Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Berani Nyanyi? cungkil bakat terpendam 24 personaliti popular tanah air

Anda ingin melihat personaliti popular tempatan menonjolkan sisi lain mereka yang mungkin belum pernah ditatapi umum?
 

Anggaran Waktu Membaca:
Berani Nyanyi? cungkil bakat terpendam 24 personaliti popular tanah air

Pertandingan nyanyian baru 'Berani Nyanyi?' bakal ditayangkan di Suria mulai 8 Februari 2022. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Anda ingin melihat personaliti popular tempatan menonjolkan sisi lain mereka yang mungkin belum pernah ditatapi umum?

Februari ini, 24 figura yang dikenali ramai menggagahkan diri berada di pentas 'Berani Nyanyi?' untuk melantunkan suara dalam pertandingan baru nyanyian sepanjang lapan minggu.

Dihoskan pengacara dan ikon televisyen mapan, Najip Ali dan Era Farida, bersama-sama pencipta kandungan yang semakin meningkat naik namanya, Hafidz Rahman, pertandingan nyanyian luar biasa itu membuka peluang kepada bakat-bakat setempat untuk menonjolkan minat mereka terhadap muzik melalui rangkaian berbilang wadah Mediacorp.

Sepanjang dua bulan, 24 personaliti misteri tempatan dicabar untuk menonjolkan keupayaan mereka menyanyi dan bakal berdepan kemungkinan disingkirkan.

Pertandingan bermula dengan pusingan awal selama empat minggu di mana identiti mereka akan diselindungkan sehinggalah tamat persembahan pertama masing-masing.

Menyusuli pusingan awal, baki lapan peserta akan berentap suara dalam persembahan solo, duet dan berkumpulan untuk merebut tempat ke pusingan akhir.

Dibimbing oleh penyanyi-penyanyi Nana Karia dan Trisno Ishak, semua peserta perlu berusaha menunjukkan kebolehan mereka untuk menambat hati barisan pengadil tetap yang terdiri daripada Aisyah Aziz, Hyrul Anuar, Sheikh Haikel dan Rosalina Musa. Selain itu, Kumar dan Taufik Batisah juga diundang selaku pengadil jemputan untuk menilai persembahan para peserta - dari segi prestasi, mutu vokal dan nilai hiburan secara keseluruhannya.

"Dengan Berani Nyanyi?, kami mengambil satu konsep segar dan baru bagi mencungkil bakat terpendam dalam industri hiburan dan menyediakan pentas untuk personaliti popular menyerlahkan kebolehan mereka menyanyi," kata Ketua Eaglevision dan Audiens Melayu, Sabariah Ramilan.

"Pertandingan nyanyian Melayu terkini ini juga menekankan komitmen Mediacorp untuk mengenal pasti dan mempromosikan bakat-bakat tanah air. Kami tidak sabar untuk menyaksikan persembahan mereka dan yakin bahawa penonton akan terhibur dengan apa yang bakal disajikan oleh wajah-wajah tidak asing ini selama lapan minggu!"

Berani Nyanyi? boleh disaksikan di meWATCH dan saluran Suria pada setiap Selasa, jam 8.30 malam, mulai 8 Februari.

Peringkat akhir akan ditayangkan pada 29 Mac dalam episod yang dilanjutkan kepada satu setengah jam.

Semua persembahan dan kandungan eksklusif digital rancangan itu akan disediakan di meWATCH, Instagram dan Facebook Suria serta saluran YouTube Hiburan Mediacorp.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan