Awi Rafael kembali ke SG tubuh sekolah muzik, gilap bakat anak tempatan
Awi Rafael di studio Timbre Music Academy. (Gambar: Awi Rafael)
SINGAPURA: Selepas Almarhumah ibunya jatuh sakit, penyanyi dan komposer Awi Rafael memilih untuk kembali ke Singapura pada 2021 dengan niat untuk menjaga ibu sepenuhnya.
Beliau, yang menetap di Kuala Lumpur sebelum ini, juga sanggup meninggalkan kesemua yang dimilikinya di Kuala Lumpur semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab menjaga ibu yang sakit di Singapura.
Namun, ibu tersayang Awi berpulang pada Ogos 2025 sehingga membuat artis kelahiran Singapura itu turut melalui fasa kesedihan atas kehilangan insan penting dalam hidupnya.
Sungguhpun begitu, dalam mengharungi cabaran hidup, anak jati Singapura itu sempat menubuhkan sekolah muzik iaitu Timbre Music Academy bersama seorang rakan kongsi pengurusan bersama, Danny Loong. Timbre Music Academy kini mempunyai 2 cawangan di Singapura.
Awi berkongsi: "Awi senyap sedikit dua hingga tiga tahun sebab fokus pada ibu dan sekolah muzik Awi. Namun Awi terfikir, mengapa tidak Awi tubuhkan sekolah muzik bersama rakan baik Awi.”
Bertindak sebagai pengetua Timbre Muzik Academy, beliau melakarkan program pelajar selain mengajar bes, gitar dan bermain dram.
“Awi ajar sesuatu yang menjadi kegemaran saya iaitu penulisan lagu. Awi diberi amanah untuk melatih bukan hanya kanak-kanak tetapi remaja juga.
"Ini mungkin fasa di mana Awi berikan mereka peluang untuk ada lagu di Spotify dan buat persembahan di pentas Timbre, tetapi mereka harus lalui program penulisan lagu dahulu," ujarnya.
Tambah Awi: “Ada beberapa pelajar vokal Awi dapat duit juga untuk menyanyi. Ini satu peluang bagi mereka untuk menceburi bidang muzik, jadi sekolah Awi memberikan pendekatan holistik dan membuka peluang untuk mereka.”
PROJEK AMAL INISIATIF 'GIFT-A-GUITAR'
Di samping itu, Awi turut terlibat dalam projek amal 'Inisiatif Gift -A-Guitar' anjuran Timbre Group, Timbre Music Academy dan TRCL Rice Company. Inisiatif itu mengumpul dana daripada penjualan gitar artis-artis terkenal seperti Taufik Batisah, penyanyi Singapura JJ Lin dan juga ratu rok Ella untuk fasa selanjutnya.
“Kami lelong gitar itu. Kami sudah mendapat derma lebih sejuta dolar dan kami dapat buat persembahan dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong,” kongsinya bersemangat.
Inisiatif 'Gift-A -Guitar' mendapat sokongan jenama gitar antarabangsa Fender, di mana sejumlah 600 gitar diberikan kepada anak-anak muda di Singapura dari latar belakang yang mencabar dan tidak berkemampuan untuk membeli gitar.
Bagi inisiatif mulia ini, Awi turut menghasilkan sebuah lagu Inggeris khas berjudul 'Me and My Guitar' bersama Danny yang diperkenalkan kepada pendengar pada 7 Ogos lalu.
VERSI 2026 'PULANGLAH' & 'BILA AKU JATUH CINTA' SEMPENA 15 TAHUN TAMPIL SOLO
Dengan kesemua perancangan berjalan lancar, kini Awi sudah bersedia untuk bangkit semula dengan menerbitkan semula dua buah lagu popular ciptaan dan nyanyian Awi Rafael sendiri iaitu 'Pulanglah' dan 'Bila Aku Jatuh Cinta' versi 2026 sempena 15 tahun pembabitannya sebagai anak seni secara solo.
Jelasnya: “Lagu-lagu inilah yang memperkenalkan Awi kepada persada seni sebagai penyanyi solo. Awi sangat bersyukur dengan sokongan peminat, jadi Awi ingin berikan satu nafas baharu khas untuk 2026 dengan bunyi yang berbeza.
"Lagu Pulanglah versi baharu lebih perlahan sikit sementara lagu Bila Aku Jatuh Cinta 2026 lebih berunsur orkestra, lebih dinamik dengan elemen rok,” katanya mengenai lagu-lagu yang sudah dikongsi di Youtube bermula 24 Julai lalu.
Awi juga sedang merancang penerbitan sebuah album penuh yang memuatkan lagu-lagu popular ciptaannya, yang turut diberi nafas baharu dari album pertama Awi serta lagu-lagu baharu ciptaan dan nyanyian Awi nanti.
Bagaimanapun, lagu 'Pulanglah' dan 'Bila Aku Jatuh Cinta' versi 2026 tidak disertakan ke dalam album itu.
“Lagu-lagu ini memang sangat istimewa. Awi ingin asingkannya kerana dua lagu ini memang banyak membawa rezeki untuk Awi. Ia juga sebagai 'teaser' untuk album yang akan datang nanti,” kata Awi.
Untuk album istimewa itu nanti, beliau juga akan merakamkan lagu ciptaannya berjudul 'Mula dan Akhir' yang pernah dibawakan oleh Siti Nurhaliza sebelum ini.
“Akan ada versi baharu bagi lagu yang Awi pernah tulis untuk Siti Nurhaliza iaitu 'Mula dan Akhir' pada 2014. Awi akan rakamkan versi lelaki pula, yang Awi nyanyikan nanti,” tambah Awi.
Ketika ditanya tentang kepuasannya bergelar artis selama 15 tahun, Awi berkongsi:
“Saya sangat bersyukur, perjalanan yang tidak begitu mudah tapi tidak begitu susah juga. Awi dapat pengalaman yang sangat luar biasa menerusi lagu 'Pulanglah' yang keluar 15 tahun lalu.
"Sebelum itu , Awi bersama kumpulan Bhumiband selama lima tahun. Hidup Awi ini memang sentiasa ada muzik.”
AWI SUDAH BERTUNANG
Tanpa diketahui ramai, Awi rupa-rupanya sudah bertunang dengan wanita yang berasal dari Kelantan dalam majlis yang beliau sifatkan sebagai ringkas, yang hanya dihadiri oleh anggota keluarga.
Apabila diminta berkongsi tentang wanita tersebut, beliau membuka cerita sambil tertawa: “Sebenarnya dia tiba-tiba muncul dalam hidup Awi. Kami ada satu projek dan Awi terjumpa dengannya.
"Dia sabar dengan Awi, dia tahu Awi kena jaga ibu Awi waktu itu dan mempunyai fokus tertentu di Singapura. Jadi Awi lihat dirinya sebagai seseorang yang tepat untuk Awi,"kongsinya.
Bila pula majlis perkahwinannya nanti?
“Dalam masa yang terdekat,” ujarnya mengakhiri perbualan, sambil merahsiakan dahulu butiran lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.