Skip to main content

Hiburan

Barisan pelakon Army Daze bertemu semula di kedai nasi ayam Sheikh Haikel

Anggaran Waktu Membaca:
Barisan pelakon Army Daze  bertemu semula di kedai nasi ayam Sheikh Haikel

Sheikh Haikel bersama barisan pelakon Army Daze. (Gambar: Instagram/sheikhhaikel, michael_chiang_playthings)

Diterbitkan : 22 Sep 2026 10:55AM Dikemas Kini : 22 Sep 2026 11:43AM
  • Sejak beberapa minggu lalu, selebriti Singapura mengunjungi Hai Ge Ji bagi menyokong Sheikh Haikel selepas beliau mendedahkan menghidap barah usus tahap empat.
  • Pada Ahad, 20 Sep, rakan pelakon Army Daze, Edward Yong, Ahamed Azad, Adrian Lim dan Kevin Mark Verghese, bertemu semula dengannya.
  • Michael Chiang gembira melihat pertemuan itu dan mendoakan Sheikh Haikel terus kuat, sementara ususnya dilaporkan bebas barah tetapi rawatan hati masih berjalan.
  • Artikel turut mengimbas Army Daze, komedi 1996 tentang NS di Singapura, yang pelakonnya pernah kembali bersama untuk promosi War Machine pada 2017.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Sejak beberapa minggu lalu, ramai personaliti dan selebriti Singapura datang berduyun-duyun ke kedai nasi ayam milik penyanyi rap dan usahawan Sheikh Haikel, Hai Ge Ji, untuk memberikan sokongan kepadanya selepas mendedahkan bahawa beliau menghidap barah usus tahap empat.

Antara yang datang memberikan sokongan ialah Suhaimi Yusof, Gurmit Singh dan Amy Cheng.

Pada Ahad (20 Sep), Sheikh Haikel berkongsi bahawa beliau turut menerima kunjungan rakan-rakan pelakon daripada filem popular pada 1996, Army Daze.

Pertemuan semula itu menyaksikan Edward Yong, Ahamed Azad, Adrian Lim dan Kevin Mark Verghese berkumpul bersama Sheikh Haikel di Hai Ge Ji dan bergambar bersama.

Sheikh Haikel menulis pada gambar tersebut: “Army Daze…forever and a day.”

Penulis drama Michael Chiang, yang menulis karya asal Army Daze serta skrip filem tersebut, turut meluahkan kegembiraannya melihat mereka bersatu semula dan mendoakan agar Sheikh Haikel segera sembuh.

“Seronok sekali melihat lima lelaki hebat ini bersatu semula. Merekalah yang menghidupkan watak Malcolm, Kenny, Johari, Krishna dan Ah Beng di layar perak,” tulis Chiang.

Beliau turut mendoakan agar Sheikh Haikel terus diberi kekuatan dalam perjuangannya melawan barah dan menyifatkannya sebagai sumber inspirasi.

Sheikh Haikel dan isterinya, Anna Belle Francis, sebelum ini mengesahkan kepada CNA Lifestyle bahawa ususnya kini sudah bebas daripada barah.

Bagaimanapun, beliau masih menjalani rawatan bagi sel barah yang sudah merebak ke hati.

Army Daze mengisahkan lima pemuda yang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) di Singapura serta pelbagai kejadian lucu yang mereka alami.

Filem komedi itu menghasilkan banyak babak dan dialog ikonik yang masih dikenang sehingga hari ini.

Pada 2017, barisan pelakon Army Daze pernah bersatu semula dan kembali membawakan watak masing-masing dalam sebuah video promosi untuk filem perang Netflix, War Machine.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita