Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

BERITA+: "A-Go-Go Badang" Bangsawan dalam bentuk satira ilham Nadiputra

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA : Badang - tokoh yang hidup dalam mitos sejarah Melayu dikenali sebagai seorang hulubalang yang memiliki kuasa yang luar biasa hebat.

Cerita Badang mengandungi banyak kisah dan pengajaran yang berhubung kait dengan sejarah kesultanan Melayu purba.

Watak lagenda itu kini dihidupkan kembali dalam satu pementasan bangsawan dalam bentuk satira dan muzikal. Ia ilham ikon teater Melayu, Nadiputra.

Pementasan 'Bangsawan A-Go-Go Badang' berlatar belakangkan usaha sekumpulan anggota Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) yang mahu mementaskan bangsawan mengenai Badang.

Namun, kumpulan itu mahu dipentaskan dalam bentuk teater muzikal, dengan bahasa yang dicampur adukkan dengan bahasa Inggeris serta lagu-lagu A Go Go era 1960-an.

Menurut Nadiputra: "Saya selitkan unsur-unsur bahasa, unsur-unsur sindiran terhadap mereka yang leka atau memperlekehkan lagenda, pahlawan-pahlawan kita seperti Badang. Jadi itu semua mengingatkan atau memantapkan jati diri masyarakat Melayu terhadap apa yang kita warisi dalam bangsawan itu sendiri. Walaupun dalam bentuk jenaka."

Beliau menerangkan, "Sebab zaman berubah. Para remaja sekarang ataupun mereka di zaman ini hendak lihat sesuatu yang lain daripada apa yang pernah mereka lihat. Dan pada saya, ada mereka yang tidak pernah menonton bangsawan. Tetapi kalau kita bawa unsur bangsawan yang tidak ada perubahan, tidak ada peningkatan, mereka akan tinggalkan."
Andry Hrithik Mokhtar (paling kanan) dan Yusoff Maruwi. (Gambar: Roslinda Rahmad/BERITA Mediacorp)
Watak utama 'Bangsawan A-Go-Go Badang' dihidupkan oleh pelakon muda Andry Hrithik Mokhtar, 21 tahun, seorang anggota Perkhidmatan Negara.

"Saya memainkan watak yang bernama Andi yang sendiri terlibat dalam bangsawan di mana dia melakonkan watak Badang. Andi ini seorang yang berpegang teguh pada prinsip asas bangsawan dan tidak terima pembaharuan seperti penggunaan bahasa Inggeris yang dicampur-adukkan dalam skrip bangsawan itu. "

Pelawak veteran Yusoff Maruwi pula berlakon sebagai pengerusi MAEC yang mengubah jalan cerita klasik itu.

"Bangsawan tradisional seperti mana yang kita tahu ada raja, ada permaisuri, dayang-dayang, ada jin dan sebagainya. Tapi 'Bangsawan A-Go-Go Badang' ini tidak. Dalam pementasan ini, kita dalam latihan untuk mementaskan 'Bangsawan A-Go-Go Badang'. Jadi persembahannya semua dalam sudut latihan.

"Dalam cerita ini, saya sebagai pengerusi MAEC mengarang cerita Badang itu sendiri. Dan keunikan 'Bangsawan A-Go-Go Badang' ini saya puji penulisnya kerana mengarang dengan begitu unik sekali. Saya berkenankan kata-kata penulis itu sendiri yang begitu pedas, tajam dan berisi 'sindir-sindir sayang'."
Gloria Tan (kiri) mendapat bimbingan Nadiputra. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
TARIKAN BANGSAWAN KEPADA PELAKON BUKAN-MELAYU

Meskipun berbentuk satira, pementasan ini tetap menerapkan pengajaran tentang adab, bahasa dan lenggok Bangsawan.

Ini suatu pengalaman baru bagi pelakon undangan Gloria Tan.

"Kali pertama saya tonton persembahan Bangsawan, sudah agak lama dahulu. Sebelum itu saya tiada pengetahuan mahupun pengalaman langsung dengan Bangsawan. Jadi, saya terkejut, “Eh kenapa ni? Kenapa ada orang masuk panggung, nyanyi lagu ni? Eh, apa ini?," kata Gloria.

Menurut Gloria, susun-atur bangsawan yang menarik minatnya.

"Komuniti Bangsawan sebenarnya 'gerek'! Semangat gotong-royong dalam kumpulan bangsawan membuat saya 'ketagih'! Ia sukar dicari apa lagi dijumpai dalam komuniti-komuniti lain," tambah beliau.

Gloria sudah 13 tahun berkecimpung dalam industri Melayu. Minatnya bermula setelah beliau memilih untuk mempelajari teater Melayu sewaktu menuntut di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA).

Namun Gloria akui, walaupun suka pada bahasa Melayu dan lenggok Bangsawan, itulah juga yang paling mencabar keupayaannya.

"Lengguk bangsawan! Sebab susah hendak belajar lengguk dia. Ia cabaran besar. Nasib baik ada, apa yang saya maksudkan tentang gotong-royong, sebab ada ramai orang yang tolong saya!," seloroh beliau.
Kugiran warga emas jayakan segmen selingan ‘Extra Turn’. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Dalam teater bangsawan, muzik diselaraskan mengikut jalan cerita, sama ada muzik Melayu asli atau barat.

Encik Nadiputra berkongsi, "Inilah peluang terbaik yang saya gunakan bangsawan atau persembahan tradisional dan saya gabungkan dan sulamkan dengan sedikit corak teater moden dan masukkan unsur-unsur '60-an supaya pada saya, orang-orang '60-an itu sampai sekarang muziknya masih dapat dikekalkan.

"Sebab, zaman berubah, para remaja sekarang ataupun mereka di zaman ini hendak lihat sesuatu yang lain daripada apa yang pernah mereka lihat."
Dzul Rabull Jalil (paling kanan) mengajar nyanyian bangsawan. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Pengarah muzik Dzul Rabull Jalil diberi tanggungjawab untuk menggabungkan semua elemen baru itu ke dalam pementasan ini.

"Kalau bangsawan bila kita bernyanyi kita harus fikirkan tentang cerita-cerita tersebut, bangsawan tersebut. Kita tidak boleh nyanyi mengikut citarasa kita sendiri. Kita harus lihat pada skrip, belajar skripnya. Jadi ada kesinambungan dengan cerita yang seterusnya.

"Kalau nyanyian dalam bangsawan, kita menceritakan. Dan kita harus pastikan yang pendengar boleh mendengar dan memahami apa yang kita sampaikan dalam bentuk nyanyian. Jadi dari segi diksinya, sebutannya, harus tepat dan dari segi dinamika suara, lontaran suara. Contohnya, kalau takut, perasaan takut, macam mana kita sampaikan dalam bentuk nyanyian? Kalau marah ataupun geram, bagaimana kita sampaikan dalam bentuk nyanyian?," kata beliau.

Bangsawan A-Go-Go Badang dipentaskan pada 26 Ogos 2023 di teater, Hab Tampines Kita (OTH).
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan