Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Awie konvoi seluruh Semenanjung M'sia bangkit kesedaran bahaya kes penipuan

Pengalaman bergaduh dengan 'scammer' yang cuba menipu menerusi panggilan telefon menjadi pencetus kepada legenda rok Awie untuk menggerakkan jelajah kempen kesedaran ‘antipenipuan'.

Anggaran Waktu Membaca:
Awie konvoi seluruh Semenanjung M'sia bangkit kesedaran bahaya kes penipuan

(Gambar: Awie Official/Instagram)

Diterbitkan : 20 Jul 2022 01:00AM Dikemas Kini : 20 Jul 2022 01:00AM
KUALA LUMPUR: Pengalaman bergaduh dengan 'scammer' yang cuba menipu menerusi panggilan telefon menjadi pencetus kepada legenda rok Awie untuk menggerakkan jelajah kempen kesedaran ‘antipenipuan’ ke seluruh Semenanjung Malaysia bermula Selasa (19 Jul).

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata jelajah yang mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bertujuan memberi penerangan dan meningkatkan kefahaman masyarakat khususnya di luar bandar mengenai risiko ditipu 'scammer'.

“Ini adalah kempen untuk memberi penerangan kepada masyarakat betapa bahayanya ‘scammer’ ini yang kita rata-rata tahu dah ‘makan’ duit orang-orang kampung dan pedalaman terutamanya warga emas yang takut dengan tahap penipuan kelas dewa tertinggi ini.

“Kita beri pendedahan tentang apa yang boleh dan yang tidak boleh. Ada sebahagian daripada mereka tak tahu individu yang telefon mereka itu sedang menipu. Jadi kita bawakan pakar bagi menerangkan secara terperinci tentang scam ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersial @ Awie Ride di Pusat Latihan Polis pada Selasa.

Konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersil @ Awie Ride disertai oleh 35 penunggang motosikal berkuasa tinggi dijadualkan berlangsung dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula pada Selasa sehingga 22 Julai meliputi empat negeri di utara semenanjung iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.

Peserta konvoi akan berhenti di beberapa perhentian di setiap negeri yang dilawati bagi memulakan aturcara program pencegahan jenayah komersial termasuk penyampaian ceramah kesedaran bahaya dan mencegah 'scammer' oleh Awie sendiri.

Acara pelepasan peserta konvoi fasa pertama itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Dr Mustafa Khan Abdul Samat.

Sedar mengenai risiko yang mungkin dihadapi susulan usaha yang digerakkannya itu, Awie bagaimanapun menegaskan beliau bersedia menghadapi apa juga risiko.

“Sebenarnya saya ambil risiko yang besar. Dahulu saya pernah buat jelajah anti cetak rompak (dan) rumah saya dihantar peluru. Saya tak tahu apa yang akan berlaku, tapi kita harap semoga tiada benda yang tidak elok berlaku,” katanya.

Dr Mustafa Khan di dalam ucapannya pula berkata inisiatif seperti siri jelajah itu boleh dijadikan sebagai medium yang memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya dalam menyampaikan ilmu mengenai modus operandi dan trend jenayah terkini.

“Siri jelajah ini adalah satu perkara yang boleh dibanggakan. Tanggungjawab yang dibawa dalam menyampaikan mesej berkenaan kesedaran jenayah adalah satu amanah yang perlu disempurnakan dengan baik,” katanya.
Sumber : Bernama/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa