Skip to main content

Hiburan

Awie diiktiraf Malaysia Book of Records; artis pertama terajui 3 kugiran dalam konsert rok 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Awie diiktiraf Malaysia Book of Records; artis pertama terajui 3 kugiran dalam konsert rok 2025

Awie yang juga vokalis kugiran Wings berkata pengiktirafan tersebut cukup berharga baginya. (Gambar: Sayap-sayap Wings/Facebook)

Diterbitkan : 15 Feb 2025 01:37PM Dikemas Kini : 15 Feb 2025 01:38PM
KUALA LUMPUR – “Ini sejarah yang tidak boleh dijual beli”.

Demikian kata penyanyi Malaysia Awie selepas menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) di atas pentas konsert Triad yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Jumaat malam (14 Feb), lapor KOSMO!.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 57 tahun, diiktiraf MBOR dalam kategori artis pertama yang mengetuai persembahan tiga kumpulan rok ikonik negara iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya dalam sebuah konsert pada tahun ini.

Kata Awie yang juga vokalis kugiran Wings, pengiktirafan tersebut cukup berharga baginya, lapor KOSMO!.

“Sejarah ini saya kongsi dengan Wings, Search dan Dragon Malaya. Terciptanya sejarah ini atas usaha kental mereka semua.

“Anda menjadi saksi wujudnya sekeping sijil ini. Selepas ini sejarah lebih besar akan tercipta,” kata Awie selepas menerima sijil Malaysia Book of Records itu daripada wakil MBOR iaitu Megat Faris Hussein Megat Muzafar Shah.

Dalam konsert Triad yang dihadiri oleh 2,400 peminat itu, Awie turut sempat memuji kugiran Search yang turut serta dalam persembahan itu.

“Mereka yang masih lagi bersama, bagi saya kumpulan Search adalah pemuzik legenda sebenar, ‘the fathers of rock’.

“Saya di atas pentas ini tidak masuk, tidak keluar dan saya tidak berseorangan pun kerana bersama pemuzik serta penyanyi latar yang sentiasa mengiringi persembahan saya,” ujar Awie.

Sementara itu, Awie turut membuka kasut ketika persembahan kerana mengalami kekejangan kaki.

Konsert Triad yang berlangsung selama dua jam lebih itu menyaksikan Awie mendendangkan sebanyak 25 buah lagu antaranya, Sejati, Lipas Kudung, Kuda Tiga Kaki, Mabuk Cinta, Kejora dan Mentari Merah Di Ufuk Timur, menurut KOSMO!

Mencipta kelainan, Awie turut mendendangkan lagu Taman Rashidah Utama, Maya, Nur Nilam Sari dan Kereta Merah bersama kumpulan koir.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita