BERITA+ Formula baharu Sinar Lebaran buat penonton tak kering gusi
Bukan komedi juga kalau tiada pelawak.
Namun, agak ketara tahun ini adalah tumpuan kepada generasi pelawak pelapis untuk menggerakkan adegan-adegan komedi.
"Kalau tak ada yang lama, takkan ada yang baru. Jadi untuk Sinar Lebaran kali ini, kami menggabungkan. Pelawak lama kita tetap raikan, tapi pada masa yang sama, kami juga memberi ruang kepada pelawak-pelawak generasi baharu," ujar Penerbit Eksekutif dan Pengarah TV, Sinar Lebaran 2026, dari Mediacorp EagleVision, Zulina Karim.
Rancangan Sinar Lebaran tahun ini sebaliknya dipacu oleh Zuhairi Idris, Hafidz Rahman dan Farhana M Noor.
Ia juga dilihat sebagai peralihan dari adanya 'hos tradisional' untuk memperkenalkan setiap segmen.
Latar belakang mereka dalam bidang teater, juga sifat keberanian mereka, menjadi nilai tambah yang menyumbang kepada kejayaan Sinar Lebaran tahun ini.
"Kita mainkan peranan sebagai 'anchor' untuk menyambungkan antara persembahan. Kita pelawak, kita menyanyi, kita menari sebab Sinar Lebaran ini, kita kena pandai main di atas pentas. Dan saya bersyukur sebab saya ada pengalaman atas pentas itu," kongsi Zuhairi Idris kepada wartawan Roslinda Rahmat.
"Saya suka babak yang kita nyanyi. Sebab saya memang dalam rahsia nak jadi penyanyi tapi itulah, sebab kita cabar diri kita, kan? Saya ini bukan seorang penyanyi. Dia memang boleh menyanyi - si Zuhairi ini. Hafidz - dia pun penyanyi juga. Jadi bila kita diberikan peluang untuk menyanyi, memang kelakar lah jadinya," kata Nurfarhana M Noor.
KOMEDI - TARIKAN UTAMA SINAR LEBARAN
Sketsa komedi sering menjadi bahagian yang dinanti-nantikan penonton Sinar Lebaran.
Bahkan, ia selalunya menjadi pendorong utama rancangan ini dari mula - berkembang hingga ke babak akhir.
Namun, edisi Sinar Lebaran kali ini tampil berbeza.
Tiada satu jalan cerita utama. Setiap sketsa berdiri sendiri, namun tetap membuat penonton tak kering gusi.
"Ia menceritakan tentang situasi semasa. Jadi saya rasa itu sendiri adalah amat relevan, berkait, di mana masyarakat dapat faham dengan lebih mudah. Dan menjelang Raya, mereka akan mengharungi pengalaman sama seperti apa yang kita pamerkan dalam Sinar Lebaran. Jadi saya rasa cabaran untuk tahun ini ialah untuk menampilkan sketsa-sketsa yang relevan yang dekat dengan hati penonton," jelas Cik Zulina.
Meskipun setiap sketsa membawa makna tersendiri, kepelbagaian ini disatukan melalui simbol yang cukup sinonim dengan Hari Raya yakni ketupat.
Anyamannya melambangkan hubungan kekeluargaan, manakala berasnya tanda kemakmuran.
"Bagi saya, komedi itu bukan sesuatu yang mudah tapi saya rasa kita sebagai penulis, kita ambil inspirasi daripada orang dalam hidup kita. Kita jadikan orang dalam hidup kita ini sebagai watak dan bila watak itu dapat dihidupkan lagi oleh pelakon-pelakon yang mapan, pelakon-pelakon yang sangat berpengalaman, itulah jadinya satu komedi yang semula jadi. Satu kaedah yang sangat 'candi' dan saya rasa itulah cara untuk menggeletek hati penonton," ujar penulis skrip, Fahmi Hazmi yang juga merupakan Penerbit Eksekutif dan Pengarah TV, Sinar Lebaran 2026.
APABILA TIGA WATAK UTAMANYA DIPERKASA
Penglibatan ketiga-tiga watak utama ini juga bukan sekadar di atas pentas Teater Mediacorp.
Malah, mereka turut menyumbang dalam proses kreatif rancangan ini.
Menurut Encik Fahmi, "Proses penulisan mengambil masa tiga bulan. Kami adakan banyak sesi perbincangan dan juga pembacaan skrip bersama Farhana, Hafidz, Zuhairi dan di situ kami ada ruang untuk berkongsi idea dan kami mempunyai perbincangan yang terbuka."
"Saya rasa macam gembira sangat sebab dapat masukkan idea-idea kita, ia sesuatu yang kita rasa kepunyaan kami. Jadi bila kita lakonkan ataupun kita sampaikan kepada penonton-penonton, ia benar-benar datang dari hati," kongsi Farhana pula.
Keserasian antara ketiga-tiga watak utama yang memang bersahahat ini, amat membantu.
"Sinar Lebaran ini mungkin menjadi, kerana kita semua kawan dan kita semua ada keserasian, selesa dan semua bakat yang dipaparkan adalah bakat tempatan. Jadi kita semua dah kenal. Kita dah tahu perangai masing-masing. Jadi kita tahu macam mana nak 'bermain' di atas pentas. Malah para penyanyi pun kita dah tahu perangai mereka. Kita semua sudah macam satu keluarga," kongsi Farhana.
Sinar Lebaran tahun ini tampil dengan tema Kepulangan - bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga kepada akar seni tempatan.
Penulis skrip, Encik Fahmi menerangkan,
"Tahun ini kami dapat lihat bakat-bakat yang telah lama tidak muncul di skrin. Dan selain itu juga, kami paparkan 'keserbabolehan' bakat-bakat kami. Contohnya, kita dapat lihat penyanyi seperti Sufie Rashid berlakon dan kita juga dapat lihat hos seperti Najip Ali menyanyi. Jadi itu antara elemen yang baharu, elemen yang saya rasa sangat menarik untuk Sinar Lebaran tahun ini."
"Sinar Lebaran tahun ini membuktikan Singapura ada banyak bakat. Dan bakat-bakat ini tidak tertumpu di Singapura sahaja. Kita menebarkan sayap kita ke luar negara kan? Tapi akhirnya bagai Sirih pulang ke gagang," celah Zuhairi pula.
Barisan artis termasuk Rima Melati, Zack Zainal, Adi Putra dan Hisyam Hamid, turut ditampilkan dalam sketsa-sketsa yang dipersembahkan.
Berbekalkan kejayaan formula terkini Sinar Lebaran, apakah kemungkinan ia dikekalkan pada tahun-tahun mendatang?
Fikir Zuhairi, "Saya tak boleh nyatakan dengan yakin sebab ini kali pertama - ini baharu, konsep baharu, semuanya baharu. Jadi susah sedikit nak cakap sekarang, buat masa ini tapi kita biarkan penonton yang menilaikan."
"Sebagai seorang pelakon yang bekerjasama dengan pihak produksi semua, saya rasa macam kita sentiasa cuba memperbaiki apa yang kita lakon hari ini. Jadi kita takkan kekal dalam satu konsep sahaja. Kita akan cuba benda yang baharu dan harap-haraplah, yang penonton-penonton boleh terima. Kalau tak bagus, kita akan pelajari dan kita akan memperbaiki," demikian penilaian Farhana pula.
"Sinar Lebaran ini kan setiap tahun ada? Dan untuk mengekalkan kerelevanannya, macam Farhana cakap tadi, kena ada perubahan lah. Tak setiap tahun sama sahaja. Susah nak kekal relevan kalau begitu, kan? Kalau nak kekal relevan, saya rasa kita nak kena lebih terbuka untuk mendengar maklum balas orang dan untuk membuat perubahan mana yang perlu," tambah Zuhairi lagi.
Sketsa-sketsa komedi yang padat lagi menggeletek hati, menurut para penerbit, terus menjadi nadi Sinar Lebaran, kini dan akan datang.
"Komedi adalah satu elemen penting dalam Sinar Lebaran sejak ia bermula sampai sekarang. Komedi adalah satu elemen yang saya rasa penonton semua sentiasa nanti-nantikan dan pada saya, kalau nak lihat pada masa hadapan, saya rasa kita tetap akan kekalkan elemen komedi dalam Sinar Lebaran," tegas Cik Zulina mengakhiri wawancara.
Selain sketsa komedi, Sinar Lebaran turut menampilkan barisan artis merentas generasi seperti Othman Hamzah dan Sufi Rashid, Hetty Sarlene, Rahila Rashun, Era Farida, Roslan Shah dan ramai lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.