Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Aznil Nawawi serah kutipan dana buat Zamani; bantu biaya pembedahan tulang belakang

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Melakukan kerja amal, membantu meringankan beban orang lain serta mendasari keperitan hidup yang dilalui orang lain merupakan kerja yang sangat disenangi dilakukan Aznil Nawawi.

Atas kapasitinya sebagai personaliti ternama, Aznil sering memberitahu, sementara masih dikenali dan punya pengaruh, beliau mahu menggunakan ruang dan kesempatan itu untuk kembali berbudi kepada masyarakat, seperti dinukil daripada Astro AWANI.

Selain dapat memberi kebahagiaan kepada orang lain, pengacara tersohor negara itu juga mahu mencari bekalan untuk mengiringi kehidupannya di akhirat kelak.

Justeru, apabila hos program realiti paling popular, Akademi Fantasia itu melancarkan kutipan dana buat vokalis kumpulan Slam, Zamani baru-baru ini sehingga memperoleh RM100,000 (S$31,520) kesyukuranj dipanjatkan beliau.

Sambutan luar biasa yang diperoleh itu, jelas Aznil, petanda bahawa rakyat Malaysia memiliki semangat solidariti semasa mereka khususnya apabila ada pihak yang sedang mendambakan bantuan, lapor Astro AWANI.

“Saya benar-benar terharu dengan budi baik rakyat Malaysia. Saya tahu, saya punya ramai di belakang saya yang akan membantu apabila saya bersuara di media sosial. Semoga budi baik ini akan berpanjangan sampai bila-bila.

“Saya tidak pernah kecewa setiap kali meminta sokongan rakyat Malaysia untuk mengumpul dana membantu golongan yang memerlukan, sebaliknya, saya selalu menerima sambutan luar biasa. Terima kasih semua, hanya Allah sahaja mampu membalas kebaikan anda semua,” ujar Aznil kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Menyambung perbualan, ikon penyiaran yang akan berusia 60 tahun pada 6 November depan ini memberitahu, ketika merancang usaha mengumpul dana buat Zamani, tidak pernah terlintas di fikirannya dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan, sebanyak RM60,000 (S$18,613) diperoleh.

Senang disapa Pak Nil, beliau berkata, sangkaannnya juga kutipan dana itu akan terhenti selepas memaklumkan tempoh masa kutipan sudah ditutup.

Namun, sangkaannya sekali lagi meleset apabila sumbangan terus mencurah-curah masuk sehingga mencecah RM100,000 (S$31,520).

Memahami Zamani sangat memerlukan dana berkenaan bagi mendapatkan rawatan penyakit tulang belakang atau scoliosis, keseluruhan amanah rakyat Malaysia itu diserahkan buat penyanyi ternama itu.

<<Zamani bakal jalani pembedahan, sedih badan semakin bongkok>>

 
Dua hari lalu, Aznil secara peribadi bertemu Zamani dan menyampaikan sumbangan berkenaan.

Tiada apa yang mampu diungkapkan Aznil selain bersyukur melihat wajah kegembiraan pada wajah Zamani.

“Hari ini Zamani diuji, esok lusa kita tidak tahu giliran siapa pula. Sementara saya masih ada kudrat dan kemampuan saya akan bersama-sama membantu mana-mana pihak yang memerlukan bantuan.

“Dan tentu sekali, untuk menjayakan kerja-kerja amal ini, saya mahu seluruh rakyat Malaysia bersama-sama saya,” katanya lagi.

Aznil sebelum ini pernah melancarkan inisiatif yang sama khususnya ketika negara diuji dengan krisis kesihatan COVID-19.

Ketika itu, pelakon dan penyanyi itu turut mengutip dana bagi mendapatkan sumber kewangan untuk disalurkan kepada orang ramai yang terkesan dengan pandemik.

Bahkan, semasa banjir melanda Bukit Canggang, Banting, Selangor, beliau antara yang kerap turun padang melawat mangsa dan menghulurkan bantuan.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan