BERITA+ / Anugerah 2026: Pentas pertama ditawan, cabaran sebenar baru bermula
Eka Mairina (kanan sekali) dan Iskandar Ismail (tengah) membuat persembahan pembukaan bersama alumni Anugerah. (Gambar: BERITA Mediacorp / Roslinda Rahmat)
SINGAPURA: Empat belas peserta sudah memperkenalkan suara dan identiti masing-masing di pentas Anugerah 2026.
Tiada penyingkiran pada episod pembukaan, namun kedudukan awal sudah memberi bayangan siapa yang mencuri perhatian dan siapa yang perlu bekerja lebih keras.
Dan apabila persaingan diteruskan dengan cabaran lagu-lagu era 2000-an untuk episod kedua Selasa ini, bakat sahaja mungkin tidak lagi mencukupi.
Wartawan Roslinda Rahmat merangkumkan malam pertama, dan meninjau apa yang perlu dilakukan peserta agar tidak tersingkir dalam episod akan datang.
TOP 14 BUKA TIRAI ANUGERAH 2026
Daripada ratusan peserta, 40 disenarai-pendek, sebelum 14 peserta terbaik atau Top 14 dipilih untuk berentap dalam Anugerah 2026.
Tiada penyingkiran pada minggu pertama.
Namun kedudukan awal sudah ditetapkan, dengan Izzan Adlan di tangga teratas kedudukan keseluruhan, diikuti Akif Halqi, sementara Syafiqah Aziz meraih tempat ketiga, Falisha Mustafa - keempat dan Firdaus Senin - kelima, bagi episod pertama.
UNDIAN PENONTON BENTUK 20% PEMARKAHAN
Ini mengikut kedudukan keseluruhan yang menggabungkan undian penonton yang membentuk 20% dan pemarkahan juri.
Tetapi bagi pihak penerbitan, apa pengertiannya?
"Episod pertama hanyalah pengenalan. Selepas ini, Anugerah akan terus uji mereka menerusi tema dan pilihan lagu yang berbeza. Peserta harus terus buktikan diri mereka. Semakin dekat mereka dengan gelaran juara, semakin kecil ruang untuk kesilapan," ujar Penerbit Kanan, Eaglevision, Illyanis Hanafi.
Kalangan penonton sudahpun memilih siapa yang mereka sokong.
"Saya akan sokong Syafiqah Aziz kerana apabila saya dengar dia menyanyi, gaya nyanyiannya sangat unik. Dia boleh bawa banyak genre lagu berbeza," ujar Hafiz Nasaruddin kepada wartawan.
Dan daripada penilaian pertama, juri undangan Iskandar Ismail atau Eiss melihat potensi besar dalam generasi kali ini.
Namun pengalaman menyertai Anugerah 25 tahun lalu, serta perjalanan pertandingan yang membawanya sehingga menjuarai Gegar Vaganza — mengajarnya satu perkara, iaitu suara yang baik sahaja tidak menjadikan seseorang itu bintang.
"Bakat sahaja tidak mencukupi. Kita harus ada pakej. Disiplin penting sekali. Jangan takut untuk mengenalkan diri sendiri, identiti sendiri. Itu yang amat penting sekali. Jadi berani ambil risiko, tunjukkan identiti anda sendiri," ujar Eiss.
Falisha Mustafa pula memulakan persaingan di tempat keempat.
Namun selepas melihat kemampuan 13 pesaingnya, penyanyi berusia 22 tahun itu sedar kedudukan minggu pertama bukan alasan untuk berasa selesa.
"Walaupun saya di tempat ke 4, saya ada banyak lagi yang perlu saya pelajari daripada peserta-peserta lain. Bagi saya, apa yang saya perlu ada adalah keikhlasan. Kerana, walaupun kita boleh menunjukkan tetapi kalau tiada keikhlasan itu orang boleh nampak," luah Falisha.
Bagi Firdaus Senin pula, kedudukan kelima membawa makna yang lebih peribadi.
Sembilan tahun lalu, perjalanannya dalam Anugerah 2017 terpaksa dihentikan kerana komitmen Perkhidmatan Negara.
Kini sebagai peserta tertua di usia hampir 31 tahun, Firdaus kembali dengan kematangan yang menurutnya membantu mengawal tekanan, tetapi juga membawa kesedaran bahawa beliau perlu mengikuti perkembangan muzik generasi baharu.
"Sudah sembilan tahun saya menunggu, nanti-nantikan, kan? Bukan senang nak dapat di mana saya berada sekarang. Tak sangka pun saya dapat Top 5. Jadi saya akan belajar lebih dalam lagi, minggu demi minggu untuk buat yang lagi terbaik," tekad Firdaus.
PERTEMUAN DUA GENERASI PESERTA
Malam pembukaan turut menemukan dua generasi Anugerah.
Juara 2003, Eka Mairina, kembali sebagai artis pembukaan, sementara anaknya Chariska Diva Anugrah pula berada di pentas yang sama sebagai peserta.
"Pada waktu itu, Chariska berada di dalam perut saya. 23 tahun kemudian, dia kembali ke sini dan saya pula menjadi bintang undangan. Jadi saya rasa ia momen yang sangat luar biasa untuk saya," dedah Eka.
Tetapi pengalaman sebagai juara juga mengajarnya bahawa kemampuan vokal hanyalah sebahagian daripada perjuangan.
"Yang akan menjadikan seseorang itu juara adalah lebih kepada mental dan juga sejauh mana dia sudah bersiap-sedia. Dan juga strategi yang tepat, untuk menjadi yang terbaik, versi dirinya sendiri," kongsi Eka Mairina.
CABARAN Y2K MULAKAN PERSAINGAN SEBENAR
Dan sebaik sahaja episod pertama berakhir, persiapan bermula semula, daripada interpretasi lagu dan susunan muzik kepada latihan vokal.
Cabaran seterusnya adalah Y2K, iaitu lagu-lagu era 2000-an.
Bagi Firdaus, rancangan untuk menyegarkan sebuah lagu lama sudah bermula.
"Ia lagu lama, tapi saya cuba buat susunan muziknya lebih moden. Susunan muziknya itu sangat menyegarkan, menarik! Nantikanlah. Insya Allah. Tontoni saya minggu depan," seru Firdaus.
JANGKAKAN PENYINGKIRAN DEMI PENYINGKIRAN MULAI SELASA 1 SEP
Malam pertama mungkin tidak menyaksikan sebarang penyingkiran.
Tetapi ia sudah menetapkan penanda aras.
Mulai episod seterusnya, setiap lagu membawa peluang untuk melonjak, sekaligus risiko untuk tersingkir.
Kerana jika episod pertama memperkenalkan siapa mereka, episod seterusnya Selasa (1 September) ini mula menguji siapa yang benar-benar mampu bertahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.