Skip to main content

Hiburan

Bangunan 'Hotel Morrison' di kulit album The Doors di Los Angeles terbakar

Bangunan Hotel Morrison, yang menjadi popular disebabkan oleh kugiran The Doors dan album terbitan kumpulan itu pada 1970, musnah dalam satu kebakaran di pusat bandar Los Angeles pada Khamis (26 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Bangunan 'Hotel Morrison' di kulit album The Doors di Los Angeles terbakar

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 28 Dec 2024 10:58AM Dikemas Kini : 28 Dec 2024 11:20AM
LOS ANGELES: Bangunan Hotel Morrison, yang menjadi popular disebabkan oleh kugiran The Doors dan album terbitan kumpulan itu pada 1970, musnah dalam satu kebakaran di pusat bandar Los Angeles pada Khamis (26 Dis).

Bangunan setinggi empat tingkat yang kosong sejak hampir sedekad itu, terbakar selama hampir dua jam sebelum api dapat dikawal oleh lebih 100 ahli bomba, menurut Jabatan Bomba Los Angeles.

Hotel Morrison dipaparkan pada kulit album album kelima kugiran The Doors.

Jurugambar muzik yang terkenal, Henry Diltz memetik gambar itu pada 1969.

Menurutnya, ia memerlukan daya kreativiti untuk memastikan gambar itu 'menjadi'.

Seorang kakitangan hotel memaklumkan kepada kugiran itu bahawa mereka tidak dibenarkan bergambar di dalam hotel berkenaan.

Namun apabila pekerja itu meninggalkan kaunter, ahli kugiran itu bergegas ke lobi hotel lalu Diltz memetik gambar ikonik berkenaan.

"Ia sebuah bangunan lama yang diperbuat daripada kayu, dan ia mempunyai banyak bilik di mana pelanggan boleh menempah bilik pada harga AS$2.50 (S$3.40) untuk satu malam," kata Diltz kepada The Associated Press pada Jumaat (27 Dis).

"Saya fikir tingkap depan hotel itu yang tertera perkataan "Morrison Hotel" dalam warna merah adalah cirinya yang terbaik! Begitu juga dengan kugiran The Doors!"

Ketika Jabatan Bomba Los Angeles tiba di hotel tersebut pada Khamis, ia mendapati api sedang marak di tingkat atas bangunan tersebut.

Beberapa orang yang berada dalam bangunan tersebut dapat menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.

Ini termasuk tiga individu yang diselamatkan oleh pegawai bomba dari tingkat tiga, menurut jabatan itu.

Bumbung bangunan hotel itu bagaimanapun runtuh, sekali gus menjejas keutuhan bangunan berkenaan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bangunan tersebut dijadikan sebagai tempat latihan bagi pegawai bomba.
Sumber : AP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita