Badan berisi bukan jadi penghalang hamil; wanita ini sebak atas kurniaan rezeki tidak disangka
Gambar: Tiktok/@ayien_shak
KUALA LUMPUR: Setiap pasangan yang berkahwin pasti mahukan zuriat sendiri, namun tidak semua orang bernasib baik dikurniakan cahaya mata dalam tempoh terdekat. Ini kerana terdapat segelintir terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum dapat memeluk bayi tersebut.
Antara salah satu punca gagal memiliki zuriat meskipun sudah lama mendirikan rumah tangga adalah seperti berat badan berlebihan kerana ia dikaitkan dengan penurunan tahap kesuburan di kalangan wanita, seperti dinukil daripada ohmymedia.
Namun, jika ditakdirkan oleh Allah S.W.T. selain tidak berputus asa untuk terus mencuba mendapatkan zuriat, semestinya rezeki tersebut akan menjadi milik kita dan pasangan seperti yang dikongsikan oleh seorang wanita ini.
Pada 11 Mei, tular di laman media sosial TikTok mengenai sebuah video yang dimuat naik oleh seorang wanita @ayien_shak, di mana beliau membuat kejutan kepada suaminya di dalam sebuah kereta akan berita kehamilan yang dinanti-nantikan.
Ohmymedia melaporkan bahawa meskipun kejutan tersebut dilakukan dalam keadaan yang sederhana sahaja, namun suaminya tersentuh hati lantas menghadiahan kucupan di dahi isterinya dengan penuh kesyukuran.
Menurut wanita itu, beliau mengakui takut tidak boleh memberikan zuriat kepada pasangannya sebelum berkahwin disebabkan ‘berisi’. Tambahan pula, dirinya pernah mengalami kemalangan sehingga masih mempunyai besi di bahagian paha.
Selain itu, beliau memberitahu dirinya hanya mengamalkan pengambilan asid folik dan jamu sebagai ikhtiar bagi mendapatkan zuriat.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen tumpang gembira dengan kebahagiaan yang dikongsikan oleh pasangan itu.
Bukan itu sahaja, perkongsian video tersebut seolah-olah memberi sinar harapan kepada wanita di luar sana yang mempunyai nasib sama dengan dirinya, lapor ohmymedia.
Tidak kurang juga, ramai meluahkan hasrat yang sama untuk dikurniakan rezeki bagi merasai pengalaman sebagai seorang ibu kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.