BERITA+ Hiburan seram: Genre ini semakin dimanfaatkan untuk selitkan ilmu dan tingkatkan kesedaran
SINGAPURA : Bermula dengan rancangan radio Misteri Jam 12 di stesen RIA897 yang turut ditayangkan di televisyen Suria… namun fenomena hiburan seram terus bercambah.
Ada yang merakamkan pengalaman seram peminat di YouTube.
Ada juga yang berkongsi pengalaman seram melalui podcast.
Apa yang mencengkam minat masyarakat Melayu terhadap hiburan seram?
Ada yang ditemui mengaku, "Kalau lepak, kita akan selalu berbual pasal cerita hantu".
Ada pula yang berkata, "Masyarakat Melayu masih bergelumang dengan benda-benda macam ini. Ada yang masih ada masalah dengan saka, ada orang yang masih hantar sihir."
Seorang lagi pula mendedahkan, "Keluarga pernah cakap, 'Pakai tangkal ke, pakai macam kertas-kertas yang ada tulis-tulisan' tetapi sekarang, dengan ilmu ini saya sedar yang benda-benda ini semua syirik dan tidak perlulah kita ikut lakukan".
Namun dari segi hiburan, para penonton kini mahukan lebih dari sekadar adegan yang mengerikan atau senario yang boleh mendirikan bulu roma.
HIBURAN SERAM DENGAN ILMU YANG DIKONGSI ASATIZAH
Di pementasan Santau Santai jilid ketiga yang dijayakan baru-baru ini (22 Sep 2023) misalnya, ia menyajikan bukan hiburan seram semata.
Jelas Penerbit Bersama Santau Santai, Zuhairi Mohd Idris, "Saya rasa ramai yang suka konsep macam ini. Ia, hiburan ada, ada ilmu, menambah ilmu pun ada dan saya rasa peminat-peminat atau penonton yang datang untuk persembahan kita ini memang salah satunya sebab mereka datang, sebab mereka hendak tenguk interaksi saya bersama Ustaz Fadhly.
Bagi seorang lagi Penerbit Bersama Santau Santai, Ustaz Fadhly Rosli, "Kita buat konsep yang lain. Itu yang orang macam 'Eh, macam ini pun boleh belajar agama dalam keadaan yang sangat santai sekali?' Dalam Santau Santai ini, selain ada persembahan teater, kita pun ada sesi soal-jawab. Maknanya, mungkin sesiapa yang ada pertanyaan tetapi hendak tanya dengan ustaz itu macam segan begitu, sebab kalau hendak bertanya, perlu pergi ke masjid. Jadi kita buat hiburan seperti ini, tanya pun boleh tanya, tidak ada masalah."
Mengangkat topik-topik menarik untuk kemudian dikupas, pementasan teater Santau Santai kali ini dihidupkan oleh pelakon-pelakon popular seperti Izyan Mellina, Al-Matin Yatim dan Mira Yahya.
"Yang kedua adalah Nasab atau saka. Alhamdulillah ramai orang yang sudah tahu tentang saka ini dan ramai juga yang Alhamdulillah sudah cuba untuk mencari perawat-perawat yang ada untuk menghilangkan saka keturunan yang ada.
"Yang ketiga adalah Minyak Dagu, topik yang jarang sekali orang bahaskan dan tidak ramai orang tahu tentang asal usulnya."
Antara penonton yang ditemui wartawan Roslinda Rahmat ialah Cik Marlisa Idrus yang berkongsi pandangan, "Ia ibarat sebuah acara persembahan di teater, maka orang ramai lebih selesa untuk menonton, sambil bersuka ria pada masa yang sama. Gelagat Zuhairi dan cara Ustaz Fadhly menjawab, bergurau, menjadikan Santau Santai menarik. Mereka tidak menghakimi penonton dan apabila penonton bertanya, mereka menjawab tanpa menghakimi soalan-soalan tersebut."
Seorang lagi penonton yang ditemui, Encik Mohd Fadhil Mohd Jalil juga amat berpuas hati, "Terbaik sekali! Memeranjatkan, yang tiba-tiba ada pocong keluar daripada tingkap ini semua. Kemudian diikuti sesi soal-jawab. Semua ini kira beri banyak pelajaran,"
Cik Halmidatulamaliah Mohd Jamil yang datang bersama rakan-rakannya pula mendedahkan, "Sebenarnya saya memang penakut. Jadi kalau sudah penakut, benda seram macam cerita hantu ke apa, memang saya tidak suka tengok. Jadi kalau dalam hiburan, ia sangat menyenangkan, jadi tak perlu takut sangat"
HIBURAN SERAM DI YOUTUBE MENANG VIDEO PALING POPULAR
Bagi meluaskan lagi jangkauan peminat 'horrortainment' ini, ada juga yang menerbitkan video seram di YouTube.
Hasil terbitan bukan sahaja dapat ditonton para pengguna platform itu dalam negara tetapi seluruh dunia.
Seperti yang dilakukan pasangan adik-beradik yang 'viral' di YouTube menerusi Cerita Hantu SG, Hafiz dan Shafie Aziz yang merakam hiburan seram dalam bentuk drama dan wayang gambar pula.
Semuanya berdasarkan kisah benar yang dikongsi peminat mereka.
Menurut Pengasas Bersama UXM, Cerita Hantu SG, Shafie Aziz, "Apabila kami pertama kali memuatnaikkan video kami ke YouTube, kami mendapat 100,000 penonton dalam masa tiga hari. Sekarang sudah hampir mencecah satu juta penonton tetapi video terhebat yang kami pernah muat naikkan adalah Cerita Hantu 'The Movie'. Videonya sudah lebih daripada 1.1 juta penonto dan kami tidak sabar hendak terbitkan Cerita Hantu 'The Movie Part 2' pula".
Meskipun diterbitkan dalam bahasa Melayu, ia disertakan dengan sarikata dalam bahasa Inggeris untuk menjangkau lebih ramai penonton dalam dan luar negara.
Sejak dua tahun lalu, setelah merakamkan empat siri Cerita Hantu SG dengan lapan episod bagi setiap siri, kini UXM menjelajah pula ke Malaysia untuk merakamkan siri kelima, atas permintaan dan undangan kolaborasi dengan pihak di seberang tambak.
"Cerita Hantu ini kadang-kadang ia mendatangkan satu ikatan kukuh dengan keluarga atau saudara-mara yang ramai, yang mereka boleh ramai-ramai tonton, ramai-ramai terkejut, ramai-ramai ketawa dan ada Ustaz Khai untuk datang dan beri nasihat kepada semua. "
"Sebenarnya Cerita Hantu ini bukan hanya untuk hiburan, tetapi kita boleh meraih dan mencungkil ilmu. Kalau kita hanya cakap tentang penceritaan agama, kemungkinan orang yang bukan dari latar belakang agama tidak akan datang, hadir tetapi bila selitkan secara tidak langsung - dalam hiburan itu ada ilmu - mungkin itulah batu loncatan untuk mempelajari lebih dalam tentang nilai-nilai yang baik."
HIBURAN SERAM MASIH ADA SKOP UNTUK DIKEMBANGKAN
Semangat ini juga yang mendorong pemenang video paling popular di YouTube tahun lalu (2022) untuk memperluas khidmatnya.
Shafie mendedahkan, "Kami hendak buka satu podcast dengan Ustaz Khai. Kami nak berkongsi lebih lanjut tentang masa kami buat rakaman, apa misteri yang terjadi atau apa gangguan yang telah berlaku. Ia berbeza daripada apa yang sudah ada. Saya pasti penonton mesti suka!"
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.