BERITA+ Drama terbaharu Mediacorp Aunty Lee's Deadly Delights papar jenayah benar & misteri
Vernetta Lopez memainkan watak Aunty Lee yang ‘kepo’ mengganggu atau membantu siasatan ke atas kes-kes jenayah (Gambar: Roslinda Rahmat)
SINGAPURA: Ia merupakan drama bentuk panjang yang mengadunkan elemen siasatan, jenayah, misteri, percintaan dan komedi.
Begitulah resepi drama bahasa Inggeris Mediacorp yang diberi sentuhan gaya Peranakan, Aunty Lee's Deadly Delights - drama bersiri panjang yang pertama dihasilkan oleh syarikat produksi luar untuk tayangan di Mediacorp Saluran 5 sejak 19 Januari.
LEBIH 20 KES JENAYAH SEBENAR DIPAPARKAN DALAM 90 EPISOD
Siri drama Aunty Lee's Deadly Delights itu malah kaya dengan sentuhan gaya Peranakan.
"Aunty Lee's Deadly Delights berdasarkan siri buku karya penulis Singapura, Ovidia Yu. Buku-buku ini menyediakan bahan untuk tiga kes dalam siri tersebut, manakala keseluruhan siri ini menampilkan lebih daripada 20 kes. Siri ini menampilkan watak yang jarang diketengahkan seperti Aunty Lee, seorang tukang masak Peranakan yang, pada waktu lapangnya, gemar membantu orang lain. Beliau juga seorang yang suka mengambil tahu hal orang sekeliling, dan sering menyelesaikan pelbagai misteri; dengan sentuhan cita rasa Singapura yang kental," ujar pengarah dan penerbit eksekutif-bersama, Aunty Lee’s Deadly Delights, Encik Thean-Jeen Lee.
Watak utama Rosie 'Aunty' Lee diterajui oleh Vernetta Lopez.
Drama bersiri yang dirakam sepanjang sembilan bulan ini mengikuti kisah beliau sebagai pemilik sebuah kafe Peranakan.
Namun, Aunty Lee juga menjadi seorang detektif amatur, mencari penyelesaian kepada kes-kes jenayah.
"Wah. sembilan bulan berlakon! Seperti akan melahirkan anak selepas sembilan bulan! Saya fikir, apa yang menjadikannya berbaloi adalah bahawa di penghujung usaha, kita menghasilkan karya hebat, yang saya yakini di bawah kendalian Weiyu Films, barisan pelakon dan kru yang cemerlang. Bagi saya, setiap hari penggambaran itu menyeronokkan dan berdaya hasil. Cabaran terbesar adalah babak-babak yang penuh emosi," ujar Vernetta Lopez, pelakon watak Aunty Lee.
Norman Ishak, pemenang terbesar Anugerah Pesta Perdana tahun lalu sebagai pelakon lelaki terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Personaliti Lelaki Paling Popular; memegang antara watak utama dalam siri drama ini.
"Ini kali pertama saya dapat berlakon dalam siri drama bentuk panjang. Biasanya kalau siri drama di Suria - paling banyak pun 13 episod sahaja. Tetapi ini 90 episod," ujar pelakon yang menghidupkan watak Inspektor Salim", Norman Ishak.
Baginya, berlakon dalam bahasa Inggeris mahupun sebagai inspektor polis bukan sesuatu yang baharu.
Namun, ia tetap memerlukan komitmen tinggi daripada dirinya serta para pelakon lain.
"Selain Vernetta Lopez, kita ada Rebecca Lim, kita ada Koh Chieng Mun, Irene Ang - semua nama-nama besar, semua yang memang saya belum pernah bekerjasama dengan mereka. Jadi itu yang menarik perhatian saya untuk buat drama ini."
Macam drama Firasat itu, saya dah pernah jadi polis. Pakaian watak Firasat pun sama juga macam begini – kemeja macam begini, warna macam begini pun ada. Cuma bezanya mungkin Firasat adalah drama daripada genre yang lebih kepada fiksi-sains. Tapi drama Aunty Lee adalah lebih 'real'. Kerana ia tentang menangani kes-kes jenayah yang pernah benar-benar berlaku di Singapura," ujar Norman Ishak.
"Jadi, kami sentiasa ke sana ke mari untuk menyelesaikan jenayah dan sebagainya. Apa yang saya suka tentang watak Naren ini adalah, dia seorang yang berpegang teguh pada peraturan. Dia sangat jelas tentang batas antara kerjaya dan hal peribadi, dan tidak gemar mencampur-adukkan kedua-duanya. Itulah yang menimbulkan konflik di antara dirinya dengan Inspektor Salim mahupun dengan Aunty Lee," celah pelakon watak Staf Sarjan Naren, Alawdin Ali pula.
DIALOG PELBAGAI BAHASA CERMINKAN REALITI SINGAPURA
Selain memaparkan kes-kes jenayah sebenar, watak dan plot yang menyerupai kehidupan seharian; penggunaan bahasa dalam siri drama ini juga menjadi antara kekuatannya.
Jelas Encik Thean-Jeen, "Satu aspek yang sangat unik tentang Singapura adalah kepelbagaian kaum yang wujud, sekali gus mewarnai masyarakatnya. Dengan tambahan sentuhan budaya Peranakan, kami berpendapat bahawa elemen pelbagai bahasa ini amat menarik untuk diketengahkan.
Sebagai contoh, apabila Salim, Inspektor Salim berbicara dengan ibunya, babak-babak tersebut disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.
Mengesahkannya, Encik Norman menambah, "Penulis menulis dalam bahasa Inggeris. Tetapi beliau beri kita ruang untuk sampaikan apa-apa yang lebih selesa bagi diri kita. Jadi macam apabila jumpa emak, Junainah Jumari menjadi watak emak kepada Inspektor Salim yang saya mainkan, jadi apabila berjumpa dia, kita langsung bincang dan terjemahkan. Pasal kadang-kadang kita nak alih-bahasa secara langsung, bunyinya menjadi lain. Kaku".
"Saya rasa yang menarik adalah cara kita berkomunikasi, iaitu campuran di antara pelbagai bahasa. Saya masih belum pernah melihat suatu drama yang menggabungkan bahasa Inggeris, Melayu, Cina, Tamil, Tagalog, dengan tahap campuran sebegini. Banyak daripada dialog dan lakonannya terasa sangat asli. Cara penggunaan bahasa dilakukan sedemikian rupa dan membolehkan elemen tempatan ditonjolkan, kerana begitulah cara rakyat Singapura bercakap," jelas Vernetta.
Bagi pasukan penerbitan terutama penulis skrip dan penerbit, mengembangkan jalan cerita sepanjang 90 episod tentunya bukan usaha kreatif yang mudah.
Dedah Pengarah dan Penerbit-Eksekutif-Bersama siri drama ini, Encik Thean-Jeen, "Saya rasa cabaran terbesar ialah mengekalkan kesinambungan naratif sepanjang 90 episod. Oleh itu, selain kes-kes yang dipaparkan, setiap watak juga mempunyai kisah peribadi mereka sendiri. Mengolah dan membawa perkembangan tersebut merentasi 90 episod merupakan satu cabaran yang kami pikul."
Menurut para pelakon, jalan cerita yang berbagai dan penuh selok-belok diharapkan dapat membuat para penonton terpaku dengan drama bersiri itu.
"Kita ada barisan pelakon hebat. Ada kes di mana ibu kepada Inspektor Salim mengalami demensia, ada tentang bakat asing dari Filipina, ada nilai budaya Peranakan, dan kita ada ahli politik - NMP. Jadi semuanya menjadi satu. Maka saya rasa semua penonton mesti dapat rasa akrab dengan salah satu jalan cerita ataupun watak. Juga ada babak-babak yang kelakar, yang serius, yang sedih," dedah Norman.
"Kes-kes yang dipaparkan merangkumi pelbagai tahap - daripada pembunuhan hinggalah kepada kes-kes ringan seperti mencuri, termasuk kecurian pakaian dalam, kes buang sampah dari tempat tinggi, dan sebagainya. Atau, ia mungkin sekadar satu kejadian tidak sengaja, ataupun kes tersilap mengenal pasti identiti.Terdapat beberapa keadaan di mana kami menganggapnya sebagai satu kes, tetapi hakikatnya ia bukanlah satu kes pun — sekadar salah faham. Jadi, terdapat pelbagai ragam yang ditampilkan," kongsi Alawdin.
Aunty Lee's Deadly Delights boleh ditonton dari mula di MeWATCH, dan ditayangkan di TV Mediacorp Saluran 5, setiap Isnin hingga Khamis, 8.30 malam - selepas waktu tayangan Berita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.