Skip to main content

Hiburan

BERITA+ ANUGERAH 2026: Bakat dan populariti perlu seiring

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Sep 2026 06:58PM Dikemas Kini : 06 Oct 2026 11:30PM
BERITA+ ANUGERAH 2026: Talent and popularity must go hand in hand
  • Two contestants, Syafiqah Aziz and Hirza Haizal, were eliminated from Anugerah 2026 after the third episode, leaving the top 10 contestants.
  • Contestants are assessed not only on their performances, but also on audience votes, which contribute 20 per cent of the overall score.
  • Contestants such as Falisha Mustafa and Nada Fitri have used social media, as well as support from family and supporters, to remain in the competition.
  • The contestants' main challenge is balancing training, work and building relationships with supporters, ahead of the Nota-Nota Cinta-themed episode on Sep 15.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Dua lagi peserta tersingkir dalam episod ketiga Anugerah — guru keperluan khas Syafiqah Aziz dan guru muzik prasekolah Hirza Haizal.

Kini, tinggal 10 peserta terbaik yang meneruskan perjuangan merebut gelaran juara Anugerah 2026.

Namun, kedudukan mereka bukan ditentukan berdasarkan mutu persembahan semata-mata. 

Populariti dan keupayaan meraih undian penonton turut memainkan peranan penting.

Undian penonton menyumbang 20 peratus daripada markah keseluruhan.

Ini bermakna kedudukan peserta boleh berubah apabila markah juri digabungkan dengan undian penonton.

Related article image
Dua lagi peserta yang kedua-duanya bekerjaya guru, tersingkir dalam episod ketiga Anugerah, guru keperluan khas Syafiqah Aziz (2 dari kanan) dan guru muzik prasekolah, Hirza Haizal (3 dari kanan). (Gambar: BERITA Mediacorp / Roslinda Rahmat)

Justeru, membina hubungan dengan penyokong — sama ada di studio mahupun dalam talian — kini menjadi sebahagian daripada perjuangan setiap peserta.

"Gunakan segala platform media sosial ini untuk mendekati pendengar-pendengar dan penyokong-penyokong mereka kerana bila kita sudah lepas pertandingan ini, bila mereka hendak menjadi seorang penyanyi, orang-orang inilah yang akan sokong mereka. Tanpa sokongan mereka, mereka takkan ke mana. Mereka kena fikir begitu," ujar juri undangan Anugerah 2026, Hazrul Nizam, kepada wartawan sejurus selepas tamat siaran langsung Anugerah pada Selasa (8 Sep).

FALISHA MUSTAFA: MEDIA SOSIAL JADI KEKUATAN

Falisha Mustafa merupakan antara peserta yang paling memahami kuasa media sosial.

Sebelum menyertai Anugerah lagi, perunding kewangan berusia 22 tahun itu sudah aktif di TikTok dengan kandungannya meraih lebih 225,000 tontonan secara keseluruhan.

Falisha mengakui penyokong dalam talian menjadi antara kekuatannya — malah penyelamat apabila beliau gagal meraih markah tinggi daripada juri sehingga nyaris tersingkir.

"Alhamdulillah, saban hari semakin naik jumlah pengikut saya di TikTok. Saya rasa mungkin saya sebak dengan keputusan hari ini (Selasa 8 Sep) sebab pengikut saya semua tolong saya mengundi setiap hari. Jadi itu yang membuat saya rasa sangat terharu.

"Buat masa sekarang, saya akan lebihkan bersiaran langsung atau buat LIVE di TikTok kerana saya rasa bila saya dalam pertandingan Anugerah ini, siaran langsung saya semakin kurang kerana saya mahu berlatih vokal. Saya juga kurang menyanyi.

"Tetapi saya rasa undian itu sangat penting. Jadi saya akan cuba sebaik mungkin untuk buat lebih banyak siaran langsung di TikTok dan lebih berinteraksi dengan kawan-kawan TikTok saya," luah Falisha kepada wartawan Roslinda Rahmat.

WAKTU KERJA FLEKSIBEL BERI KELEBIHAN KEPADA FALISHA 

Satu lagi kelebihan yang dimiliki Falisha ialah kerjayanya sebagai perunding kewangan yang memberinya fleksibiliti untuk mengatur masa antara latihan dengan urusan kerja.

"Saya rasa sangat bertuah kerana sekarang saya boleh fokus dan beri komitmen kepada usaha ini. Saya pun berasa kasihan terhadap peserta-peserta lain yang juga mempunyai komitmen lain seperti bekerja sebagai guru dan sebagainya.

"Tetapi bagi saya, saya ada masa mengikut sasaran sendiri. Jadi alhamdulillah, ada kelonggaran di situ. Maka saya bersyukurlah dengan kerjaya saya ini," luah Falisha.

Related article image
Tiga peserta di kedudukan teratas Anugerha Episod 3 - (dari kanan) Akif Halqi, Nada Fitri dan Izzan Adlan. (Gambar: BERITA Mediacorp / Roslinda Rahmat)

NADA PERLU BIJAK IMBANGI MASA KERJA, KELUARGA 

Bagi Nada Fitri pula, cabarannya berbeza.

Ibu kepada dua orang anak itu perlu bijak mengimbangi masa antara pertandingan, keluarga dan kerja sambilan membantu di gerai keluarganya di Bedok.

Apabila masa semakin suntuk, tempat kerjanya turut bertukar menjadi 'dewan latihan'.

"Malah sewaktu saya sedang melayan pelanggan pun saya akan buat latihan pemanasan vokal. Kalau sedang berehat, saya akan kaji lagu dan makna di sebalik lagu yang saya akan nyanyikan," kongsi Nada kepada wartawan.

Apabila tekanan pertandingan mula menggugat keyakinannya, keluarga di rumah — serta “keluarga” di Restoran Mukmin - tempat beliau bekerja — menjadi pembakar semangat.

Sekitar 20 hingga 30 penyokong hadir memberikan sokongan kepadanya pada setiap episod pertandingan.

"Ada masa saya rasa amat murung akibat tekanan pertandingan. Pasal saya tak ada keyakinan tapi dengan adanya mereka, ‘Jangan takut. Buat saja. Nyanyi saja’. Saya suka sokongan sebegitu yang mereka berikan," kongsi Nada.

MEDIA SOSIAL: PERTARUNGAN DI LUAR PENTAS

Namun Nada juga sedar - sokongan dengan kehadiran fizikal sahaja tidak mencukupi.

Keberaniannya mencuba genre dangdut minggu ketiga berjaya meletakkannya di tangga teratas dalam kedudukan Kuasa Juri. 

"Pada minggu ini, saya agak lain sedikit. Persembahan saya agak berbeza daripada minggu sebelumnya. Yakni, saya membawakan lagu yang rancak. Seperti mana, sebelum ini, juri undangan, Ann Hussein meminta saya membawa lagu selain balada. Jadi itulah yang saya lakukan. Alhamdulillah penonton terhibur," luah Nada selepas episod ketiga Anugerah. 

Namun, selepas undian penonton diambil kira, Nada jatuh ke tempat kedua berdasarkan kiraan markah keseluruhan.

"Hari-hari saya nak kena ajar mereka. Saya penat tahu. Hari-hari saya hendak kena pergi ke gerai. Mak cik telefon, ‘Anak, macam mana nak undi?’  Cuma untuk media sosial, saya nak kena buat konten dan muat naik lebih banyak lagu yang saya nyanyikan... Saya fikir mungkin nak kena buat kandungan dengan Izzan Adlan," ujar Nada Fitri. 

Related article image
Kedudukan Kuasa Juri boleh berubah apabila dicampurkan dengan Undian Penonton. (Gambar: BERITA Mediacorp / Roslinda Rahmat)
Pada Selasa ini (15 Sep), Nada dan Falisha bersama lapan lagi peserta bakal membawa penonton dibuai asmara menerusi lagu-lagu bertemakan Nota-Nota Cinta.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/rl
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita