Bakat muda sedang meningkat, Shareefa Aminah ajak pendengar ke 'Pity Party'
Penyanyi dan pencipta lagu tempatan yang sedang berkembang bakat, Shareefa Aminah, mengeluarkan lagu terbarunya berjudul 'Pity Party', diiringi dengan video muzik lengkap.

Gambar: Shareefa Aminah
SINGAPURA: Penyanyi dan pencipta lagu tempatan yang sedang berkembang bakat, Shareefa Aminah, mengeluarkan lagu terbarunya berjudul 'Pity Party', diiringi dengan video muzik lengkap.
'Pity Party' adalah lagu ciptaan profesional pertama oleh penyanyi yang lebih mesra dikenali sebagai Shazza itu.
Dicipta dan digubah serta mendapat sentuhan akhir oleh Adele Lim dari Homeground Studios, lagu itu kini boleh dinikmati para pendengar di semua wadah penstriman utama termasuk YouTube.
Sebuah projek bebas sepenuhnya, video muzik itu adalah cetusan konsep Shazza sendiri yang turut mengarahkan bersama pembikinannya.
'Pity Party' adalah landasan bagi Shazza menempa nama di dalam industri muzik tanah air sekali gus mengorak langkah pertamanya menjadi seorang artis yang serius menceburi bidang nyanyian.
Lagu genre pop itu bukan saja menyiratkan rasa kecewa tentang kehidupan harian yang ibarat satu perlumbaan, namun ia turut memberi peringatan bahawa tiada salahnya untuk meluangkan secebis masa bermuhasabah dan mengesahkan perasaan yang dialami kerana kita hanyalah insan biasa.
Penyanyi India Muslim yang berhijab itu memendam impian untuk memecahkan sempadan dan melawan jangkaan.
Beliau memendam hasrat untuk menjadi pencetus perubahan yang membawa lebih banyak perwakilan menerusi muzik serta kehadirannya dalam industri.
Bakat muda itu berharap dapat membuktikan bahawa daya kreatif dan muzik arus perdana di Singapura boleh menjangkaui budaya serta sempadan, lantas memecahkan norma-norma.
Sebelum ini pada 2020, Shazza mengeluarkan single pertamanya berjudul 'August', sebuah lagu melankolik yang mengisahkan rasa perit jerihnya.
Pada tahun yang sama, beliau memenangi 'The Xtract' Radio Heatwave x Spinnup melalui persembahan single keduanya, It Takes Two, sebuah lagu groovy tentang percintaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.