Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Azwan Ali sahkan bertanding sebagai calon bebas PRU15 di Parlimen Gombak

Anggaran Waktu Membaca:
Azwan Ali sahkan bertanding sebagai calon bebas PRU15 di Parlimen Gombak

Azwan Ali sebelum menyerahkan borang pencalonan pada 2018. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 04 Nov 2022 07:17PM Dikemas Kini : 04 Nov 2022 07:17PM

KUALA LUMPUR: Pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA, mengesahkan bertanding atas tiket calon bebas bagi kerusi Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Azwan bakal berdepan abangnya, Mohamed Azmin Ali, yang sebelum ini dilaporkan sedia mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dalam PRU15.

Pengacara popular itu juga bakal menentang Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Azwan, 56 tahun, berkata beliau akan hadir ke Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak pada Sabtu (5 Nov).

"Iya, anda akan menerima jawapannya esok, iaitu pada hari penamaan calon.

"Saya akan berada di SMK Sungai Pusu. Jadi, orang ramai boleh ikut lintas langsung yang saya buat melalui TikTok dan Instagram untuk mendapatkan jawapan," katanya kepada BH Online.

"Parlimen Gombak disandang Azmin iaitu bekas Timbalan Presiden PKR yang meninggalkan PKR pada Februari 2020 bersama sembilan lagi Ahli Parlimen PKR, sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh," katanya.

Apabila ditanya perasaan menjelang hari penamaan calon, Azwan yang menjadi terkenal ketika bersama TV3 pada era 1980-an, mengaku gementar.

"Saya gementar kerana kali terakhir saya nampak kelibat Azmin adalah pada PRU14. Selepas sekian lama, esok pastinya saya akan sekali lagi bertembung dengan Azmin.

"Inilah masa dinanti-nantikan ribuan rakyat dan penyokong. Ramai yang mahu melihat detik ini," katanya kepada BH Online.

Azwan berkata keputusan untuk bertanding dalam PRU15 dibuat berikutan sokongan tanpa henti daripada banyak pihak.

"Kali pertama saya bertanding adalah untuk kerusi DUN Bukit Antarabangsa pada PRU14.

"Ketika itu, saya hanya terima 90 undi. Maknanya, saya kalah teruk dan sudah tentu kerusi itu dimenangi Azmin.

"Tetapi ketika itu, Azmin mewakili PKR. Sekarang, dia bersama parti baru. Apa-apa pun, pertembungan Azmin bersama Diva AA memang dinanti-nantikan.

"Jadi, saya mahu ucapkan terima kasih kepada setiap sokongan yang saya terima. Saya hargai sokongan tanpa henti daripada orang ramai untuk saya menentang Azmin, terutamanya akhir-akhir ini," ujarnya.

Azwan menambah andai tidak bernasib baik dalam PRU15, beliau tidak berkecil hati kerana mendapat sokongan ramai termasuk daripada Encik Amiruddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua dan Ketua Cabang PKR Gombak.

"Bukan soal menang atau kalah. Walaupun saya kalah pada PRU15, ia tidak menjadi beban, kehidupan saya tetap akan diteruskan.

"Saya juga terima sokongan padu daripada seorang lagi calon yang begitu besar pengaruhnya, iaitu Menteri Besar Selangor.

"Beliau baru saja menelefon saya sejam yang lalu untuk memberi sokongan kepada saya. Saya terharu dengan sokongan beliau. Sudah tentu saya menyokong calon PH ini. Saya tak tahu mengenai calon-calon ini bukan kerana benci, sebaliknya, fokus saya adalah dua nama besar ini iaitu Azmin dan Amiruddin.

"Jadi, saya dan Amiruddin cukup berkobar-kobar dan tak sabar hendak bertemu esok,"katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Azwan menasihatkan Encik Azmin supaya tidak lupa akan asal usulnya.

"Hayatilah lirik lagu arwah Sharifah Aini, Terbang Helang. Lagu itu saya tujukan buat Azmin.

"Dia boleh menang dan dia boleh terus terbang tinggi dengan labu-labunya tapi ingat, suatu hari dia akan jatuh.

"Saya sebak sebab teringat arwah emak yang membesarkan kami. Saya tahu ramai yang tertanya-tanya mengenai punca keretakan hubungan kami tapi tak mengapa, teruslah berjuang.

"Untuk Azmin, ingatlah asal usul kita," katanya.

Semasa PRU14, Azwan hilang wang pertaruhan apabila sekadar beroleh 90 undi manakala Encik Azmin meraih majoriti 25,512 undi bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa.

Sumber : Agensi berita/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa