BERITA+: Dahulu tersingkir, kini Sezairi Sezali juri dalam Anugerah
Sezairi Sezali - Singapore Idol musim ketiga, kini juga menjadi juri Anugerah 2026. (Gambar: Sezairi Sezali)
SINGAPURA: Pada hujung bulan ini (Ogos 2026), pertandingan nyanyian Anugerah akan kembali bersiaran di kaca televisyen, dengan Sezairi Sezali sebagai salah seorang juri. Namun, tahukah anda bahawa Sezairi sebenarnya pernah tersingkir ketika menyertai peraduan itu pada 2007?
Ya, dua tahun sebelum bergelar juara Singapore Idol, Sezairi tersingkir daripada Anugerah.
Namun, Sezairi tidak pernah meninggalkan dunia muzik. Beliau terus berkarya sehingga berjaya menubuhkan label rakamannya sendiri dan mencatat ratusan juta penstriman menerusi lagu-lagunya.
Dalam rencana BERITA+ HTHT minggu ini, kami tampilkan sebahagian daripada temu bual eksklusif Aura Shai bersama Sezairi, hasil terbitan Roslinda Rahmat.
PERJALANAN SEZAIRI SEZALI DALAM DUNIA MUZIK
AURA SHAI: Kita lihat evolusi anda... kini anda menyampaikan lagu-lagu yang anda hasilkan sendiri. Dahulu bernaung di bawah label yang besar. Apakah yang membantu Sezairi beralih daripada seorang juara pertandingan kepada seorang artis yang mampu bertahan dan berkembang di peringkat antarabangsa?
SEZAIRI SEZALI: Yang saya lihat benar-benar mengubah hidup saya dalam segi muzik adalah bila saya dapat kontrak dengan label baharu pada tahun 2015. Pada waktu itu saya benar-benar dapat fokus 100 peratus kepada muzik. Bangun, muzik. Bangun pagi muzik, tengah hari muzik, tidur muzik, dan pada waktu itulah saya lihat, ini rupanya waktu yang harus diberi pada setiap hari untuk saya berhasil dalam muzik.
AURA SHAI: Fenomena lagu "It’s You". Saya rasa lagu ini wajib perlu ada dalam 'playlist' majlis perkahwinan. Lagu ini menjadi rezeki untuk anda menjadi artis Singapura pertama yang berjaya tembusi 100 juta strim. Sekarang ini dah berapa?
SEZAIRI SEZALI: 400 ke 500 juta mungkin. Itu kali pertama yang saya menulis lagu di luar negeri juga. Saya dapat ke Sweden untuk menulis lagu ini dan kerja sama dengan artis, penulis lagu dan juga produser antarabangsa kan? Dari situ saya dapat kepercayaan diri.
FORMULA TEMBUSI PASARAN GLOBAL
AURA SHAI: Apakah faktor yang menjadikan sesebuah lagu itu dapat menembusi pasaran antarabangsa, selain bekerjasama dengan orang-orang dari luar negara?
SEZAIRI SEZALI: Sebenarnya kan, right timing (waktu yang tepat). Lagu ini sebenarnya dikeluarkan pada tahun 2017. Tetapi lagu ini mulai berkembang cuma waktu pandemik. Sesebuah lagu itu harus menyampaikan matlamat dan niat penulis dengan sejujurnya. Saya seorang yang sangat-sangat percaya yang kalau kita ini buat benda yang baik dan berbaik dengan orang lain, hal yang baik akan berlaku kepada kita juga.
MAKNA MENDALAM ALBUM THE ART OF SURRENDER
AURA SHAI: Sepanjang lebih kurang 17 tahun dalam dunia seni, apa pencapaian yang paling anda banggakan? Adakah ia anugerah sebagai Singapore Idol, adakah ia kejayaan penstriman anda yang sudah beratus juta, adakah ia peluang beraksi di festival-festival antarabangsa atau impak lagu-lagu anda, persembahan anda yang berjaya anda berikan kepada peminat?
SEZAIRI SEZALI: Yang paling saya banggakan adalah album terbaru saya - album kelima ini. Saya dapat memasuki dan mendalami segala yang saya telah belajar tentang menjadi seorang musisi dan juga sebagai seorang produser, penulis lagu, selama perjalanan saya selama 17 tahun dalam industri muzik ini. Fokusnya kepada cerita-cerita yang susah untuk saya luahkan. Saya menjudulkan album ini 'The Art of Surrender'.
BINA HUBUNGAN DEMI TEMBUSI PASARAN INDONESIA
AURA SHAI: Indonesia kini kita lihat menjadi antara pasaran penting dalam kejayaan kerjaya Sezairi, tetapi ramai yang tidak nampak usaha yang anda lakukan di belakang tabir bertahun-tahun sebelumnya. Apa sebenarnya formula untuk kita tawan pasaran Indonesia yang sudah cukup padat dengan bakat?
SEZAIRI SEZALI: Apabila lagu “It’s You” mulai meletup, saya sudah berkarya di Indonesia selama lima tahun. Jadi kejayaan ini bukan saya dapat secara serta-merta. Kita harus mulakan dengan jujur, mulakan dengan niat yang baik. Kalau niat kita baik, orang akan lihat, "Eh dia datang ke sini betul-betul kerana hendak berkarya".
AURA SHAI: Anda sudah tubuhkan label rakaman, Offlane Records. Apakah nilai yang Sezairi cari dalam bakat baru Offlane Records?
SEZAIRI SEZALI: Selain bakat, selain boleh nyanyi, selain boleh tulis lagu itu ada dua perkara bagi saya yang sangat penting. Sifat merendah diri apabila memerlukan dan satu lagi sifat adalah boleh menegakkan diri bila nak menyampaikan matlamat atau menyampaikan satu lagu. Sebenarnya, lima tahun permulaan saya setelah Singapore Idol itu, saya menjalani perkhidmatan negara. Jadi tidak dapat betul-betul fokus kepada muzik. Tiga tahun kemudian, saya menjadi seorang artis bebas. Itu waktu yang paling susah, sebab sedang memikirkan nak menikah, nak bayar wang cengkeram HDB...
Sebab dahulu sebelum saya masuk sekolah muzik, saya juga dapat tawaran jadi polis. Sejak saya umur 19 tahun saya sudah buat pilihan. Saya nak menyampaikan apa yang ada di dalam hati saya. Setiap pagi bila saya bangun tidur, keinginan dalam akal saya ini, "Aku nak buat muzik, aku nak main gitar, aku nak berlatih main piano tiga jam." Dan itulah kehidupan saya seharian - buat muzik, buat muzik, buat muzik. Ini cara saya, ini cuma cara-cara yang saya tahu bagaimana hendak hidup.
TIP SEBAGAI JURI RANCANGAN UJI BAKAT ANUGERAH
AURA SHAI: Dahulu anda 'diadili', sekarang...
SEZAIRI SEZALI: Sekarang mengadili. Haha.
AURA SHAI: Dahulu sewaktu Sezairi sibuk mengikuti ajang pencarian bakat itu, bagaimana anda buat persiapan setiap minggu?
SEZAIRI SEZALI: Paling penting untuk peraduan menyanyi ini yang paling cepat untuk anda boleh perbaiki adalah kepercayaan diri. Kepercayaan diri itu kalau tidak boleh digoyang, apa-apa sahaja anda boleh lalui. Bagi saya kalau kepercayaan diri anda itu teguh, ke mana-mana sahaja anda boleh pergi. Kepercayaan diri itu datang dengan pemahaman bahawa anda boleh, dan anda boleh sebab anda sudah bersedia.
Setelah menjadi juri Anugerah, saya lihat ramai peserta kita harus buat latihan di hadapan cermin dan lihat mata kita memandang ke mana. Dan ekspresi muka kita itu bagaimana apabila kita menyanyi. Sebab apabila kita menyanyi, kita tidak dapat melihat diri kita sendiri, penyampaian kita itu bagaimana? Memanglah mata kita tengok di sana, bukan tengok diri kita. Jadi itu bagi saya sangat-sangat penting yang pada mulanya saya sendiri pun tidak lakukan.
AURA SHAI: Begitulah sedikit tip daripada salah seorang juri rancangan cungkil bakat 'Anugerah', Sezairi Sezali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.