Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bekas gitaris Ekamatra didakwa pecah rumah, sebabkan kematian

Seorang bekas anggota kumpulan rock terkenal era 90-an berdepan dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen dan Majistret hari ini (23 Apr) kerana didakwa menyebabkan kematian seorang warga emas dan melakukan pecah rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas gitaris Ekamatra didakwa pecah rumah, sebabkan kematian

(Gambar: Hishamuddin Ahmad Zaki‎/ Facebook)

Diterbitkan : 23 Apr 2018 05:20PM Dikemas Kini : 23 Apr 2018 05:23PM

ALOR SETAR: Seorang bekas anggota kumpulan rock terkenal era 90-an berdepan dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen dan Majistret hari ini (23 Apr) kerana didakwa menyebabkan kematian seorang warga emas dan melakukan pecah rumah.

Menurut Utusan Online, tertuduh yang juga gitaris kumpulan Ekamatra, Nurulazman Saliholdin (Salihaldin), 44, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen 4, terhadap pertuduhan menyebabkan kematian seorang warga emas, Kau Fu Eng, 71.

Kesalahan itu dilakukan di rumah beralamat No.217, Taman Malaysia antara jam 2.00 petang hingga 6.00 petang, 25 Februari lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan di hadapan Hakim, Najwa Che Mat.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 Mei depan untuk tertuduh dijatuhi hukuman, lapor Utusan Online.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara dan sebatan kerana merompak seorang wanita rakyat Indonesia pada 2012, boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan didenda.

Dalam pada itu, Nurulazman mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memecah rumah milik seorang warga emas, Nimal De Silva, 70, yang beralamat di No. 2630, Taman Lumba Kuda, Jalan Tun Syed Sheh Shahabuddin 8.

Tertuduh yang berasal dari Batu Pahat, Johor didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Disember 2016, antara pukul 9.30 pagi hingga pukul 10.00 pagi.

Menurut Utusan Online lagi, prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret, Arif Mohamad Sharif.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 (S$2,700) dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menantikan penyerahan dokumen selain membolehkan tertuduh melantik peguam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan didenda. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan