datang kosong-kosong (tanpa melakukan persediaan). Jadi belajar lebih banyak perkara, habiskan lebih banyak masa, bermuhasabah diri. Alhamdulillah."

SYAWAL: "Apakah mungkin impak dari penghijrahan anda dalam seni hiburan aliran utama?"

AISYAH: "Terjejas, ia adalah perspektif, bukan? Apabila jenama yang pernah memanggil saya tidak lagi berbuat demikian, memang bukan rezeki saya. 'Aisyah, nanti sudah pakai tudung, macam mana hendak buat persembahan? Boleh saja. Ia adalah 'styling' semata-mata, bukan? Jadi kenapa saya perlu risau? Sesuatu yang baik akan datang. Sangat lucu.
 
"Saya banyak berfikir tentang kematian. Mengapa saya membuang masa dengan merasa tidak yakin diri atau mahu orang ini ingin saya, seperti mahu kerja itu atau mahu berada dalam jenama ini, mahu tubuh yang cantik, sedangkan saya boleh pergi pada bila-bila masa? Bagaimanakah saya boleh memberi inspirasi kepada orang di sekeliling saya? Saya ingin diingati kerana keaslian saya, yang merupakan sesuatu yang saya perjuangkan."

SYAWAL: "Adakah masih relevan lagu-lagu anda yang dulu itu dengan imej baharu?"

AISYAH: ""Mungkin ada satu dua yang masih relevan. Tetapi itu adalah tanda masa bagi saya. Lagu-lagu kami hanyalah tanda masa perjalanan kita, bukan? Jadi pastinya, lagu-lagu yang kita dengar sekarang berbeza." Itu singles yang diterbitkan label Aisyah yang dulu. akan susun semula,agar sesuai dengan 'vibe' saya sekarang."

SYAWAL: "Mungkin ada Mimpi versi Nasyid ke."

AISYAH: "Nasyid? Tidaklah!"
 
SKANDAL TERKINI ALIFF AZIZ

SYAWAL: "Sedang anda sesuaikan diri dengan imej terbaru ini, Timbul pulalah skandal yang melibatkan abang anda sendiri. Sejauh manakah ini menjejas anda dan keluarga?"

AISYAH: "Apabila orang itu asyik mengulangi kesilapannya, saya macam, tidak faham-faham lagi ke? Akan tetapi rasa marah ini siaa-sia kerana Allah belum ilhamkannya. Jadi tidak apa, saya akan menasihatinya sebanyak mungkin. Pada masa lalu, Aisyah keluar lagu baharu, nanti ada kes Abang, lalu saya akan jauhkan diri. Tidak akan berbual dengan sesiapa, tidak akan menjawab sebarang permintaan untuk wawancara. Saya tidak akan pergi berjumpa abang saya dan membantu dia atau bercakap dengannya. Saya akan hilangkan diri. Dalam dunia saya - penuh rasa marah. Semuanya tentang Saya! Saya! Saya! Sekarang, saya ingin membantu abang saya, ikhlas.

"Seseorang tiba-tiba mesej saya 'jangan putus asa dengan abang awak. Beliau seorang yang sudah lama saya tidak hubungi. Jadi saya katakan baik, tidak mengapa. saya akan membantunya".

SYAWAL: "Susah tidak hendak jadi adik Aliff Aziz?"

AISYAH: "ini ujian saya. Ini bukan hanya hanya ujian untuknya. Setiap yang berlaku, semua orang diuji. Saya harus terima. Kedua, lelaki ini tidak boleh dibiar hanyut dan sendirian, bukan?"
 
INGIN DIKENANG SEBAGAI ARTIS YANG AUTENTIK

SYAWAL: "Perancangan masa depan anda?"

AISYAH: "Saya akan hasilkan lebih banyak muzik. Ada unsur-unsur ketuhanan tetapi tidak begitu ketara. Teater, InsyaAllah. Mengajar Yoga juga. Macam mana boleh kita ajak semua muslimah untuk buat regangan otot? Ia akan tingkatkan tubuh kita untuk solat. Supaya, kita boleh beribadah dengan lebih mudah."

NAK PIKAT AISYAH AZIZ? INI SYARAT-SYARATNYA...

SYAWAL: "Ada perancangan tak untuk membina keluarga kah?"

AISYAH: "Apabila saya hijrah, orang semua ingat saya tunang atau hendak berkahwin. Tetapai ramai yang berhijrah masih lagi 'single'? Minta doa-doa saya mendapat jodoh yang baik."

SYAWAL: "Ciri-ciri pasangan bagaimana yang anda cari?"

AISYAH: "Tidak kasar. Penuh Kerohanian. Sayang pada ibunya. Suka pada kucing peliharaan. Kelakar. Dan mungkin dari luar industri kreatif ini, yang jauh daripada dunia glamour ini."
 
AISYAH AZIZ DALAM MASA 5 TAHUN AKAN DATANG

AISYAH: "Di mana saya lihat diri saya berada dalam bidang seni ini dalam tempoh lima tahun mendatang? Saya mengajar yoga sambil mendendangkan lagu buat pelajar-pelajar saya pada penghujung sesi itu. Jadi, sambil mereka berehat, saya menyanyi untuk mereka!

"Saya rasa InsyaAllah, saya akan lebih kreatif dalam pendekatan saya dalam bidang muzik. Mungkin boleh hasilkan suatu 'fusion' daripada yoga dengan muzik, dan pergerakan saya kesemuanya. Mungkin itu boleh mewujudkan suatu yang baharu, dan memanfaatkan diri kita."

SYAWAL: "Terima kasih Aisyah, kami semua doakan yang terbaik untuk kerjaya anda!"
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan