Berat badan Sherry Alhadad turun hampir 20kg berkat bersenam, jaga makan

(Gambar: @sherry_alhadad/Instagram)
KUALA LUMPUR: Tubuh pengacara dan pelakon Sherry Alhadad kelihatan kecut sedikit di sidang media Big Stage 2022 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ditanya apakah rahsia beliau di sebalik kejayaannya menurunkan berat badan sehingga menampakkan perubahan yang ketara, Sherry berkata, segalanya berlaku secara semula jadi - iaitu hasil bersenam dan penjagaan makanan.
“Alhamdulillah, saya berjaya kurangkan berat badan sebanyak 16 hingga 18 kilogram dalam tempoh tiga bulan. Pengikut dan orang ramai boleh melihat sendiri rutin senaman yang saya kongsikan di Instagram.
“Kadang-kadang bimbang orang akan kata saya riak pula bila dapat turun berat badan. Saya hanya berharap yang perkongsian saya ini dapat membakar semangat mereka berbadan besar untuk kekal sihat,” katanya kepada Gempak.
Ditanya adakah dia ingin melakukan pembedahan bagi mendapatkan bentuk tubuh idaman dengan cepat, Sherry berkata, dia belum terfikir ke arah itu.
“Buat masa ini saya belum terfikir untuk melalui pembedahan bariatrik atau potong usus sebagai jalan mudah untuk menurunkan berat badan. Namun sebaliknya, saya lebih percaya dengan proses yang sepatutnya untuk turunkan berat badan.
“Saya percaya Allah SWT memberikan kita usus panjang itu bersebab, jadi buat masa ini saya menggunakan alternatif lain. Mungkin itu adalah alternatif terakhir saya kerana belum terfikir lagi.
“Begitupun, ia tidak bermakna saya menghakimi atau mengata mana-mana pihak. Ia hanyalah sekadar pandangan peribadi untuk digunakan pada tubuh sendiri,” kongsi pemilik nama lengkap Shariffah Mariam Syed Abdullah itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.