Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

BELASUNGKAWA: Rakan artis, ahli politik anggap perginya pelawak Alias Kadir kehilangan besar dunia hiburan

Pemergian pelawak terkemuka Alias Kadir hari ini (28 Jun) diratapi ramai bukan sahaja oleh rakan-rakan artis tanah air, malah juga oleh para pemimpin masyarakat dan politik tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemergian pelawak terkemuka Alias Kadir hari ini (28 Jun) diratapi ramai bukan sahaja oleh rakan-rakan artis tanah air, malah juga oleh para pemimpin masyarakat dan politik tempatan.

Mereka semua memuji ketokohannya dalam dunia hiburan dan menganggap pemergian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 2.45 petang tadi selepas disolatkan di Masjid Pusara Aman.

(Gambar: Wadah Seni Entertainment/Facebook)

Alias Kadir, 58 tahun, meninggal dunia di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 7.53 pagi (28 Jun) akibat komplikasi pendarahan dan dikebumikan selepas Zuhur di Pusara Aman.

Baru-baru ini, BERITAmediacorp melaporkan bahawa Allahyarham Alias Kadir, yang nama sebenarnya ialah Mohd Osman Ahmad, menjalani rawatan di hospital itu sejak lebih sebulan lalu setelah kaki kanannya terpaksa dikudungkan akibat kencing manis. Kaki kirinya sebelum ini terpaksa dikudungkan pada Ogos 2017, juga akibat kencing manis.

KEPILUAN DAN KESAYUAN CENGKAM KELUARGA, TEMAN-TEMAN ARWAH ALIAS KADIR

Semasa ditemui di Pusara Aman bagi pengebumian Alias Kadir, sebilangan teman artis tempatan tampil untuk memberikan penghormatan terakhir masing-masing kepada Allahyarham.

Kongsi pelawak Husin Saaban kepada BERITAmediacorp: "Saya sudah tahu, doktor ada cakap harapan agak tipis. Tetapi bila kita jangkakan dalam sebulan dua tetapi apabila dapat tahu pagi tadi, kita sangat terkejut dan sedih."

Husin juga memberitahu kami bahawa kali terakhir beliau menziarahi temannya itu di hospital ialah minggu lalu.

Hubungan arwah dengan pelawak-pelawak tempatan yang lain sudah "macam adik-beradik", katanya. Jadi pemergian Allahyarham merupakan suatu kehilangan besar buat mereka semua dan juga seni tanah air, kata beliau lagi.

"Antara kata-kata terakhirnya, 'Kau doakan untuk aku'," kongsi Encik Husin dengan nada penuh sebak.

Pelawak Hamzah Adon, 48 tahun, juga menganggap pemergian Allaryaham sebagai satu kehilangan sangat besar dalam dunia hiburan.

"Abang Alias bukan orang biasa sahaja, bukan bersinar di kaca TV sahaja bahkan di luar pun dia seorang yang istimewa. Kerana dia tidak akan mengatakan kesusahan dia. Dia akan simpan dan dia pernah ceritakan kepada saya kesusahannya," kata Hamzah, yang dengan Alias Kadir pernah membentuk kumpulan duo Les Enja sekitar empat tahun lalu. Mereka mengeluarkan lagu single berjudul 'Superstar'.

Alias seolah-olah sudah memberikan bayangan kepada sebilangan rakannya. Ini yang dikongsi pelakon Mariana Yati semasa kami temuinya di tapak perkuburan.

Ujar belia dengan cukup sebak: "Jumpa dia, kali terakhir tiga bulan lepas. Tiap kali jumpa dia akan cakap, Mariana jumpa awak di syurga. Saya tidak sangka tiba-tiba pagi ini dia sudah tinggalkan kita semua."

Kemunculan terakhir Allahyarham sebagai pelakon televisyen adalah sebagai watak "Rahmat" dalam musim keempat Bubur Masjid Air Katira Ramadan lalu.

Pelawak Sahfudin Mahfuz, 55 tahun, antara yang berlakon dengan Allahyarham. Beliau turut mengenang keistimewaan Alias selaku seorang pelawak:

"Memang Allaryaham Alias Kadir ini, kita kehilangan besar. Dia kalau 'attack' (dengan lawak) orang akan ketawa rabak. Orang semua akan terhibur sebab dia ni bukan hanya boleh berlawak, boleh bernyanyi, berlakon dan sebagainya. Dan main muzik pun boleh. Serba boleh dan susah nak dapatkan orang macam dia."

Sahfudin juga mengatakan bahawa hubungannya dengan Allaryaham memang amat rapat.

"Kita berlawak bukan baru. Sudah lebih 30 tahun kita berlawak bersama. Sudah di atas pentas dan ini jadi satu pengalaman yang saya tidak dapat lupakan kerana dia ini orang yang hebat.

"Saya akan panggil dia, duduk di satu sudut dan bergurau sementara menunggu waktu untuk berlakon. Beliau memang bersahaja dengan saya dan dia faham perangai saya. Dengan siapa lagi, saya tidak dapat begitu dengan sesiapa lagi," jelas Sahfudin.

Yang pasti nama Alias Kadir memang tidak asing lagi dalam dunia hiburan tempatan kerana sudah lebih 30 tahun menghiburkan orang ramai dengan keletah lucu serta gaya selambanya yang mencuit hati.

Alias mula berkecimpung dalam bidang seni melalui pelibatannya dengan kumpulan Teater Cekup, yang pernah memenangi pertandingan Pesta Drama Komedi Sriwana pada 1986. Beliau juga banyak membintangi pelbagai rancangan komedi seperti Unsankarables di samping menghiburkan para penonton di sketsa-sketsa komedi, misalnya bagi rancangan Salam Lebaran di saluran Suria.

Allaryaham juga pernah berlakon dalam drama "Chicken Rice War" pada tahun 2000 selain rancangan Kela Kar Sik dan telemovie Geng Skru Drebar lebih 10 tahun lalu.

Pelawak tempatan, Yan dari kumpulan Bora yang pernah bertanding dalam rancangan Maharaja Lawak mega di Malaysia merupakan antara mereka yang membesar dengan jenaka Alias Kadir.

"Memang tipu kalau saya katakan saya tidak membesar dengan lawak-lawak beliau, daripada kecil hingga sekarang," kata beliau.

Antara yang tampil juga adalah bekas pelawak Osman Kong atau nama sebenarnya Said Osman Said Omar Alsagoff.

Osman Konglah yang sebenarnya membawa Alias Kadir ke pentas lawak dan mereka pernah bersama-sama berlawak dengan kumpulan Teater Cekup.

"Satu kehilangan besar sebab sayalah orang pertama yang membawa arwah ke persada seni. Asalnya saya diperkenalkan beliau kepada saya melalui seorang sahabat. Satu kehilangan bagi saya bagi orang paling rapat yang telah memperkenalkan beliau, sedih untuk kita berpisah," ujar Osman Kong lagi kepada BERITAmediacorp.

Osman juga pernah menganggotai kumpulan pelawak tempatan Rappers Tua yang dianggotai 11 orang termasuk beliau, Arif Shamsudin, Sahfuddin Mahfudz dan Alllahyarham Zainal Ihim.

Saluran televisyen Suria sememangnya antara pentas besar yang digunakan Alias Kadir untuk menggeletek masyarakat Melayu.

Demi memberi penghormatan kepada beliau, Ketua Audiens Melayu Mediacorp & Eaglevision, Cik Sabariah Ramilan juga berada di Pusara Aman demi menghulurkan ucapan takziah kepada keluarga Allaryaham.

Cik Sabariah berkata: "Kami dari pihak Mediacorp Audiens melayu ingin mengucapkan salam takziah kepada arwah yang telah pergi.

"Pemergiannya amat dirasai kerana beliau adalah satu-satunya pelakon, pelawak dan penyanyi yang saya rasa sangat 'versatile' (serba boleh) dan sangat berdedikasi dan profesional sepanjang kerjaya beliau. Beliau telah memberikan sepenuhnya kepada industri seni Singapura dan kami amat kehilangan dan rasa sangat sedih atas pemergiannya."

AP, MENTERI TURUT HULURKAN TAKZIAH, KENANG ALIAS KADIR

Di media sosial, ribuan lagi peminatnya menzahirkan ucapan takziah dan belasungkawa masing-masing - jelas membuktikan kehebatan pelawak berusia 58 tahun itu semasa hayatnya.

