Awie lebih utamakan anggota Wings, sanggup korbankan kerjaya solo
Penyanyi dan pelakon terkenal dari Malaysia, Awie rela berkorban untuk menolak tawaran-tawaran solo demi memberikan sepenuh tumpuan terhadap kumpulan Wings.
Gambar: Instagram/ Awie Official
Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, beliau kini lebih selesa untuk sama-sama mencari rezeki dengan anggota kumpulan Wings yang lain.
“Kami cari makan menerusi persembahan. Anggota kumpulan Wings semua ada isteri, anak dan cucu. Mereka memerlukan saya untuk cari rezeki.
“Kalau saya tiada atau sibuk dengan penggambaran, mereka nak makan apa? Jadi, saya memang berfikir panjang.
“Kalau saya pentingkan diri atau nak senang sendiri, saya sudah senang lama. Namun, saya ada sahabat yang perlu dijaga,” katanya kepada Media Hiburan.
Katanya lagi, disebabkan rasa sayang yang mendalam terhadap kumpulan Wings, penyanyi lagu Di Penjara Janji itu tidak mahu mementingkan diri sendiri.
“Bukan dalam kumpulan muzik sahaja, dalam politik atau apa juga badan organisasi, kalau kita pentingkan diri, kita hanya akan senang seketika tapi hilang sahabat atau keluarga selamanya.
“Saya tak nak perkara itu berlaku dalam Wings. Jadi, tak mengapalah kalau saya berkorban. Apa-apa tawaran solo, saya akan tolak untuk utamakan Wings.
“Saya sanggup tinggalkan tawaran solo kalau Wings dapat tawaran persembahan walaupun bayarannya mahal.
"Saya bukan nak kata saya baik tapi secara tidak langsung, Allah akan bagi rezeki lain,” ulasnya lagi, seperti dinukil Media Hiburan.
Dalam pada itu, Awie turut mendedahkan keterujaannya terhadap bidang lakonan sudah tidak seperti dahulu selepas pemergian pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid.
“Saya sudah menolak hampir empat tawaran filem. Saya rasa sudah tidak mampu lagi untuk hanya duduk dan buang masa.Kalau dua minggu saya tak berlatih, energi suara akan menurun.
“Saya hanya akan berlakon dengan Rumah Produksi Merah (RPM). Sejak Abang Mamat Khalid meninggal, saya rasa Hussein pun dah pergi sekali.
“Dalam produksi Mamat Khalid ini, kami dah macam keluarga. Jadi, bila nak masuk ke set lain dan mengenali orang baharu, rasanya agak lain,” akhirinya seperti dinukil Media Hiburan.
Awal dari itu, selepas kejayaan di Singapura dan Kuala Lumpur, Konsert Wings The Rock Emperor bakal diteruskan lagi di Pulau Pinang pada 24 Februari nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.