Catatan Facebook BERITAmediacorp yang memberitahukan tentang berpulangnya pelawak itu menerima hampir 3,000 komen takziah dan doa buat Allahyarham selain sekitar 4,700 perkongsian catatan tersebut sehingga artikel ini diterbitkan.

Semestinya Alias Kadir dihormati ramai lapisan masyarakat. Maka tidak hairankan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman menghulurkan belasungkawa.

"Allahyarham Alias merupakan salah seorang Duta TAA dan beliau telah banyak menabur jasa membuat kerja kebajikan, walaupun dalam keadaan berkerusi roda sejak beberapa tahun lalu. Pelawak, Pelakun, Penyanyi & Penghibur yang sentiasa dekat di hati.

"Pemergian beliau adalah satu kehilangan bagi masyarakat kita. Semoga jasanya terus menjadi inspirasi kepada kita semua," tulis Dr Maliki menerusi Facebook.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menerusi Facebook pula menulis:

"Apabila saya diberitahu yang beliau sudah meninggal dunia, saya sedih kerana Singapura telah kehilangan pelawak yang amat berbakat. Saya mengucapkan takziah kepada keluarganya dan semoga mereka mendapat kekuatan untuk menghadapi dugaan ini."

Sementara Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam mengenang betapa Allahyarham "terus aktif berkecimpung dalam dunia hiburan dan menyumbang kepada usaha kemasyarakatan" meskipun menghadapi cabaran penyakit kencing manis.

APABILA ALIAS KADIR 'MENGHILANG'...

Menceritakan lebih lanjut kejadian-kejadian ketika Alias Kadir tiba-tiba 'menghilang', Husin Saaban berkata bahawa Allahyarham dijadual melakukan sebuah persembahan bersamanya di Pasir Ris pada Ramadan tahun ini. Namun beliau tidak dapat dihubungi pada saat-saat akhir.

Menyusuli persembahan itu, barulah beliau mendapat khabar mengejutkan bahawa rakan seperjuangannya itu dimasukkan ke hospital dan bahawa kakinya akan dipotong.

"Kali pertama saya lawat dia di hospital, saya tak boleh bercakap. Saya sebak, cukup sebak," kongsi Husin penuh kesedihan. "Saya hanya guna isyarat tangan, mengingatkannya supaya terus berdoa."

"Kali kedua ke hospital (awal minggu lalu), saya berbisik dengan dia. Saya beritahu, 'Kau jangan risau pasal kewangan, semua kita dah urus. Kawan-kawan semua sayangkan kau.' Sebab saya tahu, kadang-kadang bimbang pasal kewangan boleh membuatkan orang rasa risau dan sakit, kan? Jadi saya beritahu dia, kasi dia lebih semangat," Husin menceritakan lagi.

Beliau turut berkongsi bahawa percakapan rakannya semasa kunjungan awal minggu lalu itu kurang jelas, namun beliau sempat meminta dibelikan mi soto dan jus oren yang kemudian dijamahnya.

PROJEK PERMATA ANJURAN JAMIYAH DIHENTIKAN

Husin Saaban yang menjadi penyelaras acara itu menjelaskan bahawa acara itu terpaksa dibatalkan. Bagaimanapun sekitar S$50,000 yang sudah dikumpulkan akan diserahkan kepada keluarga Allahyarham.

Diberi nama Projek Permata, acara anjuran Jamiyah itu merupakan sebahagian usaha mahu mengumpul S$100,000 bagi menampung kos perubatan Alias Kadir.

Namun beliau tidak menyangka rakan seperjuangannya itu akan berpulang sebelum projek tersebut sempat diselesaikan.

Menyentuh tentang projek tersebut, Husin berkata bahawa segala persiapan sudah siap termasuk studio dan skrip.

"Tetapi malangnya tidak sampai hari yang kita rancangkan itu, dia sudah pergi dulu. Tetapi Alhamdulillah kita mungkin sudah kumpulkan separuh daripada anggaran kita dan mungkin ada lagi, dan saya dapat berita dari pihak Jamiyah yang hari Sabtu kita tidak akan adakan acara itu bagi menghormati arwah."

"Kedua, kutipan dana pun akan kita hentikan. Insya Allah bila waktu penyerahan kita akan umumkan kepada semua penderma berapa yang telah terkumpul dan mudah-mudahan segala dana terkumpul akan dapat menampung segala kos perbelanjaan dan sebagainya," jelas Husin lagi.   

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan